Sekilas
- Youtuber terkenal MrBeast telah sah bergelar suami kepada personaliti media sosial Thea Boosyen dalam majlis perkahwinan eksklusif yang berlangsung selama seminggu di sebuah resort persendirian.
- Majlis tersebut dihadiri oleh keluarga dan rakan terdekat dengan pelbagai aktiviti menarik seperti snorkeling, memberi makan kanggaru, dan bermain luncur layang.
- Pasangan ini mula bertemu pada 2022 di Afrika Selatan dan menjalinkan hubungan jarak jauh sebelum bertunang pada Hari Krismas 2024 dan berkahwin pada Julai tahun ini.
Youtuber popular, MrBeast sah bergelar suami kepada personaliti media sosial, Thea Boosyen dalam sebuah majlis perkahwinan eksklusif yang berlangsung selama seminggu.
Berita gembira itu dikongsikan sendiri oleh MrBeast atau nama sebenarnya Jimmy Donaldson menerusi satu hantaran di Instagram
"I found MrsBeast. And it was the best day of my life," tulisnya.
Pasangan itu diraikan dalam sebuah majlis intim yang dihadiri ahli keluarga dan rakan terdekat di sebuah resort persendirian seluas 74 ekar.
Sepanjang minggu sambutan berlangsung, para tetamu turut menikmati pelbagai aktiviti termasuk snorkeling, memberi makan kanggaru yang hidup di pulau berkenaan serta bermain luncur layang (kitesurfing).
Bagi Thea, perkahwinan itu hanyalah satu pengesahan rasmi kepada hubungan yang sememangnya dibina dengan matlamat untuk mendirikan rumah tangga.
"Bunyinya mungkin lucu, tetapi bagi saya ini hanyalah satu formaliti. Sejak kami mula bercinta, kami memang menjalin hubungan dengan matlamat untuk berkahwin.
"Bezanya sekarang seluruh dunia tahu kami sudah berkahwin. Tetapi selepas ini kami tetap akan pulang ke rumah, bersama anjing dan kucing peliharaan kami sebelum meneruskan pengembaraan seterusnya," katanya.
Jimmy dan Thea pertama kali bertemu pada tahun 2022 ketika MrBeast berkunjung ke Afrika Selatan, negara kelahiran Thea.
Mereka diperkenalkan oleh rakan yang sama sebelum hubungan mereka berkembang menjadi percintaan jarak jauh selepas berhubung menerusi platform X.
Pasangan itu kemudian membuat kemunculan awam pertama di Kids' Choice Awards pada April 2022.
Jimmy melamar Thea pada Hari Krismas 2024, sebelum mereka akhirnya disatukan sebagai suami isteri pada Julai tahun ini.