Sekilas
- Penyanyi baharu Yulia Kamelia berasa gembira dapat bekerjasama dengan Khai Bahar menerusi single berjudul 'Toksik'.
- Yulia memuji Khai sebagai artis yang mudah didekati dan tidak lokek berkongsi ilmu sepanjang proses rakaman.
- Single 'Toksik' kini boleh distrim di semua platform digital utama seperti Spotify, Apple Music dan YouTube.
Penyanyi baharu, Yulia Kamelia meluahkan rasa gembira apabila berpeluang bekerjasama dengan penyanyi popular, Khai Bahar menerusi single berjudul, Toksik.
Menurut Yulia, peluang untuk bergandingan bersama Khai itu merupakan satu pengalaman yang amat bermakna dan tidak akan dilupakan.
“Khai ini seorang yang sangat ‘easy going’, peramah dan kelakar. Saya bekerjasama dengan dia pun rasa tak janggal.
“Kita pun sedia maklum yang Khai adalah seorang artis bernama besar, nak dibandingkan dengan saya yang masih baru.
“Dia sangat tidak lokek ilmu, kalau saya ada apa-apa nak tanya, dia open, tak kisah untuk berkongsi, senang untuk saya bekerjasama,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Yulia juga turut berkongsi perasaan gementarnya ketika pertama kali bertemu Khai secara rasmi.
Kata Yulia, walaupun sebelum ini pernah terserempak di sebuah majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran syarikat rakaman Sony Music, namun pertemuan tersebut hanyalah sekadar sekilas sahaja.
“Masa mula-mula jumpa Khai, saya gementar sebab tak pernah bertemu. Kalau jumpa pun hanya terserempak di majlis rumah terbuka raya Sony Music sebelum ini.
“Jadi saya jumpa dia sehari sebelum rekoding, kami ada sesi latihan di studio bersama guru vokal, pada ketika itu perasaan saya seperti boleh ke kita yang baharu ini nak nyanyi bersama Khai.
“Khai Bahar pula tu, selalu tengok di televisyen sahaja, tapi syukur diberikan peluang untuk bergandigan dengannya,” kongsinya.
Toksik merupakan hasil sentuhan komposer prolifik Farouk Roman, lirik oleh Adrianna Cinta dan diterbitkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia.
Single ‘Toksik’ oleh Khai Bahar dan Yulia Kamelia ini kini boleh distrim di semua pelantar digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube.