Skip to main content

Hiburan

Yuna Anggap Sentuhan Manusia Sangat Penting, Tolak Penggunaan AI Dalam Penghasilan Lagu, - “AI Tak Ada Jiwa”

Yuna

Sekilas

  • Yuna percaya lagu yang bagus datang dari pengalaman hidup dan sentuhan manusia, bukan hasil sepenuhnya daripada AI.
  • Dia menggalakkan penggunaan AI sebagai alat bantu, bukan untuk menggantikan proses kreatif sepenuhnya dalam penghasilan lagu.
  • Yuna sedar perkembangan teknologi AI sukar dielak, tapi menekankan pentingnya mengekalkan elemen kemanusiaan dalam muzik.

Penyanyi dan penulis lagu terkenal, Yuna berpendapat bahawa sesebuah lagu yang bagus dihasilkan daripada pengalaman hidup serta sentuhan manusia dan bukanlah daripada janaan Artificial Intelligence (AI).

Menurut pemilik nama Yunalis Mat Zara’ai ini, emosi dan rasa yang hadir dari dalam diri manusia tidak akan dapat digantikan dengan teknologi termasuklah AI yang kini semakin luas digunakan.

“Saya sememangnya tidak menggalakkan orang bergantung kepada AI untuk menghasilkan karya. Bagi saya, AI sepatutnya digunakan sebagai alat untuk membantu memperbaiki seni dan karya yang kita hasilkan.

“AI bukan untuk mengambil alih sepenuhnya proses kreatif itu. Saya kurang bersetuju kalau seseorang itu menggunakan suara AI sepenuhnya dan terus jadikannya sebuah lagu.

“Sedangkan kita sudah ada ramai artis berbakat, penulis lagu dan pengkarya yang mencari rezeki melalui bidang ini. Itu adalah ‘bread and butter’ mereka,” katanya kepada Gempak.

Yuna berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di pelancaran lagu kolaborasinya bersama Aizat Amdan dan Sekumpulan Orang Gila (SOG) yang berjudul Ajar Aku di Roberts Theatre, The Campus Ampang pada Khamis.

Tambah Yuna, elemen kemanusiaan sangat penting dalam pembikinan lagu kerana ia berupaya mendekatkan sesebuah karya dengan halwa telinga pendengar.

Disebabkan itu, pelantun lagu Terukir Di Bintang ini sedaya upaya akan mengelakkan diri daripada menggunakan AI dalam penghasilan karyanya.

“Bagi saya, sentuhan manusia itu sangat penting. Nilai kemanusiaan dalam sesebuah lagu juga sangat penting. Sebab itu kami cuba mengelakkan penggunaan AI dalam karya kami.

“Mungkin pandangan artis lain berbeza dan saya tidak boleh bercakap bagi pihak mereka. Kalau AI digunakan sekadar untuk mencetuskan idea awal atau sebagai permulaan dalam proses berkarya, saya masih boleh terima,” katanya lagi.

Sungguhpun begitu, penyanyi berusia 40 tahun ini walau bagaimanapun merasakan bahawa penggunaan AI dalam penghasilan lagu sukar dielak sejajar dengan peredaran zaman.

“Tetapi kalau keseluruhan struktur lagu itu dihasilkan AI, bagi saya ia agak berbeza. Namun, pada masa sama saya sedar kita memang tidak boleh melawan perkembangan teknologi ini.

“Kita hanya perlu belajar hidup dengannya, tetapi seboleh-bolehnya masih mengekalkan elemen kemanusiaan dalam muzik dan karya yang dihasilkan,” kongsinya.

Bercerita mengenai pengalamannya ketika bereksperimentasi dengan AI bersama beberapa penerbit muzik di Amerika Syarikat sewaktu teknologi itu mula berkembang beberapa tahun yang lalu.

“Saya pernah berada di studio bersama beberapa penerbit di AS ketika AI baru mula berkembang. Waktu itu kami, sebagai penulis lagu, cuba bereksperimen dengan memasukkan arahan untuk hasilkan lagu.

“Bila AI hasilkan lagu itu, saya rasa bahasanya seperi terlalu ‘terdesak’ untuk menghasilkan sebuah lagu. Ia tidak sama seperti proses manusia berkarya, apabila kita berhenti sekejap, fikir semula, tukar perkataan, ubah melodi dan mencari rasa yang paling tepat.

“Bagi saya, AI tidak mempunyai sentuhan manusia itu. Sedangkan sentuhan manusia lahir daripada pengalaman hidup dan anugerah Tuhan,” ujarnya.

Anda mungkin berminat dengan

70mai A800SE Dashcam 4K Resolution + HDR | Built-in GPS & ADAS | Supercapacitor | Dual-Channel | App Control

70mai A800SE Dashcam 4K Resolution + HDR | Built-in GPS & ADAS | Supercapacitor | Dual-Channel | App Control

GOOJODOQ TWS Bluetooth Earphone Stereo Bluetooth 5.3 Wireless Bluetooth Earphones

GOOJODOQ TWS Bluetooth Earphone Stereo Bluetooth 5.3 Wireless Bluetooth Earphones

POP MART Residents of Bikini Bottom-Whimsical Plush Part2 Blind Box (Whole Set)

POP MART Residents of Bikini Bottom-Whimsical Plush Part2 Blind Box (Whole Set)

Mofusand x Sanrio Family Plush Mini Keychain - Cute Gift

Mofusand x Sanrio Family Plush Mini Keychain - Cute Gift

Rezeki Bersama RM5

Rezeki Bersama RM5

GOOJODOQ Bluetooth 5.0 Wireless Smart Earphone

GOOJODOQ Bluetooth 5.0 Wireless Smart Earphone

Advertisement