Pelakon, Yuna Rahim akui terkilan apabila niatnya untuk berkongsi rezeki dengan ibu bapa yang memerlukan namun mendapat permintaan berlebihan daripada segelintir pihak.
Menurut Yuna, niat asalnya adalah untuk membantu golongan yang benar-benar memerlukan, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan sekitarnya dan berdepan kesukaran ekonomi.
“Saya nak bagi anyone yang betul-betul memerlukan sebab saya tahu kawasan yang saya tinggal ni ramai orang yang susah. Kami memang bagi percuma, tapi bila suruh pick up cakap jauh, tak nak yang tape, nak pants,” katanya ketika dihubungi Gempak.
Yuna menjelaskan, inisiatif tersebut dilakukan selepas mengambil kira keadaan ekonomi semasa yang semakin mencabar, di mana tidak semua ibu bapa mampu menyediakan stok pampers yang mencukupi setiap bulan.
“Sebab kita faham ekonomi sekarang ni, tak semua parents mampu sediakan lebih daripada satu pack pampers setiap bulan.
Macam saya cakap sebelum ni, saya fikir ekonomi kita pun memang tengah sempit sekarang ni. Jadi kalau apa yang saya ada tu boleh meringankan beban sesetengah parents kat luar sana, then Alhamdulillah. Saya sendiri pun tak tahu macam mana nak ungkapkan perasaan ni. The frustration is there sebab bila pilihan yang ada tu, orang macam meminta lebih-lebih,” ujarnya.
Terdahulu, Yuna meluahkan rasa terkilan di Threads apabila ada segelintir pihak meminta barang keperluan bayi di luar tawaran yang diberikan olehnya.