Sekilas
- Datuk Yusof Haslam memuji filem TERBANG sebagai karya yang bagus tetapi kecewa dengan sambutan penonton yang kurang memberangsangkan.
- Beliau menyeru penonton Malaysia supaya lebih menyokong filem tempatan di pawagam demi kelangsungan industri perfileman negara.
- Filem TERBANG, arahan Chiu Keng Guan dan diinspirasikan oleh legenda rali Karamjit Singh, kini ditayangkan di pawagam seluruh negara termasuk format 4DX.
Penerbit dan pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam memuji kualiti filem TERBANG yang ketika ini sedang ditayangkan di pawagam.
Walau bagaimanapun, pemilik nama Mohd Yusof Md Haslam Khan ini mengakui dia terkejut kerana filem sebagus itu tidak mendapat sambutan yang sepatutnya dari penonton.
“TERBANG merupakan filem yang bagus tetapi saya ‘frust’ juga kerana kurangnya sambutan daripada penonton,” katanya kepada Gempak.
Yusof berkata demikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Munafik: Melawan Iblis di TGV Suria KLCC, Kuala Lumpur pada Rabu.
Justeru, pengarah yang terkenal dengan jolokan Six Million Dollar Man ini berharap agar penonton memberikan sokongan dengan menonton filem tempatan di pawagam.
Meskipun mengakui setiap tindakan individu itu merupakan pilihan masing-masing, namun Yusof berharap penonton menghargai penat lelah semua pihak yang terlibat.
“Bagi saya perkara ini merupakan hak masing-masing tapi kita harapkan supaya penonton-penonton Malaysia sokonglah filem-filem kita di panggung.
“Produksi dah keluarkan bajet yang besar. Jadi saya harap tak kisah apa filem sekalipun, sokonglah filem kita.
“Ia akan memberi kesan pada industri sebab kalau filem tempatan banyak yang gagal jadi industri akan menjadi lesu.
“Dan kalau semua nak harapkan tunggu Netflix, apa jadi pada industri? Jadi saya merayu sokonglah bukan saja filem saya tetapi semua filem tempatan,” tambahnya.
TERBANG arahan Chiu Keng Guan diinspirasikan daripada perjalanan legenda rali negara, Karamjit Singh selain mengetengahkan semangat kerjasama, kepercayaan dan perjuangan sebuah pasukan dalam mencapai kejayaan.
Filem tersebut dibintangi Irfan Zaini, Zizan Razak, Jack Tan, Nam Ron, Shweta Sekhon, Diana Danielle, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Ruminah Sidek, Luqman Hafidz dan Qasrina Karim.
TERBANG kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara termasuk dalam format 4DX.