Sekilas
- Datuk Yusof Haslam jelaskan kemunculan Que Haidar dalam filem Malaikat Malam hanya beberapa babak kerana jalan cerita yang memerlukan watak sub plot.
- Skop Production merancang untuk menggandingkan Que Haidar dengan Nur Fazura dalam filem baru yang diarahkan Syafiq Kyle, dengan penggambaran dijangka bermula hujung tahun ini.
- Filem Malaikat Malam kini sudah ditayangkan di pawagam seluruh negara dan menampilkan pelakon seperti Syafiq Kyle, Tracie Sinidol, dan lain-lain.
Pengarah dan penerbit, Datuk Yusof Haslam menjelaskan kemunculan pelakon, Que Haidar yang dilihat hanya mempunyai beberapa babak dalam filem terbaharu Viper Studios dengan kerjasam Skop Production, Astro Shaw dan Primeworks Studios yang berjudul Malaikat Malam.
Menurut Yusof atau nama sebenarnya Mohd Yusof Md. Haslam Khan, penampilan singkat Que bukanlah disebabkan faktor bayaran yang mahal tetapi dibuat mengikut kesesuaian filem.
“Bukan sebab itu (mahal) tetapi memang jalan ceritanya begitu.
“Watak Que merupakan sub plot iaitu abang kepada Azam watak yang dibawa Syafiq Kyle,” katanya.
Walau bagaimanapun, Yusof mendedahkan syarikat produksi miliknya iaitu Skop Production merancang untuk menggandingkan Que bersama pelakon yang kini digosipkan dengannya iaitu Nur Fazura.
Katanya, projek tersebut dijangka menjalani penggambaran sekitar hujung tahun ini namun segalanya masih berada di peringkat awal dan belum dimuktamadkan sepenuhnya.
“Saya akan ambil dia (Que) untuk berlakon dalam filem yang akan datang dan nak gandingkan dia dengan yang rapat dengan dia ketika ini iaitu Fazura.
“Filem mahupun tajuk apa saya tak boleh cerita tetapi filem itu dibawah arahan Syafiq.
“Insya-Allah perancangannya ialah untuk mulakan penggambaran pada hujung tahun ini. Skrip dan persiapan sudah dibuat cuma apa yang boleh saya katakan ketika ini ialah semua itu masih lagi rahsia,” katanya kepada Gempak.
Yusof berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Malaikat Malam di GSC, Mid Valley pada Rabu.
Dalam pada itu, Yusof turut memaklumkan bahawa dia sudah pun berjumpa Que dan Fazura mengenai hasratnya itu dan mendapat respon yang positif daripada dua pelakon tersebut.
“Saya baru jumpa tadi (di majlis tayangan perdana) dan kata nak beri tawaran berlakon kepada mereka.
“Reaksi mereka juga positif. Mereka terbuka untuk berbincang nanti.
“Walaupun belum bersetuju tapi insya-Allah mereka akan terbuka dan suka dengan tawaran ini. Lagi pula mereka pun dah lama tak berlakon,” ujarnya.
Terdahulu, Que yang hadir mempromosikan filem lakonan terbaharunya berjudul Malaikat Malam dilihat turut ditemani Fazura yang hadir bagi memberikan sokongan kepada aktor itu.
Sekadar info, filem Malaikat Malam bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula hari ini.
Selain Que, filem yang mendapat sentuhan pengarah muda, Nazifdin Nasrudin ini turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Syafiq Kyle, Tracie Sinidol, Kodi Rasheed, Riezman Khuzaimi dan ramai lagi.
Orang ramai kini sudah boleh mendapatkan tiket tayangan filem berkenaan di semua pawagam berhampiran sekarang.