Sekilas
- Datuk Yusof Haslam menyeru penonton Malaysia untuk menyokong filem tempatan dengan menontonnya di pawagam bagi menghargai usaha produksi.
- Beliau menegaskan sokongan ini penting untuk memastikan industri perfileman tempatan terus berkembang dan tidak lesu akibat kegagalan filem tempatan.
- Yusof juga mengakui cabaran yang dihadapi penerbit dengan kewujudan platform penstriman dan kos produksi yang semakin tinggi.
Penerbit dan pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam berharap penonton tempatan untuk memberikan sokongan kepada filem-filem keluaran produksi Malaysia dengan menontonnya di pawagam.
Mengakui setiap tindakan individu itu merupakan pilihan masing-masing, namun pemilik nama Mohd Yusof Md Haslam Khan ini berharap penonton menghargai penat lelah semua pihak yang terlibat.
“Bagi saya perkara ini merupakan hak masing-masing tapi kita harapkan supaya penonton-penonton Malaysia sokonglah filem-filem kita di panggung.
“Produksi dah keluarkan bajet yang besar. Jadi saya harap tak kisah apa filem sekalipun, sokonglah filem kita,” katanya kepada Gempak.
Yusof berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Munafik: Melawan Iblis di TGV Suria KLCC, Kuala Lumpur pada Rabu.
Tambah penerbit yang terkenal dengan jolokan Six Million Dollar Man ini, tindakan sebegitu juga sedikit sebanyak boleh memberi kesan kepada industri perfileman tempatan.
“Ia akan memberi kesan pada industri sebab kalau filem tempatan banyak yang gagal jadi industri akan menjadi lesu.
“Dan kalau semua nak harapkan tunggu Netflix, apa jadi pada industri? Jadi saya merayu sokonglah filem tempatan.
“Bukan semua filem boleh berjaya. Tetapi mungkin sekurang-kurangnya sebulan tengoklah satu filem. Sebulan sekali pun tak apa juga dan at least tonton filem tempatan,” katanya lagi.
Ditanya mengenai perkembangan platform penstriman, Yusof mengakui perkara itu juga sedikit sebanyak memberikan cabaran buat penggiat industri perfileman.
“Saya tahu sekarang banyak platform penstriman dan sebab itulah tanggungjawab pembikin filem hari ini semakin berat. Penerbit juga berdepan pelbagai cabaran ditambah pula dengan kos semakin tinggi sekarang ini.
“Jadi sokonglah filem tempatan, bukan sahaja filem saya tapi semua filem tempatan,” ujarnya.