Sekilas
- Datuk Yusry Abdul Halim melihat platform Launchpad sebagai peluang terbaik untuk memperluaskan pasaran muziknya ke peringkat serantau dan merapatkan jurang antara generasi penyanyi lama dan baharu.
- Yusry percaya muzik di Asia Tenggara harus dilihat sebagai pasaran besar yang universal tanpa batasan bahasa dan budaya, seperti yang dibuktikan oleh muzik Korea.
- Launchpad adalah platform pembangunan artis yang menghubungkan artis baharu dengan penonton, media, dan jenama di seluruh Asia Tenggara untuk mempercepatkan perkembangan kerjaya mereka.
Penyanyi dan komposer, Datuk Yusry Abdul Halim berpendapat platform persembahan Launchpad merupakan antara peluang terbaik untuk menembusi kelompok pendengar baharu, selain memperluaskan pasaran muziknya ke peringkat serantau.
Menurut Yusry, 53, inisiatif itu mampu merapatkan jurang antara generasi penyanyi lama dan baharu.
“Pada saya, apa yang menarik mengenai Launchpad ialah dua lagi kumpulan KIIRAS (Korea Selatan) dan UPRIZE (Vietnam) adalah bakat yang sedang membina nama.
“Mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa saya yang sudah 34 tahun dalam industri turut serta dalam platform ini.
“Tapi saya melihatnya dari sudut positif kerana platform ini membuka pasaran baharu kerana mereka mempunyai perancangan untuk mengembangkan program itu ke luar negara.
“Jadi pada saya ia satu inisiatif yang baik untuk kita berkongsi muzik di seluruh rantau ini,” katanya.
Yusry berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran platform Launchpad, pada Isnin.
Tambah Yusry, sudah tiba masanya muzik di Asia Tenggara dilihat sebagai satu pasaran yang besar tanpa dibatasi perbezaan dari sudur bahasa dan budaya.
“Selama ini budaya dan bahasa seolah-olah mengasingkan kita. Sedangkan Asia Tenggara adalah satu pasaran yang besar.
“Korea sudah membuktikan muzik itu bersifat universal. Anak-anak saya sendiri yang tidak faham bahasa Korea, tetapi tetap mendengar lagu-lagunya.
“Saya rasa generasi sekarang menerima muzik sebagai sesuatu yang universal. Kita tidak semestinya perlu memahami setiap perkataan. Jika kita memahami muzik itu sendiri, kita tidak perlu memahami bahasanya,” ujarnya.
Mengulas mengenai pemilihannya bersama kumpulan KIIRAS dan UPRIZE, Yusry mengakui pada mulanya dia sendiri tertanya-tanya sama ada konsep platform itu benar-benar sesuai dengan dirinya.
Namun, selepas memahami objektif penganjur, Yusry percaya kolaborasi bersama bakat muda mampu memperkenalkan muziknya kepada kelompok peminat baharu.
“Pada mulanya saya juga tertanya-tanya, sesuai ke saya? Tetapi saya melihatnya secara positif. Selalunya peminat artis baharu terdiri daripada golongan muda dan pada usia itulah seseorang paling aktif menjadi pendengar muzik.
“Sebagai penyanyi, kita perlu sentiasa berkembang. Kalau kita hanya bergantung kepada peminat sedia ada, memang mereka setia. Tetapi apabila mereka semakin berusia, siapa pula yang akan menggantikan mereka?
“Kalau dapat satu peratus sahaja daripada penonton muda itu untuk mengenali muzik saya, itu sudah menjadi satu asas yang baik untuk dibina,” katanya.
Untuk info, Launchpad adalah platform pembangunan artis yang direka untuk mempercepatkan perkembangan artis-artis baharu di peringkat serantau dengan menghubungkan mereka secara langsung kepada penonton, media, jenama dan rakan industri di seluruh Asia Tenggara.
Launchpad yang dimiliki Fast Track Entertainment (FTE) dari Singapura bersama rakan penjenamaannya, Sony Music Malaysia turut disokong dengan penghasilan kandungan digital asli, pendedahan media serantau serta kerjasama strategik bersama jenama yang dijangka membuka peluang komersial baharu sambil menyokong pembangunan kerjaya artis dalam jangka masa panjang, melangkaui pasaran tempatan mereka.