Sekilas
- Zaki Yamani menjelaskan dia tidak mengambil hati dengan komen netizen mengenai kewangannya dan menegaskan dia bekerja sendiri sejak usia 13 tahun tanpa bergantung pada duit bapanya, Datuk Jamal Abdillah.
- Beliau menegaskan tidak perlu menjelaskan keadaan kewangannya kerana netizen bukan yang menanggung perbelanjaan hariannya dan ramai tidak sedar golongan muda bekerja keras untuk bayar komitmen sendiri.
- Zaki juga berkongsi prinsip kewangan peribadinya yang mengutamakan simpanan dan pengurusan wang yang berhati-hati demi masa depan seperti membeli rumah dan memulakan bisnes.
Penyanyi, Zaki Yamani memaklumkan dirinya tidak mengambil hati apabila ada netizen yang mempersoalkan kemampuan kewangannya ketika melakukan sesi siaran langsung bersama penyanyi, Azeva Natassha baru-baru ini.
Menurut Zaki atau nama lengkapnya Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah, dia berpendapat bahawa pandangan orang luar bukanlah sesuatu yang perlu dilayan.
Malah, penyanyi berusia 20 tahun ini memaklumkan dia sudah mula bekerja sejak berusia 13 tahun bagi menampung perbelanjaan dan komitmen sendiri tanpa mengharapkan wang daripada bapanya, Datuk Jamal Abdillah.
“Bagi saya, kita tidak bolehlah merendahkan individu lain. Siapa yang menyokong saya dari awal mereka tahu bagaimana saya kuat bekerja.
“Saya tak guna duit ayah mahupun duit sesiapa. Saya bekerja untuk membayar komitmen sendiri. Hanya yang rapat saja tahu,” katanya kepada Gempak.
Zaki berkata demikian ketika ditemui di Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2026, baru-baru ini.
Malah, pelantun lagu Lekas ini menegaskan dia tidak perlu menjelaskan keadaan kewangannya kepada sesiapa kerana mereka tidak menanggung perbelanjaan hariannya.
“Saya tak kisah orang nak cakap apa, bukan mereka (netizen) yang bayar rumah, kereta dan bil-bil lain.
“Saya pun sudah bekerja daripada usia 13 tahun sampailah nak masuk umur 21 tahun.
“Mungkin mereka jarang nampak golongan awal usia ini bekerja sendiri untuk membayar komitmen,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Zaki memaklumkan bahawa dia sentiasa berhati-hati dalam menguruskan wang dan tidak menjadikan perbelanjaan berlebihan sebagai kebiasaan.
“Ramai yang mungkin ingat saya tiada simpanan wang tetapi sebenarnya saya seorang yang memang memikirkan tentang masa depan.
“Ibu saya antara individu yang selalu ingatkan untuk menyimpan wang. Saya juga ambil pelajaran daripada ayah juga, kita memang perlu menyimpan duit untuk masa depan.
“Saya nak beli rumah, buat bisnes. Sebagai anak muda tak bolehlah boros sangat. Kalau nak berbelanja, 70 peratus simpanan, guna 30 peratus saja daripada gaji. Itu prinsip saya,” tambahnya.
Terdahulu, seorang netizen dikihat meninggalkan komen ketika dia dan Azeva sedang bersiaran langsung di media sosial, dengan menyarankan wanita itu mencari teman lelaki yang lebih kaya.