Sekilas
- Slam akan mengadakan konsert The Grand Slam Unplugged 2 pada 20 Jun 2026 dengan 60% tiket sudah terjual.
- Vokalis Slam, Zamani, yang kini dalam pemantauan kesihatan selepas pembedahan tulang belakang, akan menyanyikan sekitar 25 lagu dalam konsert tersebut.
- Tiket konsert boleh dibeli dalam beberapa kategori termasuk GRAND VIP, VIP Gold, PS1 Silver, dan PS2 Platinum di laman web rasmi ilassotickets.com.
Sebagai sebuah kumpulan legenda Malaysia, Slam tidak memerlukan alasan yang banyak untuk mengadakan persembahan pentas atau konsert. Mereka mempunyai katalog lagu yang cukup malar segar ; dari Rindiani, Nur Kasih hingga Tak Mungkin Berpaling.
Maka apabila lima sahabat yang sudah melayari jatuh bangun perjuangan dalam industri muzik sejak 30 tahun lalu mengumumkan penganjuran The Grand Slam Unplugged 2 yang dijadual berlangsung pada 20 Jun 2026 ini, sebanyak 60 peratus tiket telah terjual.
Slam memerlukan 40 peratus peminat membeli untuk merealisasikan konsert yang merupakan kesinambungan daripada The Grand Slam Unplugged yang pernah melakar sejarah kerana berlangsung dalam situasi Malaysia terputus bekalan elektrik pada 3 Ogos 1996.
Saat ditanya mengapa menunggu sehingga 30 tahun untuk mengulangi detik epik tersebut, gitaris utama Slam, Shah menyifatkan ia sebagai momen sesuai.
“Sebenarnya kesempatan baru datang dan kami melihat ini adalah momen yang sesuai,” ujar Shah sebelum menyambung pemilihan tanggal 20 Jun sebagai tarikh penganjuran konsert iaitu dua bulan awal daripada tanggal ulang tahun sebenar The Grand Unplugged sebagai: “Kita cuba untuk dapatkan tanggal yang sama iaitu 3 Ogos tetapi penuh dan tarikh yang ada pada 20 Jun, jadi kami teruskan dengan tarikh ini.
Hasrat merealisasikan The Grand Unplugged 2 juga bergantung kepada komitmen semua anggota termasuk vokalis Slam, Zamani. Zamani diketahui menghidap penyakit Skoliosis (Scoliosis), iaitu keadaan tulang belakang melengkung ke sisi atau bongkok dan senget sejak sekitar 2015. Beliau telah menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang pada tahun 2022 dan kini masih menjalani pemantaun berkala.
Namun Zamani dengan bersemangat memberitahu kesihatannya lebih baik dan tidak sabar menjayakan The Grand Unplugged 2. Bersama Slam, Zamani akan mengalunkan sekitar 25 buah lagu.
“25 lagu mungkin banyak, itu cabaran saya tapi Insya Allah saya sihat, mungkin cara menyanyi tidak seperti dahulu tapi kita akan jayakan dengan baik,” ujar Zamani yang ditemui pada sidang media.
Zamani juga memberitahu kesihatan dirinya berada pada tahap yang baik selepas menjalani beberapa siri fisioterapi dan rawatan berkala.
“Walaupun tulang belakang saya terkait dengan banyak saraf jadi pernafasan pun terganggu sikit, tapi saya boleh handle curi-curi nafas sikit.
“Tapi Alhamdulillah kesihatan saya baik. Sihat, cuma malam konsert nanti kita tak dapat nak jangka bila banyak duduk atau menyanyi, tapi sekarang, kesihatan saya lebih baik,” kata Zamani.
Dengan semangat Slam yang cukup berkobar untuk mengembalikan nostalgia buat peminat sedia ada sekali gus mengumpul kelompok peminat baharu, pastikan anda menjadi salah seorang saksi pada malam konsert dengan membeli tiket GRAND VIP RM3000.00 (Couple Sofa),
VIP (Gold) RM468.00 (Numbered Seating), PS1 (Silver) RM388.00 (Numbered Seating) dan PS2 (Platinum) RM368.00 (Numbered Seating)
di www.ilassotickets.com/thegrandslamunplugged2.