Sekilas
- Penyanyi Zehra Zambri kini berada dalam fasa kritikal dan sangat memerlukan pekerjaan untuk menyara kehidupan anaknya yang berusia tiga tahun.
- Zehra terbuka menerima sebarang tawaran kerja, terutama dalam bidang nyanyian dan penyiaran yang pernah diceburi selama lebih 15 tahun.
- Beliau baru sahaja bercerai talak satu pada 20 Ogos lalu dan berharap ada peluang yang sesuai dengan bakat dan pengalamannya.
Penyanyi Zehra Zambri menyorot perhatian apabila berkongsi keadaan dirinya yang ketika ini berada dalam fasa kritikal dan sangat memerlukan pekerjaan.
Menurut Zehra, dia sangat memerlukan pekerjaan bagi menanggung kehidupan seharian anaknya yang baru berusia tiga tahun.
“Saya berada di fasa yang sangat-sangat kritikal. Saya harus memulakan hidup saya dari bawah semula. Anak perlu saya dinafkahi.
“Perkahwinan lalu telah buat saya kehilangan banyak benda. Termasuk aspek kewangan saya sendiri yang telah dicabuli,” katanya.
Zehra berkongsi perkara tersebut menerusi ciapan yang dibuatnya di aplikasi Threads.
Menurut Zehra, dia terbuka untuk menerima apa-apa tawaran bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Alumni Gegar Vaganza ini turut berkongsi kebolehan yang ada pada dirinya.
“Saya ingin bekerja semula, jika ada sesiapa perlukan khidmat saya untuk persembahan pentas boleh je hubungi saya.
“Terakhir saya sebagai Finalis GV11 (Gegar Vaganza 11) lalu. Dari 2005 saya telah bergiat dalam industri seni suara
“Selain menyanyi, pengalaman saya terdahulu juga dalam bidang penyiaran. Sembilan tahun saya berkhidmat di sebuah stesen televisyen sebagai wartawan penyiaran, pengacara dan juga pembaca berita.
“Jika ada apa-apa peluang yang bersesuaian dengan bakat dan pengalaman saya ini mohon dipanjangkan,” ujarnya.
Pada 20 Ogos lalu, Zehra dan bekas suami, Nur Mohd Iqwan Samsudin sah bercerai talak satu.
Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 10 November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Zahiyah Iqleela yang kini berusia tiga tahun.
Zerha juga pernah berkahwin dengan Wan Muhammad Nurhariz Hariri namun perkahwinan mereka hanya bertahan selama enam bulan.
Sumber: Threads