Sekilas
- Zizan Razak menitiskan air mata sebelum menjalani babak aksi berisiko tinggi dalam filem TERBANG yang dirakam di New Zealand menggunakan sistem keselamatan ‘harness’.
- Filem TERBANG mengisahkan perjalanan legenda rali Malaysia, Karamjit Singh, yang sangat dikagumi Zizan walaupun wataknya bukan utama.
- TERBANG akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 17 September, termasuk dalam format 4DX, dengan barisan pelakon seperti Irfan Zaini dan Diana Danielle.
Pelakon dan pelawak Zizan Razak mengakui menitiskan air mata sebelum menjayakan satu babak aksi dalam filem TERBANG kerana menyedari risiko yang perlu diambil demi memberikan hasil terbaik kepada penonton.
Menurut Zizan, babak yang dirakam di New Zealand itu dilakukan sendiri dengan bantuan sistem keselamatan termasuk ‘harness’ bagi mengelakkannya terjatuh ketika berada dalam keadaan bergerak pada kelajuan tinggi.
“Masa itu sebenarnya saya menangis. Sebelum mula penggambaran saya dah menangis sebab saya rasa macam berisiko.
“Susahnya nak jayakan filem, nak bagi orang terhibur dan nak bagi orang tengok cerita ini.
“Saya buat sendiri. Mereka ada letak ‘harness’ dan ikat supaya saya tak jatuh tetapi laju juga masa itu. Semua berlaku di New Zealand,” katanya ketika ditemui pada malam gala TERBANG di TGV KLCC, malam tadi.
Dalam masa sama, Zizan berkata, penglibatannya dalam TERBANG cukup istimewa apabila berpeluang menjadi sebahagian daripada filem yang diinspirasikan daripada perjalanan legenda rali negara, Karamjit Singh.
Malah, dia tidak kisah meskipun watak yang dibawakan bukanlah watak utama kerana Karamjit merupakan antara individu yang dikaguminya sejak kecil.
“Saya asalnya ambil filem ini disebabkan Karamjit Singh. Kalau ikutkan, watak saya bukan utama tetapi ini antara filem yang saya ambil walaupun bukan watak utama.
“Saya fikir filem ini bukan pasal saya, filem ini pasal Karamjit Singh. Saya tak ada sebab nak tolak cerita ini kerana Karamjit adalah wira saya,” ujarnya.
Tambah Zizan, rasa hormat terhadap figura yang cukup sinonim dengan gelaran ‘The Flying Sikh’ itu semakin kuat apabila menyedari nama Karamjit turut dikenali dalam kalangan komuniti sukan permotoran di luar negara.
“Saya daripada kecil tengok dia. Dia pernah datang Terengganu buat aksi dan pernah naikkan nama Malaysia. Zaman 2000, nama dia memang tengah megah dan saya tahu dia wira Malaysia.
“Saya letak dia pada tahap Valentino Rossi dan Michael Schumacher sebab nama dia memang besar. Masa saya ada penggambaran di Australia pun, pasukan pelumba di sana tahu pasal Karamjit Singh,” jelasnya.
Justeru, Zizan menyifatkan peluang menjayakan TERBANG sebagai satu penghormatan buat dirinya selain mahu menyumbang kepada penghasilan sebuah naskhah mengenai legenda sukan permotoran negara.
“Saya terima cerita ini sebab saya fikir saya kena jayakan filem ini kerana ia akan menjadi biografi untuk Malaysia.
“Kalau watak saya bukan utama, tak banyak pun tak apa. Janji saya antara orang yang menyumbang kepada filem ini untuk berjaya, insya-Allah,” katanya.
TERBANG arahan Chiu Keng Guan membawa kisah inspirasi perjalanan pasukan rali Malaysia yang diketuai Karamjit dalam usaha membuktikan kemampuan negara di pentas dunia.
Filem yang turut dibintangi Irfan Zaini, Jack Tan, Nam Ron, Shweta Sekhon, Diana Danielle, Luqman Hafidz dan Qasrina Karim itu bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 17 September ini termasuk dalam format 4DX.