Sekilas
- Zizan Razak terkejut namanya dikaitkan sebagai antara pelakon dengan bayaran tertinggi di Malaysia dan menegaskan nilai bayaran bergantung pada usaha, hasil kerja, dan hasil yang dicapai.
- Beliau menasihatkan pelakon agar tidak meletakkan nilai berdasarkan jumlah pengikut media sosial, sebaliknya fokus pada kepuasan penonton terhadap karya mereka.
- Zizan akan meneliti tawaran watak dengan teliti dan menolak jika tidak sesuai, serta menasihatkan pelakon baru supaya tidak terlalu mengejar populariti tanpa menjaga kualiti dan disiplin.
Pelawak dan pelakon, Zizan Razak mengakui terkejut apabila namanya dikaitkan sebagai antara pelakon yang menerima bayaran tertinggi di Malaysia.
Menurut Zizan atau nama penuh ha Mohd Razizan Abdul Razak, dia sendiri tidak pernah membandingkan kadar bayaran yang diterimanya dengan mana-mana rakan artis lain.
"Saya tak tahu sebab tak pernah banding payment saya dengan artis lain, jadi tak boleh nak cakap.
"Tapi kelayakan itu bukan sekadar payment semata-mata, sebaliknya usaha, hasil kerja dan result, kemudian baru boleh demand,” katanya kepada Gempak.
Zizan berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis pelancaran Astro Fandom, baru-baru ini.
Tambah Zizan, seseorang pelakon itu tidak sepatutnya meletakkan nilai berdasarkan jumlah pengikut di media sosial mahupun ‘engagement’ semata-mata.
"Jangan demand sebab ada pengikut ramai atau jumlah tontonan tinggi, tapi demand pada kepuasan orang yang menonton cerita kita itu," katanya lagi.
Ditanya mengenai pemilihan watak, bekas peserta Raja Lawak musik pertama ini mengakui akan meneliti terlebih dahulu setiap tawaran yang diterima sebelum membuat keputusan.
“Saya agak cerewet tetapi tengok juga pada watak. Kadang-kadang kalau watak atau cerita itu bagus tetapi tak sesuai untuk saya, ada juga yang saya tolak. Saya takut kalau tak sesuai orang akan ‘cringe’ tengok saya.
“Walaupun kita idamkan watak itu tetapi kita tak layak, seeloknya kita tolak. Saya lebih kepada mengukur baju di badan sendiri,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zizan turut menitipkan pesanan kepada pelakon baharu agar tidak terlalu mengejar populariti sehingga mengabaikan kualiti serta disiplin dalam kerjaya.
Menurutnya, setiap anak seni mempunyai kelebihan dan identiti tersendiri yang perlu dimanfaatkan bagi membina nama serta memastikan mampu bertahan lama dalam industri hiburan.
Dalam perkembangan lain, Zizan bakal tampil menerusi filem Terbang arahan Chiu Keng Guan yang dijadualkan menemui penonton di pawagam pada September depan.
Selain Zizan, filem tersebut turut dibarisi pelakon seperti Irfan Zaini, Jack Tan, Nam Ron dan Diana Danielle.