Sekilas
- Zizi Kirana sudah tidak berhubung dengan bekas suaminya, Yusuf Bahrin, selepas perceraian mereka pada April lalu tetapi masih menjaga hubungan baik dengan keluarga Yusuf.
- Dia menghargai hubungan dengan mentuanya yang sering menziarahinya dan menganggap silaturrahim itu penting walaupun sudah berpisah dengan Yusuf.
- Zizi juga bersedia jika terserempak dengan Yusuf di majlis atau acara dan mengakui sudah melupakan segala perasaan negatif terhadap bekas suaminya.
Penyanyi, Zizi Kirana memaklumkan dia sudah tidak lagi berhubung dengan bekas suaminya, Yusuf Bahrin selepas perceraian mereka April lalu.
Walau bagaimanapun, pemilik nama Nur Fazelah Mad Tahil ini mendedahkan bahawa dia masih lagi berhubung dan menjaga hubungan baik dengan keluarga Yusuf.
Ujar pelantun lagu Eh! ini, dia menganggap tiada sebab untuk dirinya memutuskan silaturrahim bersama ibu dan bapa Yusuf. Malah, keluarga mentuanya itu sering menziarahinya setiap kali masa lapang.
“Saya dan Yusuf memang tak ada berhubung. Saya memang terus 'cutoff' (putuskan hubungan) tapi dengan keluarga dia (mentua) dengan mak, abah, adik ipar dan mak saudara dia semua, Alhamdulillah sampai sekarang kami masih berhubung.
“Mak dan abah mentua saya orang yang sangat baik, jadi saya rasa hubungan dan silaturahim itu tak patut saya putuskan. Kadangkala mak sendiri cakap dan berdoa supaya ukhwah kami berkekalan hingga ke jannah.
“Baru-baru ini mereka datang ziarah saya ke rumah, bawa macam-macam makanan seperti asam pedas, kerepek dan kuih.
“Masya-Allah, inilah kebahagiaan. Walaupun nampak macam biasa, tapi ini menyenangkan saya,” katanya kepada Gempak.
Zizi berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu terbaharunya yang berjudul ‘Yang Tinggal’ bertempat di Royale Chulan Kuala Lumpur pada Jumaat.
Tambah Zizi, kehadiran bapa kepada Yusuf dalam hidupnya juga seakan memberi satu makna memandangkan dia tidak mempunyai hubungan yang rapat dengan bapanya sendiri.
“Saya tak perlu bermusuh, saya ada mak dan abah iaitu orang yang saya sangat hormati. Macam saya pun tak ada hubungan yang begitu rapat dengan bapa sendiri, jadi bila saya ada abah, kami pergi umrah bersama-sama.
“Bagi saya itu momen sangat berharga untuk saya simpan sampai bila-bila.
“Walaupun saya dan Yusuf berpisah, tapi Allah beri saya kehadiran mak dan abah. Saya sangat bersyukur dan hubungan itu tak terputus,” tambahnya.
Menjawab persoalan sekiranya terserempak dengan Yusuf di majlis-majlis tertentu, Zizi memaklumkan dia bersedia malah tidak menganggap perkara tersebut sebagai sesuatu yang mengganggu dirinya.
“Ada saja kami terserempak di majlis atau acara sebab kawan-kawan dia merupakan kawan saya juga. Mereka akan beritahu saya yang Yusuf akan ada juga dia acara tersebut, mereka tanya saya okey ke. Saya okey je.
“Seingat saya mungkin ada sekali atau dua kali terserempak dalam satu majlis yang sama.
“Saya dah tak ada apa apa rasa, tak ada perasaan tak puas hati ke awkward ke tiada. Saya dah lupakan semuanya,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, Zizi dan Yusuf mendirikan rumah tangga pada 19 September 2021.
Mereka kemudiannya disahkan telah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Shah Alam pada 2 April yang lalu.