THR Gegar sekali lagi mencetus fenomena dengan penganjuran BudiRock THR Gegar, sebuah pertandingan nyanyian lagu-lagu bergenre rock yang mendapat sambutan hangat daripada peminat muzik tanah air.
Pertandingan ini telah membuka penyertaan bermula minggu pertama Oktober hingga minggu keempat Oktober 2025, di mana peserta diminta menghantar video nyanyian karaoke (karok) mereka di media sosial menggunakan tanda pagar #BudiRockTHRGegar.
Advertisement
Daripada ratusan penyertaan kreatif yang diterima, tiga peserta terbaik telah dipilih untuk mara ke peringkat akhir (Finale) yang berlangsung secara langsung di Astro Bukit Jalil dan disiarkan secara Live di TikTok THR Gegar.
Finale ini menyaksikan persembahan mantap daripada tiga finalis berbakat berikut:
Juara: Zuhairah Amanina Farhanah binti Mohamad Faudzi – RM500
Saguhati: Mhd Mirzat – RM250
Saguhati: Mohd Rahaizatullah – RM250

Persembahan para finalis dinilai oleh dua ikon muzik rock tanah air, Eddie Hamid dan Shidi Data, yang memberikan sentuhan profesional dalam penjurian. Acara turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada Kumpulan Castle dan Shidi Data, menjadikan malam finale penuh dengan aura rock yang menggegarkan.
Pengurus Jenama THR Gegar, Eman Zaki, berkata pertandingan seumpama ini adalah antara elemen penting untuk mengeratkan hubungan antara THR Gegar dan para pendengar setia, khususnya dari Pantai Timur.
“Kami percaya muzik bukan sekadar hiburan, tetapi satu medium untuk menyatukan komuniti. BudiRock bukan sahaja meraikan bakat baharu, malah mengangkat semula semangat rock yang sentiasa dekat di hati pendengar kami.
“THR Gegar mengucapkan tahniah kepada semua peserta dan terima kasih kepada peminat yang terus menyokong muzik rock tempatan. Nantikan lebih banyak aktiviti menarik daripada THR Gegar pada masa akan datang,” katanya.
Untuk maklumat lanjut, ikuti laman sosial rasmi THR Gegar atau muat turun aplikasi THR Gegar di App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery.