Sekilas
- Zul Huzaimy berharap isu penerbit dan produksi yang mendapatkan tajaan untuk kos penggambaran tidak dipandang negatif oleh netizen.
- Beliau menjelaskan tajaan membantu mengurangkan kos produksi dan memberi peluang penaja mempromosikan perniagaan mereka.
- Zul juga menegaskan kerjasama ini adalah situasi menang-menang yang menguntungkan kedua-dua pihak dalam industri hiburan.
Pelakon dan pengarah, Zul Huzaimy berharap isu penerbit serta pihak produksi yang ingin mendapatkan tajaan bagi menampung kos penggambaran tidak dipandang serong sehingga mengundang kecaman netizen.
Zul Huzaimy atau nama sebenarnya Zul Huzaimy Marzuki, 47, berkata, dia sendiri terbuka menerima tawaran tajaan daripada peniaga yang berminat menyumbangkan produk atau makanan kepada produksi drama arahannya.
Menurutnya, kerjasama itu bukan sahaja membantu mengurangkan kos perbelanjaan produksi, malah memberi peluang kepada pihak penaja untuk mempromosikan perniagaan masing-masing.
“Kalau ada orang mahu menaja produk atau makanan untuk produksi, kita pula akan cuba membantu mereka semula. Win-win situation untuk dua-dua pihak.
“Maksudnya, apabila seseorang sudah membantu produksi, ia dapat mengurangkan kos makanan sepanjang beberapa hari dan sudah tentu sumbangan itu sangat bermakna.
“Kalau seorang makan pun sudah membabitkan perbelanjaan sekitar RM30 hingga RM35, bayangkan kalau membabitkan seramai 30 hingga 40 orang, jumlah perbelanjaannya sudah tentu besar.
“Jadi, sumbangan penaja itu mungkin sudah mencecah ribuan ringgit. Apa salahnya kita sebagai produksi turut membantu pihak yang menaja itu pula?” katanya.
Zul berkata demikian ketika ditemui pada majlis Pink Promises 2026, Kesedaran Kanser Payudara dan Inisiatif Kesihatan Mental serta pelancaran Anre Wellness anjuran Darla Club yang berlangsung di Ampang, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Zul berpendapat peluang menaja sesebuah produksi juga memberi ruang kepada peniaga untuk memperkenalkan perniagaan selain membina hubungan dengan individu dalam industri hiburan.
“Kalau benar seseorang itu menjalankan perniagaan, sudah tentu dia mahu mendapat peluang seperti itu. Siapa yang tidak mahu berkenalan dengan pengarah dan penerbit terkenal Erma Fatima?
“Orang sanggup melakukan pelbagai perkara untuk berkawan dengan selebriti. Tidak kiralah dia pempengaruh, pelakon atau penyanyi. Mereka tentu seronok mendapat peluang sebegitu.
“Kak Emma mempunyai niat yang baik. Dia mahu membantu peniaga dan mengharapkan sokongan secara timbal balik. Itu juga satu bentuk bantuan yang sangat besar kepada peniaga berkenaan.
“Tambahan pula, Kak Emma bukan bersendirian kerana ada ramai lagi pelakon lain di sekelilingnya. Bayangkan, hanya dengan meletakkan logo untuk tempoh yang singkat pun, dapat membantu mempromosikan perniagaan,” ujarnya.
Terdahulu, pengarah dan penerbit, Erma Fatima menerusi satu hantaran di Threads memohon tajaan makanan daripada peniaga sekitar Kuala Terengganu bagi menjayakan penggambaran filem terbaharunya, Langit 2 Warna.
Bagaimanapun, hantaran tersebut mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial, termasuk pihak yang mempersoalkan tindakan produksi mendapatkan tajaan.