Drama terkini Astro Ria iaitu ‘Tiada Maaf Buatmu’ membawa kisah percintaan persis office romance yang bakal menjadi kegemaran ramai. Namun drama baharu pertaruhan kali ini bukanlah berdasarkan naratif percintaan biasa atau cliché semata-mata.

Penceritaan menerusi 24 episod ini mengisahkan Aina Cempaka seorang gadis yang mengalami kecelakaan sehingga ia merubah kehidupannya. Perbuatan abangnya yang tidak melangsaikan hutang pemilik kelab malam menjadikan Aina Cempaka mangsa keadaan.

Kejadian itu membuatkan kehidupan Aina Cempaka menjadi lebih malang apabila dia kehilangan ingatannya.

Drama ini menampilkan kemunculan semula pasangan popular Aiman Hakim Ridza dan Zahirah MacWilson sebagai watak utama lantas mengembalikan keterujaan para peminat dengan lakonan mereka selepas drama hit mereka dalam ‘Curi-Curi Cinta’.

A post shared by Zahirah Macwilson (@zahirahmacwilson)


Kata Pengurus Saluran Astro Ria, Idlan Zahari, drama Tiada Maaf Buatmu merupakan penampilan pertama pasangan itu selepas bergelar suami isteri.

"Ini merupakan penampilan pertama mereka selepas bergelar suami isteri jadi para penonton pasti akan tidak sabar untuk melihat gandingan mereka berdua yang memberikan watak kontra dengan kehidupan mereka yang sebenar.

"Drama ini turut berjaya menyelitkan elemen pemerkasaan wanita serta kebangkitan mereka apabila mereka disalah lakukan.

"Kami berharap naratif ini mampu menjadi inspirasi kepada para penonton kami serta menarik segmen penonton baharu termasuk generasi muda untuk menontonnya," katanya.

Isu serangan seksual

Sementara itu, tambah pengarah drama Tiada Maaf Buatmu, Idora Abdul Rahman, drama terbabit merupakan naskhah memberi gambaran kesan sampingan isu serangan seksual.

"Ia bukanlah sesuatu isu yang ringan, malah ia menjadi satu cabaran buat kami untuk memaparkan dengan baik.

"Kami ingin menonjolkan masalah yang datang daripada isu ini, bukan sahaja masalah cinta lovey dovey atau putus cinta yang biasa dipaparkan dalam drama Melayu.

"Namun, pengambilan Aiman Hakim Ridza dan juga Zahirah MacWilson merupakan penyelesaian yang terbaik kerana mereka sangat profesional dan tidak mencampur-adukkan kehidupan peribadi dengan kerjaya.

"Dua-dua memang kompetitif dan sering melahirkan idea dan lakonan yang lebih realistik.

"Saya berharap para penonton akan tertarik dengan jalan ceritanya dengan plot twist yang mencabar emosi. Kami juga berharap mesej dan pengajaran yang diselitkan sampai kepada mereka dan diterima dengan baik," ujarnya.

Sinopsis Tiada Maaf Buatmu

‘Tiada Maaf Buatmu’ mengisahkan seorang gadis bernama Aina Cempaka yang pernah menjadi mangsa serangan seksual lima tahun dahulu, akibat daripada kegagalan abangnya dalam melangsaikan hutang dengan Black, seorang pemilik kelab malam.

Disebabkan kejadian itu, Aina Cempaka menjadi depresi selama berbulan-bulan. Dia berlari ke sebuah jambatan untuk melepaskan geram tetapi terjatuh ke bawah dan terhentak di permukaan batu.

Kehilangan Aina Cempaka menghasilkan khabar angin bahawa dia membunuh diri dan sudah meninggal. Tanpa pengetahuan sesiapa pun, Aina Cempaka sebenarnya koma dan keguguran. Dia juga hilang kesemua ingatannya.

Selepas kejadian itu, Aina Cempaka pergi ke Kuala Lumpur untuk memulakan kehidupan yang baharu dan tinggal bersama Suzy. Dia juga menerima tawaran untuk bekerja di Ibunda Corporation sebagai pembantu peribadi Faiz Iqbal.

Sejak itu, kerja-kerja Faiz Iqbal menjadi semakin terurus, membuatkan dia lebih bersemangat untuk ke pejabat. Lama-kelamaan, Faiz Iqbal menaruh hati kepadanya kerana dia berasa selamat apabila Aina Cempaka menjaganya memandangkan Aina Cempaka mempunyai perwatakan yang lasak dan ada ilmu mempertahankan diri.

Bukan itu sahaja, Aina Cempaka juga menjaga solatnya. Secara tidak langsung Faiz Iqbal semakin tertarik dengannya tanpa mengetahui hubungan kisah silam dan kaitan antara mereka berdua sebelum ini.

Siapakah Faiz Iqbal sebenarnya kepada Aina? Mampukah mereka bersama di sebalik sejarah hitam masing-masing? Nantikan jawapannya.

Drama terbitan Datuk Rosyam Nor dan Datin Runika Mohd Yusof ini diarahkan oleh sutradara Idora Abdul Rahman serta didukung oleh barisan pelakon yang berbakat seperti Wan Raja, Hafreez Adam, Josiah Hogan, Datuk Jalaluddin Hassan, Watie Sadali dan Sofia Dendroff.

‘Tiada Maaf Buatmu’ ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam mulai 28 September 2022 secara eksklusif di slot MegaDrama, Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Dapatkan Pek Premium 1 untuk penjimatan hebat dengan hanya RM 99.99 sebulan untuk enam bulan pertama. Whatsapp “NAK ASTRO” ke 03-9543 3838 untuk menikmati drama ini di Astro.