Seorang lelaki dilihat tertinggal anaknya ketika cuba membawa lari sebuah motosikal yang dicuri.

Kejadian yang dilaporkan berlaku di Sumatera Utara, Indonesia itu terakam dalam sebuah CCTV (kamera siri litar tertutup) di kaki lima.

Video berkenaan tular dan dimuat naik semula dalam akaun Instagram (IG) @terang_media.

Dalam rakaman itu seorang lelaki yang pada mulanya berjalan bersama seorang kanak-kanak perempuan tiba-tiba meluru ke sebuah motosikal dan membawanya lari.

Difahamkan pemilik motosikal yang menyedari kejadian itu segera mengejarnya namun gagal setelah ia dipecut oleh pencuri berkenaan.

Anaknya yang berada di tempat kejadian kelihatan terpinga-pinga dengan apa yang berlaku lalu terus bawa diri ke tepi jalan.

“Menurut keterangan kanak-kanak yang ditinggalkan, pelaku ialah bapanya dan rumah mereka terletak 200 meter dari lokasi kejadian,” tulis kenyataan dalam kapsyen IG berkenaan.

Kemas kini itu mendapat perhatian netizen di Indonesia yang mengecam tindakan lelaki tersebut.

“Kesian anaknya,” kata salah seorang pengikut di laman sosial itu.

“Moga anaknya tak mengikut perilaku bapanya,” komen salah seorang warga maya.

A post shared by TERANG MEDIA (@terang_media)