10, 000 Peminat Teruja Bertemu EXO! — Ini Foto-foto KACAK Ahli EXO Bikin Wanita Tak Henti Menjerit!
Disember 15, 2019 11:17 MYT
Walaupun hanya menampilkan enam anggotanya iaitu Suho, Baekhyun, Chen, Chanyeol, Kai dan Sehun tanpa kehadiran ahli yang lain, ia tidak menggugat semangat mereka untuk menghiburkan lebih 10,000 penonton semalam. Persembahan hebat dimulakan dengan lagu Tempo, Transformer dan Gravity.
Persembahan selama dua jam itu menghidangkan peminat dengan 27 lagu hits mereka. Setiap ahli tampil dengan persembahan solo mereka yang mengujakan. Daripada lagu rancak ke balada, semuanya digarap dengan begitu cemerlang. Walaupun banyak diringi tarian, ia langsung tidak menganggu vokal mereka.
Malah, tarian yang mereka tunjukkan juga menampakkan mereka berada di tahap lebih hebat berbanding sebelum ini. Tidak hairanlah penonton juga begitu teruja menantikan persembahan untuk setiap lagu mereka.
Menurut Suho, setiap kali berkunjung ke Malaysia mereka akan teruja kerana EXO-L sini sangat bersemangat. Mereka turut mengucapkan “TERIMA KASIH’ kerana masih menyokong.
Tidak ketinggalan, EXO mempersembahkan lagu-lagu yang hebat dari album penuh ke-5 EXO iaitu ‘Do not Mess Up My Tempo’, serta album ‘repackaged’ yang memuatkan lagu ‘Love Shot’. Satu usaha hebat untuk menimbulkan perasaan yang mengujakan dan menarik perhatian di kalangan EXO-L.
Ternyata konsert semalam berjaya memuaskan hati 10,000 EXO-L yang hadir. Konsert EXO PLANET #5 - EXplOration in Kuala Lumpur’ dianjurkan oleh Star Planet dan dipersembahkan oleh GETBATS.