Kredit Foto: Google



Azam, menyebutnya sahaja memanglah mudah. Tapi untuk merealisasikannya, alahai…punyalah payah! Betul tak? Atau mungkin kesukarannya itu hanya dirasai tatkala mahu memulakan sesuatu perkara. Dan apabila sudah mula mendapat rentak, pasti semuanya jauh lebih mudah. Semuanya perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh, disiplin yang kekal konsisten. Insya-Allah, semoga azam kita dapat direalisasikan.
  1. Nak Jadi Yang Lebih Baik
Lumrah sebagai manusia yang waras akal fikirannya, pasti memasang impian mahu menjadi seorang yang lebih baik daripada tahun sebelumnya. Kalau dulunya si dia seorang yang berfikiran sempit, pasti terdetik dihati mahu ubah pemikiran kepada seorang yang lebih positif, aktif dan sebagainya. Jadi apa ikhtiar kamu untuk cuba menjadi yang lebih baik, lebih beriman dan sebagainya? Pastikan kamu tetapkan matlamat, cuba rutin baru atau mungkin berguru dengan mereka yang lebih arif. Cubalah, mungkin ia berhasil buat kamu?


Kredit Foto: Google
  1. Nak Kurus
Ini antara azam yang paling popular dan paling kerap kita dengar kan? Tapi dalam banyak-banyak yang berazam itu, berapa peratus yang sudah tercapai? Ada yang berjaya dapatkan berat badan yang diimpikan? Tahniah kami ucapkan! Buat yang belum berjaya lagi, usahakan sampai jadi untuk 2020 okey! Come on, dah tahun 2020 kot? Hahaha…
  1. Nak Simpan Duit
Okey, bab menyimpan duit ini kami letakkan pada kedudukan tiga teratas. Sebabnya ramai juga yang berazam mahu simpan duit tapi tup-tup entah ke mana perginya duit itu. Habis macam itu saja. Alhamdulillah, penulis berjaya realisasikan azam ini untuk tahun kedua. Ya, bukan mudah nak mula menabung waima RM5 atau RM10 setiap hari. Tapi selepas tengok duit berkepuk-kepuk, seronok pula rasanya dan semakin bersemangat untuk terus menyimpan. Kalaulah dari dulu lagi sudah mula buat, makcik kayo!



Kredit Foto: Google
  1. Nak Melancong
Sama ada di dalam ataupun luar negara, setiap daripada kita pasti punya angan-angan yang satu ini. Nak travel tak susah sebenarnya. Asalkan disiplinkan diri untuk menabung dan rajin cari tiket penerbangan yang murah. Haa…siapa yang kaki travel tu mesti dah pakar kan? Jadi, tolonglah nasihatkan kawan-kawan kalian. Almaklumlah, jauh berjalan luas pemandangan dan kaya pengalaman. Cubalah travel ke satu atau dua lokasi tahun 2020 ini. Lepas itu, pasti mula gatal tangan nak beli tiket penerbangan ke destinasi lain pula.
  1. Nak Bersenam
Ini juga adalah refleksi bagi azam nak kurus diatas tadi. Awal-awal tahun mulalah bersemangat beli kasut sukan, baju sukan dan sebagainya. Tapi masuk pertengahan tahun atau ada saja kekangan, mulalah hangat-hangat tahi ayam. Eh, tak boleh macam itu! Cuba disiplinkan diri dan tanamkan tekad untuk lakukan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh. Fikirkan apa kelebihan dan manfaatnya. Pasti kalian tak sabar nak dapat hasilnya kan?



Kredit Foto: Google
  1. Nak Beli Kereta Baru
Buat millennials yang baru saja bekerja dan merasa nikmatnya gaji pertama, pasti berangan nak pandu kereta itu dan ini. Pastikan kamu mempunyai kedudukan kewangan yang stabil dan mampu membayar ansuran kereta secara konsisten. Tidak kisahlah, sama ada kereta tempatan atau kereta import; pastikan kalian tidak terbelit dengan hutang keliling pinggang. Jangan sesekali amalkan pepatah biar papa asal bergaya, kelak nanti diri sendiri yang binasa!
  1. Nak Beli Rumah
Siapa yang tak mahu kumpul aset sendiri bukan? Lebih-lebih lagi ketika masih bertenaga dan usiapun masih muda. Pasti terbit impian mahu mengejar cita-cita memiliki rumah yang didambakan. Mulakan dengan membeli rumah yang kecil atau mengikut kemampuan kewangan kamu. Kumpul duit sedikit demi sedikit kemudian bolehlah beli rumah yang lebih besar. Tidaklah nanti terlalu terbeban dengan hutang yang banyak.


Kredit Foto: Google
  1. Nak Kaya
“Kalau aku kaya, hari-hari Hari Raya”… Haa, betul kan? Segala apa yang dimahukan boleh dipenuhi semudah itu saja. Tapi bukan senang nak jadi senang. Banyak yang perlu kamu korbankan. Mulakan dengan usaha yang bersungguh-sungguh, jangan menindas orang lain, ikut saluran yang betul dan jangan pula mendabik dada andai kekayaan memihak kepada kamu.
  1. Nak Kahwin
Ada yang masih solo walau sudah bertahun-tahun berazam mahu tamatkan zaman bujang setiap kali masuk tahun baru? Sabar ya. Tak perlu terburu-buru atau tertunggu-tunggu. Kalau dah jodoh itu takkan ke mana perginya. Cuma cepat atau lambat saja. Banyakkan berdoa, ikhtiar dan perbaiki diri sendiri. Mungkin jika kamu punya kewangan yang baik, kerjaya yang stabil dan kumpul aset sedikit demi sedikit; Insya-Allah, Dia akan permudahkan urusan kamu. Sentiasalah berdoa, ikhtiar, usaha dan tawakal. Chill okey!


Kredit Foto: Google
  1. Nak Anak/Tambah Anak
Ya, anak itu rezeki dan anugerah Allah tetapi sebelum itu sebagai ibu bapa cuba rancang dan lakukan persiapan rapi baik dari segi mental, fizikal, emosional juga kewangan. Maklum sajalah, semuanya perlukan duit yang sememangnya kita tidak dapat lari daripada hakikat ini. Bukan kuantiti yang dicari sebaliknya kualiti yang menentukan keberlangsungan hidup kita kelak. Apa jua yang tersemat, pastikan azam kalian realistik dengan kemampuan yang ada. Okey!