Highlights
10 Cara Perbaiki Hidup – Kalau Fokus Amalkan 1 Pun Dah Cukup Bagus, Lakukan Secara Konsisten.
Realiti kehidupan yang kita alami hari ini tidak dapat lari daripada sifat cemburu, hasad dengki dan iri hati. Bahkan bukan itu sahaja, apabila seseorang itu berjaya mengubah kehidupan dan berada pada satu tingkat lebih tinggi, mulalah suara-suara sumbang membisikkan sesuatu. Dan ya, ia masih berlaku dalam kalangan masyarakat kita walaupun sudah berada pada tahun 2020. Sungguh, tidak mudah mahu merubah mentaliti yang sudah sebati dan serasi dengan jiwa dan sanubari. Tetapi percayalah, apabila anda cuba dan berusaha memperbaikinya sekali gus mencapai matlamat yang disasarkan; nikmat dan kepuasan itu lebih terasa. Menerusi perkongsian muat naik oleh saudara Mizan Dzai di laman facebook peribadinya, penulis tertarik untuk berkongsi perkara yang sama bersama tatapan pembaca. Apa yang perlu kita lakukan untuk perbaiki hidup hari ini? Semak butiran berikut:
Kredit Foto: Google
1. Jangan Bandingkan Hidup Anda Dengan Orang Lain.
Ini yang selalu kita lakukan tanpa disedari. Anda mungkin tak tahu bagaimana perjalanan hidup mereka, apa susah dan senang yang terpaksa dilalui. Jadi, daripada menjaja cerita yang bukan-bukan lebih baik mendiamkan diri.
2. Jangan Punya Pemikiran Negatif Terhadap Perkara Yang Anda Tak Boleh Kawal.
Sebaliknya, tumpukan tenaga terhadap benda yang positif yang anda miliki pada masa ini. Ingat, potensi itu boleh digilap.
3. Jangan Terlebih Buat Apa Yang Anda Mampu.
Cukuplah setakat yang anda mampu tapi sehabis baik. Work smart better than work hard.
4. Jangan Terlalu Serius Terhadap Diri Tetapi Fokus Pada Impian.
Oleh itu cuba letakkan sasaran secara spesifik dan realistik supaya ia boleh dicapai.
Kredit Foto: Google
5. Jangan Bazirkan Tenaga Anda Terhadap Gosip.
Oh, ini juga antara amalan yang menjadi kebiasaan dalam kalangan kita. Usah bazirkan masa dan tenaga membuat spekulasi, teori, itu dan ini. Sebaliknya manfaatkan masa dan tenaga sekali gus salurkan kepada perihal yang memberi faedah.
6. Iri Hati Adalah Perkara Yang Sia-Sia.
Anda sudah mempunyai semua yang diperlukan, justeru bersyukur dengan apa yang ada. Daripada membuang masa, cemburu tak bertempat melihat kejayaan orang lain; ia hanya perkara yang tidak memberi apa-apa pada diri.
Kredit Foto: Google
7. 'Move On!'
Lupakan perkara yang sudah lepas. Jangan ungkit kesilapan pasangan anda di masa lampau. Ia hanya akan menghancurkan kegembiraan yang anda kecapi pada waktu ini. Chill okey!
8. Hidup Ini Terlalu Singkat Untuk Membenci Sesiapa.
Kerana hakikatnya masa kita dijemput-Nya mungkin esok atau lusa. Jadi, hindarkan daripada membenci sesiapa. Usah kusutkan kepala memikirkan kesalahan orang lain, sebaliknya hargai dan sayangi diri anda. Itu yang terbaik.
9. Berdamailah Dengan Masa Silam Anda
Kerana hakikatnya kita semua belajar daripada kesilapan masa lalu. Dan untuk itu, usah berterus-terusan menyalahkan diri supaya ia tidak akan merosakkan masa sekarang yang anda sedang miliki, nikmati.
10. Hidup Ini Seperti Sekolah Dan Anda Disini Untuk Belajar
Anggap masalah sebagai salah satu daripada kurikulum yang akan muncul dan pergi seperti kelas sains, tetapi pengajarannya yang akan anda pegang seumur hidup. Pasti banyak kan?
Kredit Foto: Google
Terlalu banyak perkara dalam kehidupan kita yang ada kalanya menuntut kita untuk duduk dan muhasabah seketika. Lihat kembali apa yang telah kita lakukan. Dari situ, kita akan menemukan kesilapan dan kesalahan yang akhirnya akan menginsafkan. Perbaiki kekurangan dan kelemahan. Berdampinglah dengan mereka yang positif dan boleh membantu kita untuk menjadi insan yang lebih baik. Bukan mudah untuk berubah, tetapi jangan ambil mudah dalam setiap atur langkah.