Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

10 Nasihat WIRDA ADNAN Saat Kamu Hilang Pekerjaan dan Kedudukan – “Bekerjalah Puaskan Diri Bukan Bos!”

Afiza Kamarulzaman
05/05/2020 14:47 MYT


Berada pada kedudukan paling tinggi sebagai Ketua Pengarang di beberapa buah majalah terkemuka negara sebelum ini menjadikan beliau sangat berpengaruh dan dihormati dalam industri percetakan majalah. Ke mana sahaja figura ini memunculkan diri, kehadirannya disambut dengan bentangan karpet merah. Lebih 40 tahun pengalaman dalam dunia majalah menjadikan Wirda Adnan sudah ‘masak ranum’ dengan sepak terajang industri ini.


Katakan apa sahaja rintangan dan halangan, sudah berjaya direntasi dengan ilmu penuh di dada. Ketika berada di puncak kerjayanya, beliau sangat digeruni kawan dan lawan. Ketajaman matanya mengamati fesyen tidak mampu disangkal. Kebisaan penanya menulis tiada siapa mampu patahkan. Beliau juga membawa satu aura yang buat ramai orang segan mendampinginya. Terasa kerdil saat hujung matanya menjalar atas ke bawah kepada kita yang berada di depannya.


Namun, adat dunia, hidup ini ada pasang surutnya. Hidup juga umpama roda, ada masa di atas, ada kala diuji berada di bawah. Walaupun pernah melalui titik hitam dalam perjalanan kerjayanya, ia tidak mencalarkan seluruh kejayaan yang pernah ditempanya selama menghambakan diri kepada dunia majalah ini. Dan, ini antara nasihat beliau kepada mereka yang tiba-tiba diuji kehilangan pekerjaan sekaligus meragut status dan kedudukan yang selama ini disandang atas tiket bekerja.



Kredit Foto: InTrend Malaysia
  1. Selalu letakkan dalam minda bahawa setiap apa yang dilakukan ada sebab bekerja. Job is job, jangan selitkan kepentingan peribadi. Kerana itulah, saya kurang ada gambar kenangan dengan orang-orang terkenal walaupun pernah bertentang mata dengan manusia ternama seperti selebriti Hollywood mahupun Queen.
  1. Bekerjalah demi kepuasan diri dan bukan untuk menayang kepada bos. Jika kita bekerja hanya untuk menunjuk bagus di hadapan bos, nescaya kamu akan sakit untuk melangsaikan setiap urusan kerja.
  1. Jadilah bagus kerana kita boleh bekerja dan menerusi hasil kerja kita, bukan kerana suka membodek. Kalau berhenti kerja pun, pasti ada orang yang sudi ambil kita kerana tahu kita memang mampu bekerja.
  1. Kerja seikhlas hati, jangan malas dan cincai. Selama masih bergelar pekerja yang makan gaji, beri sehabis baik. Keberkatan ini akan kamu bawa sampai bila-bila. Dan, kalau diberhentikan pun kamu puas kerana sudah memberikan yang terbaik.
  1. Jangan kisah dengan apa orang anggap dan kata tentang kita selepas kita ketiadaan kerja dan pangkat. Bukan mereka yang suapkan nasi ke mulut kita.
  1. Dengan kehilangan kerja dan kedudukan, kamu akan dapat lihat dan menilai sejauh mana setia kawan teman-teman di sekeliling kamu selama ini. Nah, inilah masanya melihat the true colour kawan-kawan nanti. Adakah yang menjauhi? Atau setia menemani?
  1. Hiduplah seperti biasa selepas kehilangan kerja. Ukur baju di badan sendiri. Tiada apa yang hendak dimalukan jika kamu terpaksa ‘downgrade’ beberapa perkara dalam hidup seperti kereta, handbag dan lain-lain.
  1. Ingat, rezeki bukan bos yang beri! Setiap kita sudah tertulis rezeki masing-masing. Jadi, jangan risau jika kehilangan kerja dan gaji. Rezeki akan ada dan pasti menemui tuannya.
  1. Pada masa yang sama, jangan pula goyang kaki menunggu rezeki jatuh dari langit. Berusaha dan fikirkan sesuatu yang boleh kamu lakukan. Gunakan segala kemahiran yang ada untuk memulakan kehidupan baru.
  1. Jangan berhenti menulis dan membaca kerana ia adalah jati diri kita orang majalah. Membaca dan menulis adalah petua untuk terus awet muda dan menyegarkan otak kita. Move on, semua!



Kredit Foto: Google


#Majalah #Editor #Wirda Adnan
;