Hiburan
10 Tahun Menjanda, Nana Waspada – Ingat Anak, Takut Kalau Buat Jahat Dibalas Kepada Anak...
Ramai yang kata tidak mudah hidup sendiri sebagai seorang wanita. Apatah lagi jika punya anak yang perlu dibesarkan seorang diri. Lebih mencabar, apabila terlibat dalam industri seni yang sentiasa dihidangkan dengan 1001 dugaan dan godaan.
Antara selebriti yang sudah lama bergelar janda ialah Siti Nordiana. Nana mendirikan rumahtangga dengan pelakon drama, Mohd Faizal Yusup pada 29 April 2006. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Muhammad Rayyan Nakhaie, yang lahir pada 21 Mac 2008. Namun begitu jodoh Nana dan Faizal tidak panjang apabila bercerai pada 14 September 2009.
Sedihnya, anak Nana bergelar anak yatim apabila Faizal meninggal dunia pada 1 Januari 2011 akibat serangan jantung. Sehingga kini, Nana mengasuh Rayyan sendirian dengan penuh ketabahan walau tanpa sokongan daripada lelaki bernama suami.
Kredit Foto: InTrend Malaysia
Rezeki Lancar, Kerjaya Semakin Baik
Alhamdulillah, sejak menjuarai pertandingan Gegar Vaganza musim ke dua, nama Nana kembali ‘meletup’. Karier seni Nana nampaknya semakin berkembang baik, semakin bertambah peminat dan pengikut.
Kalau dulu, kebanyakan peminat Nana yang sebaya sahaja tetapi kini kanak-kanak pun sudah mengenali Nana. Sebagai ibu, walaupun Nana akui mempunyai masa yang agak terhad untuk bersama Rayyan (anak tunggal Nana) sekarang ini, namun dia nampaknya faham. Mungkin kerana tinggal dengan Mak Nana di Seremban. Rayyan tidak terasa kesunyian sangat.
Tidak hanya pada rezeki nyanyian, kerjaya lakonan Nana juga dilihat kian bersinar dan kerap kalil diberi watak utama untuk drama bersiri popular. Ini melonjakkan lagi nama beliau.
Walau demikian, statusnya masih kekal sama. Lebih membanggakan, jarang sekali mendengar Namanya terpalit dengan sebarang skandal. Nana dilihat bijak menjaga nama baiknya sebagai ibu tunggal.
Mungkin niat bersih Nana sendiri yang mahu mencari rezeki untuk anaknya membuatkan kehadirannya dalam industri dihormati banyak pihak. Tidak ramai yang dilihat mahu mengambil kesempatan atau sengaja mahu menjatuhkan namanya.
Kredit Foto: InTrend Malaysia
Kekuatan Bergelar Ibu Tunggal di Usia Muda
Nana bergelar ibu tunggal sebelum pemergian Faizal lagi (bekas suami). Tetapi, bebanan status itu lebih terasa selepas arwah pergi kerana semua tanggungjawab dan nafkah anak kini tertanggung di bahu Nana seorang.
Menurut Nana, arwah dulu seorang bapa yang bertanggungjawab dan penyayang. Dia sangat mengambil berat hal ehwal Rayyan. Jadi, susah senang hal anak masih dikongsi bersama. Selepas arwah pergi, Nana berusaha mencari nafkah lebih, semua tawaran nyanyian Nana penuhi demi Rayyan.
Bagi Nana, Rayyan bukan sekadara kekuatan Nana, malah pelindung kepada Nana daripada melakukan perkara-perkara tidak baik. Maklumlah, berstatus ibu tunggal tidak mudah, apatah lagi Nana seorang selebriti, bergelumang di kota Kuala Lumpur yang penuh dengan dugaan.
Syukur, apabila terbayangkan wajah Rayyan menjadikan Nana lebih waspada dan ingat yang di atas sana. Nana takut, jika sesuatu perkara buruk yang Nana lakukan, balasannya kena pada orang yang Nana sayang. Itu yang Nana selalu kunci dalam hati Nana.
Kredit Foto: Google
Nana Kongsi Detik Terakhir Arwah Bekas Suami
“Seminggu sebelum arwah pergi, Nana dapat rasakan perubahan pada diri arwah. Cakapnya agak pelik. Ada sekali, Rayyan tidak mahu bercakap dengannya di telefon, arwah merajuk dan terus terkeluar perkataan, ‘Abah mati ya!’
Kemudian, dia asyik suruh Rayyan jaga Nana baik-baik. Arwah pergi pada 1 Januari 2011, ketika usia Rayyan 2tahun, 8bulan. Meninggal mengejut akibat kolestero tinggi menyebabkan Nana terkejut kerana arwah seorang yang sihat dan aktif bersukan.
Masih ingat lagi, pada hari kematiannya, adik arwah telefon Nana minta dibawakan Rayyan ke hospital dengan segera. Sebaik tiba, arwah hanya mampu senyum dan memandang kami. Dia tidak berdaya untuk berbual.
Nana tinggalkan Rayyan bersamanya dan langsung pulang ke Seremban. Beberapa jam selepas itu, Nana dapat panggilan kedua mengatakan Nana perlu kembali semula kerana arwah tenat.
Sayangnya, arwah telah menghembuskan nafas terakhir sebaik Nana tiba. Rayyan anak yang kuat. Sehingga kini, dia tidak pernah menyesali apa yang berlaku, mungkin waktu itu dia masih kecil.
Namun, Rayyan selalu kata dia ingat wajah bapanya. Nana selalu tunjukkan gambar arwah kepadanya dari kecil sehingga kini. Cuma, adalah sesekali dia akan merungut kenapa kawan-kawan di sekolahnya selalu datang dengan mak dan ayah tapi Nana seorang diri? (ketawa kecil).” Cerita Nana sayu.
Kredit Foto: IG Siti Nordiana
Must-Watch Video