11 Tahun Tanpa Zuriat, Isteri Ini Kekal Tabah dan Suami Terus Setia – Dua Kali Gagal IVF, Puas Usaha Masih Diuji.
Afiza Kamarulzaman
01/06/2020 15:48 MYT
01/06/2020 15:48 MYT
Dalam melayari bahtera, kita tidak tahu apa rintangan yang menanti di sepanjang pelayaran itu. Ada pasangan diuji dengan wang dan harta, tidak kurang pula derita pasangan curang dan gangguan orang ke tiga. Manakala, sebahagiannya bertabah dengan ketiadaan zuriat bertahun-tahun, malah ada yang sehingga hujung nyawa tidak berkesempatan memeluk cahayamata sendiri.
Kisah pasangan Masyitah Ahmad Tarmizi, 36 dan Suhaizal Samsudin, 36 ini mungkin antara cebisan jutaan pengalaman insan-insan lain di luar di sana yang turut diuji perkahwinan tanpa kehadiran zuriat. Ada doa yang dipegang lama, kemudian dilepaskan setelah bertahun-tahun menunggu. Ada pula yang doa itu dimakbulkan di alam sana nanti. Sebelas tahun bukanlah satu tempoh yang singkat, namun inilah hikmah besar yang sedang dilalui pasangan romantis ini. Ketahui lanjut isi hati isteri kebal ini.
Kredit Foto: Masyitah
Sudah berapa lama mengharungi alam rumah tangga dan bagaimana mengenali suami?
Kami bernikah pada 31 Mei 2009. Alhamdulillah, baru saja meraikan ulang tahun ke-11. Saya diperkenalkan dengan suami menerusi seorang kawan sebilik sama belajar dahulu di maktab pada 2003. Dan, hubungan kami berlangsung di media sosial sahaja. Tidak sangka pula hubungan kami lanjut sehingga ke jinjang pelamin.
Tahniah atas ulang tahun ke 11 itu dan syabas juga masih setia bersama walau masih belum dikurniakan cahaya mata. Boleh ceritakan pada awal perkahwinan dulu, kalian merancang atau memang terus mahukan anak?
Jujurnya ya, kami ada merancang pada awal usia perkahwinan dulu. Ini kerana kerana kami terpisah jauh dek tuntutan kerja. Saya ditempatkan di Kudat, Sabah ketika mula-mula bekerja dulu, manakala suami di Semenanjung. Berulang-alik memang menyukarkan kami untuk fokus pada komitmen rumah tangga secara total. Jadi, kami memang tidak kisah untuk menunda sebentar rancangan memiliki anak. Hanya pada 2010, barulah kami dapat kembali bersama dan rasa sudah sedia untuk menimang cahaya mata. Kami ada berbincang untuk memiliki dua anak kalau diizinkan Tuhan.
Kredit Foto: Masyitah
Jadi, bila Masyitah mula sedar yang kalian mungkin berdepan kesukaran untuk memiliki anak?
Dua tahun selepas kami tinggal bersama dan berusaha secara natural. Dan ketika itu juga, saya mula perasan yang kitaran haid semakin teruk. Paling lama haid tidak datang selama enam bulan. Dan, saya mula rasa ada sesuatu tidak kena dan kami sedar yang kami mesti lakukan sesuatu. Saya ada ke beberapa klinik swasta dan klinik LPPKN yang senang untuk kami berurusan. Waktu itu main redah sahaja kerana tidak tahu apa punca masalah sebenarnya?
Kalau boleh Masyitah kongsikan apakah jenis usaha yang pernah dilakukan?
Pada tahun 2013, saya ada pergi merujuk ke klinik pakar sakit puan di Ipoh. Itu pun selepas melihat seorang rakan berjaya mengandung selepas rawatan di klinik tersebut. Ini doktor yang ketiga kami jumpa untuk mendapatkan nasihat dan rawatan. Di situ, saya mula menerima diagnosis dan didapati memiliki tanda-tanda PCOS, tapi ujian HSG menunjukkan tiub fallopian tidak tersumbat. Saya teruskan rawatan yang ditetapkan tetapi tiada perkembangan baik kerana doktor hanya beri pil hormon untuk betulkan kitaran haid.
Pada tahun 2014, saya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) atau dikenali sebagai Hospital Besar Ipoh. Saya dirujuk ke Klinik Pakar Obstetrik & Ginekologi untuk berjumpa dengan Pakar Infertiliti & Reproduktif atas cadangan kenalan keluarga. Rawatan dimulakan dengan Intra-Uterine Insemination (IUI) tetapi belum rezeki kami, rawatan itu tidak berjaya.
Oh, sebelum itu juga, kami pernah mencuba beberapa rawatan alternatif lain seperti perubatan Islam di Penang dan turut mencuba urutan secara tradisional di Perak. Seperti kebanyakan pasangan yang cuba untuk mengandung, saya juga tidak ketinggalan mencuba segala jenis rawatan selagi tidak melanggar syarak. Jangan kata kami tidak berusaha. Hahaha…
Kredit Foto: Masyitah
Boleh Masyitah ceritakan proses In Vitro Fertilisation (IVF) yang pernah Masyitah dan suami jalani sebelum ini?
Itu adalah kemuncak rawatan kesuburan yang kami lakukan. Pada Mei 2014, kami memulakan rawatan IVF pertama. Kalau yang tahu, rawatan IVF ini sememangnya menuntut banyak pengorbanan. Memang tidak mudah kerana ia satu proses yang rumit dan panjang. Ia juga bergantung pada kondisi tubuh seseorang. Seperti saya, agak banyak halangan kerana haid tidak teratur, kekangan kerja dan kos ubat yang mahal. Ia juga menjadi sulit kerana terpaksa membawa ubat ke hulu ke hilir sebab tak tahu bila nak mulakan self-injection disebabkan haid tidak menentu. Proses ini berlanjutan sehingga empat bulan. Hanya pada September 2014 barulah self-injection bermula. Kami mengikut doktor pakar ke pusat reproduktif, PPUKM dan sebanyak 35 biji telur berjaya terhasil untuk disenyawakan dan dibekukan hasil daripada self-injection sejak awal bulan.
Bagaimana situasinya selepas proses Frozen Embryo Transfer (FET) berlangsung?
Pada Mac 2015, kami melakukan FET di PPUKM. Selepas melepasi tempoh tiga minggu direhatkan di rumah, pihak Hospital Ipoh memberitahu kami bahawa rawatan IVF pertama itu tidak berjaya. Embrio tidak berjaya melekat di dinding uterus. Waktu itu, perasaan kecewa tak usah ceritalah. Hanya Tuhan yang tahu. Saya turut dinasihatkan untuk menurunkan 10 peratus berat badan. Dan, selepas itu saya dan suami berehat seketika. Bukan give up tapi ambil masa untuk loose weight dan kumpul duit simpanan semula. Dan, pada Mei 2018, kami memulakan rawatan IVF ke dua. Frozen embryos tempoh hari telah dipindahkan ke klinik swasta di Ipoh. Pada Jun 2018, tiga embrio dimasukkan. Saya perlu mengambil injection kuatkan rahim di klinik kesihatan setiap tiga hari. Pada bulan Julai, imbasan dilakukan dan dua embrio berjaya implantasi ke dinding uterus. Alhamdulillah.
Kredit Foto: Masyitah
Adakah Masyitah melakukan sebarang aktiviti lasak selepas itu atau bed rest sahaja?
Usai rawatan itu, saya mula ke pejabat dan pagi minggu kedua kerja, saya mengalami tumpah darah yang teruk di pejabat. Saya diberi cuti rehat dua minggu. Saya pergi semula ke HRPB selepas dua minggu untuk imbasan dan ujian darah. Keputusan darah menunjukkan embrio-embrio tidak berkembang. Terdapat dua kantung tetapi tiada denyutan jantung. Saya berhenti mengambil semua ubat dan doktor nasihatkan untuk tunggu ia gugur secara semula jadi. Setelah hampir dua bulan mengandung, gugurlah ketulan-ketulan kecil dengan sendirinya.
Sehari sebelum Aidiadha 2018, kami sudah kemas beg masuk ke kereta untuk pulang beraya. Sebelum itu, kami ke hospital untuk regular check-up. Tiba-tiba pula imbasan rahim menunjukkan keguguran tidak sempurna, jadi saya perlu warded untuk pembedahan dilation & curettage dengan suction. Maka, tak jadi balik beraya, satu malam kami di hospital.
Bagaimana perasaan waktu itu? Pasti kecewa bukan kepalang?
Ya, rasa putus asa, sedih dan macam-macam lagilah. Dia jadi seperti trauma, sampaikan saya pernah menangis di klinik walaupun waktu itu belum menerima sebarang keputusan darah. Sayu tengok mak dan abah temankan saya ke hospital ketika pemeriksaan akhir, kerana ada sekali itu saya tinggal bersama mereka. Suami pula bertugas di Singapura selama dua minggu ketika dapat keputusan kandungan tidak berkembang dan saya perlu selalu berulang ke HRPB.
Kredit Foto: Masyitah
Setelah berkali-kali usaha gagal, bagaimana reaksi suami?
Suami mempunyai keluarga yang besar, lima adik-beradiknya. Saya pula dua beradik saja. Namun, perkara itu bukan alasan untuk dia merungut rasa sunyi dan sebagainya. Alhamdulillah, saya bersyukur, suami sangat memahami dan sentiasa ceriakan hari-hari saya terutamanya apabila melihat saya dalam keadaan down. Bagusnya suami, dia seorang yang rasional dan mendidik saya untuk sama-sama tawakal kepada Allah swt. Tidak pernah sekali dia salahkan saya dalam hal ini. Cuma perasaan hiba seorang perempuan itu pasti ada apabila suami berkongsi angan-angan dia apabila balik kerja, ada anak-anak berlari mengajaknya bermain. Entahlah…
Jujurnya, bagaimana kalian mengisi kekosongan yang mungkin sesekali terbit?
Tipulah kalau kata tak sunyi. Dan, pernah juga rasa perkahwinan saya ini gagal ketika mula-mula dulu. Namun setelah masuk tahun ke tujuh atau ke lapan, semua dah rasa okay dan boleh terima kenyataan ini sebagai dugaan Allah. Sekarang rasa selesa dan bahagia berdua dengan pelbagai aktiviti seperti sukan berbasikal, hiking, touring motor, melukis dan sebagainya. Insya Allah kami lakukan semuanya sementara masih berusaha juga.
Kredit Foto: Masyitah
Bagaimana dengan kata-kata orang?
Masa awal perkahwinan dulu memang sangat terkesan dengan kata-kata kenalan atau keluarga. Ada sahaja soalan sensitif daripada mereka yang mungkin tidak faham situasi kita, memang mengguris hati. Kalau dulu, pernah juga membalas soalan seorang mak cik itu dengan kasar apabila bertanya hal anak. Namun, apabila difikir balik, sampai sekarang rasa bersalah kepada mak cik tu.
Harapan dan doa Masyitah?
Apa lagi daya kita sebagai umat Nya selain berdoa selepas puas berusaha. Saya Cuma berharap agar Allah terus berikan saya kekuatan fizikal dan mental untuk meneruskan rawatan seterusnya. Paling penting adalah kekuatan emosi jika rawatan masih tidak berjaya. Insya Allah, saya bercadang untuk meneruskan rawatan IVF ke tiga hujung tahun ini sebab frozen embryos masih banyak. Doakan ya dan saya juga doakan kalian yang sama seperti saya. Pesan saya jagalah kesihatan, banyakkan tambah ilmu berkaitan rawatan ini, teruskan usaha dan tawakal kepada Allah swt. Jangan lupa untuk terus reda, bersyukur selalu dan kongsilah rezeki lain yang Allah swt kurniakan dengan yang lain.