Highlights
14 Cara Terapkan Nilai Murni Dan Adab Dalam Diri Anak – Ibu Bapa Perlu Bersabar Dan Konsisten.
Bagi mereka yang mempunyai anak pasti ‘masak’ benar dengan cabaran untuk mendidik anak terutamanya dalam situasi sekarang. Hal ini kerana anak-anak sudah terdedah dengan pelbagai teknologi, aplikasi, penggunaan gajet dan sebagainya. Tidak kurang juga bagaimana mudahnya mereka terpengaruh dengan apa yang dilihat di televisyen. Begitu mudah sekali mereka ‘serap’ dan ikut. Jika ia sesuatu yang baik dan berfaedah, sudah tentulah bagus untuk mereka. Tetapi sebaliknya jika ia adalah pertuturan yang kasar, perkara yang tidak bermoral dan sebagainya. Pasti mengundang kerisauan dalam fikiran ibu bapa. Justeru, apa yang boleh dilakukan sementara anak masih kecil? Ini antara garis panduan yang boleh dicuba.
Kredit Foto: Google
1) Apabila sampai rumah dari tempat kerja, lupakan seketika masalah kerja yang tidak akan berkesudahan itu. Sambut anak dengan salam dan ciuman. Ia adalah tanda kasih dan sayang kepada mereka. Jika boleh, ketepikan juga telefon bimbit kerana waktu kita bersama mereka cukup terhad lebih-lebih lagi pada hari persekolahan.
2) Berbuat baik kepada jiran dan jangan cakap belakang. Maklum sajalah, anak-anak kita ini telinga lintah. Mereka mendengar setiap percakapan dan tutur kata yang keluar dari mulut kita. Kalau nak ‘membawang’ sekalipun, pastikan anak-anak tidak berada dekat dengan kita. Ops!
3) Seperkara yang lazim kita lakukan. Mungkin kita anggap kecil tetapi impaknya besar kepada mereka. Jangan bercakap buruk tentang pemandu lain jika anda memandu. Apatah lagi mengeluarkan kata-kata kesat, memaki hamun dan lain-lain. Hal ini kerana selain mendengar, anak kita akan meniru akhlak kita. Haaa, ada yang pernah ‘kantoi’?
Kredit Foto: Google
4) Ajak anak anda bersama setiap kali berjumpa dengan ibu bapa kita. Apabila kita bercakap dengan ibu bapa kita, ajak anak kita bercakap dengan mereka. Lebih banyak mereka melihat kita menyayangi mereka, lebih tinggi kasih sayang dan sifat hormat mereka pada anda bila sudah tua nanti. Bukan bermakna kita membenarkan mereka menyampuk tetapi jika ada topik atau isu yang bersesuaian, bolehlah sesekali kita lihat sejauh mana kemampuan komunikasi anak-anak. Adakah dengan penuh hormat, tertib atau meninggikan suara?
5) Bagi ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sekolah, gunakan masa ini untuk berbual dengan mereka. Berbuallah apa sahaja ataupun titipkan kata-kata semangat untuk mereka agar belajar bersungguh-sungguh. Elakkan komunikasi sehala sebaliknya pastikan mereka turut serta.
Kredit Foto: Google
6) Walaupun duduk dirumah tetapi sebenarnya kita perlu ajarkan anak-anak mengenai imej diri. Misalnya sikat rambut dan memakai pakaian yang sopan. Hal ini penting kerana anak-anak perlu tahu, berpakaian kemas dan bersih tidak semestinya apabila hendak keluar sahaja.
7) Ibu bapa perlu ingat akan hal ini. Cuba jangan terus menyalahkan atau memberi komen setiap perbuatan yang anak-anak lakukan. Ada masa dan ketikanya kita perlu biarkan atau lepaskan. Hal ini kerana mereka perlu belajar membina keyakinan diri dan belajar daripada kesilapan. Menegur itu tidak salah cuma biarlah kena dengan caranya tanpa menjatuhkan aib dan kehormatan mereka. Walaupun mereka masih kecil tetapi mereka juga berhak untuk dihormati dan disayangi selayaknya.
8. Apabila mahu masuk ke bilik mereka, apa kata kita biasakan minta kebenaran terlebih dahulu. Jangan ketuk dan terus masuk. Secara tidak langsung mereka akan belajar etika dan adab untuk tidak sewenang-wenang masuk ke bilik anda nanti. Jika sudah terbiasa, mereka pasti akan melakukan perkara yang sama walau ke mana mereka pergi.
Kredit Foto: Google
9) Jangan ego untuk meminta maaf kepada anak jika kita melakukan kesalahan. Ia secara tidak langsung mengajar anak kita bersikap rendah hati dan sopan. Juga daripada perspektif lain, meminta maaf bukan bermakna kalah tetapi satu perbuatan yang mengajar anak-anak mengenai maruah dan harga diri.
10) Jangan fikir anak anda boleh faham dan dengar ketika pertama kali anda memberitahu atau menyuruh sesuatu. Bersabar dan konsisten serta jangan pernah berasa penat untuk menerangkan yang mana betul dan salah.
Kredit Foto: Google
11) Sementara anak masih kecil, bermainlah dengan mereka sepuasnya. Sentiasa usahakan untuk meluangkan masa bersama. Hal ini kerana ia akan meninggalkan kesan dalam ingatan mereka. Malah mereka akan ingat sehingga dewasa.
12) Sekiranya anak-anak perlu ditegur atau didenda, jangan ragu untuk melakukannya. Perbetulkan kesilapan mereka segera. Jangan sekali-kali mengatakan "Alah, budak lagi, biasalah. Lama-lama nanti dia pandailah”. Oh, bukan ini pendekatan yang harus diambil. Sebaliknya inilah masanya untuk pastikan anak-anak kita belajar dan tidak mengulangi kesalahan yang dilakukan. Jika sekarang mereka tidak belajar, di masa akan datang juga mereka tidak akan pernah belajar.
Kredit Foto: Google
13) Ajar mereka untuk selalu bersabar dan bersyukur. Jangan terlalu mudah berikan apa yang mereka pinta. Jangan turuti segala kemahuan dan keinginan mereka dengan cara yang mudah. Sebaliknya, ikutlah limitasi anda. Menahan beberapa perkara walaupun anda mampu untuk memberikannya. Ajari mereka untuk bersyukur dengan apa yang ada dan bersyukur kepada Allah dengan apa jua yang dimiliki.
14. Sentiasa berdoa untuk mereka dengan setulus hati kerana doa ibu bapa adalah antara yang dijamin penerimaannya. Semoga Allah SWT memberikan kita kesabaran dan kemampuan untuk membesarkan anak-anak dengan tingkah laku dan akhlak yang baik. Juga semoga Allah mempermudahkan ikhtiar kita untuk mendidik anak-anak kita menjadi hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh, Insya-Allah.
Must-Watch Video