,
Read

26 Jurusolek Terkenal Malaysia Beri Petua PERCUMA Buat Bakal Pengantin – Rugi Tak Baca

Public Anonymous User
27/10/2017
05:44 MYT
Oleh: Afiza Kamarulzaman
1. KHIR KHALID
“Sesiapa yang pernah menerima solekan saya, pasti tahu bagaimana gaya sentuhan saya. Minimalis tetapi ‘glow’ adalah yang terbaik untuk pengantin, melainkan pengantin sendiri mempunyai konsep khusus.
Solekan malar segar kekal digemari sepanjang zaman dan selamat untuk ditatap saban masa. Pastikan pengantin tahu kehendak dan ‘taste’ solekan agar jurusolek mampu menjayakan impian kamu.”

A post shared by Khir Khalid (@khirkhalid) on

2. AYANGKAMELL
“Solekan trendy? Mungkin boleh difikirkan untuk agenda lain. Untuk majlis istimewa meraikan diri laksana ratu, kembalilah kepada solekan yang malar segar. Mekap juga seumpama fesyen baju. Apabila sesuatu trend itu berlalu, maka segalanya akan nampak kurang sesuai untuk musim yang lainnya. Hanya enhance your natural beauty.
Jika kita terlihat lebih indah menjadi manusia biasa kenapa perlu menjadi watak lain? Lupakan solekan berkarakter kerana kamu punya personaliti yang lebih baik daripada menjadi barbie doll atau anime.”

3. RAZI MUSA
“Oh, sesuatu yang sangat indah apabila dapat melihat pengantin melangkah keluar dengan wajah yang berseri dan manis dalam solekan yang masih dalam ‘wajahnya’. Tiada pengantin yang kelihatan cantik apabila mengenakan solekan yang terlalu tebal seperti mahu berada di pentas persembahan.
Kamu adalah penentu kepada pilihanmu sendiri tetapi jangan lupa juga minta pandangan jurusolek yang akan mencantikkan kamu nanti. Mereka pasti mampu memberikan yang terbaik dengan solekan yang sempurna.”

4. CHOMEL
“Bila pengantin boleh berkata, “Yes, it’s me!” Maka itu bermakna dia berbangga untuk menyatakannya kerana solekannya dulu masih kekal relevan dan masih menyerlahkan wajah sebenarnya dengan solekan minimalis. Solekan yang tidak keterlaluan sudah cukup untuk menjanjikan kesempurnaan kepada pengantin kerana pada hari yang penting itu sebenarnya semua pengantin akan punya serinya.
Jadi, pesan saya, jangan terlalu ‘mendesak’. Tinggalkan segala imaginasi, kerana untuk hari bersejarah itu kelak, memadailah solekan yang segar sambil mengekalkan wajah yang asli. Noda pula disamarkan dengan sempurna.

5. SHEILA MOHAMAD
“Tidak salah untuk kelihatan seperti ‘ratu’ di hari bahagiamu tetapi jangan terlebih adunan. Solekan yang sederhana sebenarnya masih mampu mengangkat bakal pengantin seperti ratu jika kena dengan teknik yang betul menerusi produk yang terbaik.
Berbincanglah dengan jurusolek tentang jenis solekan yang diinginkan dan bagaimana menyerlahkan lagi solekan minimalis itu. Seri pengantin itu perlu wujud seadanya dan bukan dipaksa-paksa dengan bebanan solekan yang tebal lagi berat.”

6. SAIDATULNISA
“Kak Sai masih berpegang teguh pada solekan yang tidak keterlaluan, tidak lapuk dek zaman dan evergreen. Apatah lagi untuk seorang pengantin, less is more adalah yang terbaik. Tidak perlu berlebih-lebih kerana ia sangat berbahaya untuk simpanan dalam album kahwinmu nanti. Solekan ‘viral’ bersifat sementara dan tidak sesuai untuk dijadikan kenang-kenangan di hari kemudian.
Berbaliklah pada yang asas dengan mainan rona-rona selamat sahaja. Kekalkan kecantikan semula jadi pada wajah agar ia terlihat harmoni dari hujung kepala ke hujung kaki. Kecantikan abadi itu adalah yang asli.”

7. SAHIR SABRI
“Solekan yang segar dan minimal akan menjadikan gambar perkahwinan timeless, seperti kata pepatah, tak lapuk dek hujan. Menjadi diri sendiri juga adalah satu keutamaan saat diri diraikan pada hari itu. Cukup solekan itu menaikkan seri wajah daripada menukar wajah secara total.
Pililah jurusolek yang tepat yang mampu merealisasikan impian wajahmu. Pilihlah berdasarkan kualiti, bukannya kualiti atau populariti. Saya amat menekankan jika pengantin sendiri mampu menjaga kulit wajah seawalnya.”

A post shared by sahirsabri (@sahirsabri) on

8. FENDI SANI
“Percayalah solekan minimalis akan memberikan kecantikan luar biasa. Impaknya lebih segar, elegan dan klasik. Menghasilkan solekan sebegini sebenarnya bukan mudah. Nyatanya, ia memerlukan skill yang baik untuk mencerna sebuah solekan yang nampak biasa tetapi ada suntikan luar biasa.
Lihat saja Grace Kelly (1956), Kate Middleton (2011), malah Saloma sendiri (1961). Rancanglah dengan bijak, sebaiknya lakukanlah trial make-up.”

A post shared by Fendi Sani (@fendisani) on

9. VEE MUHAMAD
“Pengantin harus rasional dalam membuat persediaan kahwin seperti konsep perkahwinan, baju dan termasuk pemilihan solekan. Ibarat mengukur baju di badan sendiri. Siapa yang tidak sukakan konsep malar segar kerana ia bukan sahaja konsep yang selamat tetapi juga kekal molek zaman berzaman.
Tiada apa yang perlu dibuktikan untuk sebuah album perkahwinan selain dikenang dengan kata yang manis. Ingat sebagai pengantin, kita akan ditatap secara dekat oleh tetamu, jadi waspada ya.”

10. NUEX ROSLI
“Trend berubah tetapi kecantikan yang malar segar kekal dan diingati terutamanya apabila terakam dalam video atau gambar kenangan. Tidak semua yang melihat gambar kamu itu nanti faham akan trend pada waktu itu, justeru pilihan solekan yang minimalis inilah yang menjadi penyelamat untuk kamu kelihatan menawan di mata sesiapa sahaja.
Maka, penting juga untuk pengantin memilih jurusolek yang mampu merealisasikan impiannya nanti. Letakkan kepercayaan kepada jurusolek yang sudah dipilih agar mereka bisa berkarya dengan indah sehingga kamu mampu berkata, “Kerana solekan inilah saya memilih anda sebagai jurusolek saya.”

A post shared by HAMBA ALLAH (@nuex_rosli) on

11. ALHA ALFA
“Sebenarnya, solekan minimalis itu juga satu trend. Cuma bezanya, ia trend yang boleh diterima pakai sepanjang musim. Ya, ia solekan yang perlu untuk pengantin tetapi harus diingat juga, ada sesetengah pengantin masih memerlukan litupan asas wajah yang sedikit ‘tebal’ untuk menutup cela.
Mekap tidak semestinya mengikut trend semata, tetapi harus diambil kira juga apa yang sesuai dengan raut wajah pengantin itu sendiri dan konsep perkahwinan yang dipilih. Teknik adalah kunci utama. Sentiasa letakkan ‘kemanisan’ dalam solekan pengantin agar mereka terlihat lembut dan ayu. Sembunyikan kelemahan wajah pengantin tetapi jangan sampai hilang wajah asalnya.”

A post shared by Dato' alha alfa (@alhaalfa) on

12. AIM AZAM
“Kita kena tahu apakah tujuan solekan itu sebenarnya? Adakah untuk kelihatan cantik atau mahu terlihat asing? Untuk kelihatan cantik, solekan tidak perlu berlebihan, apatah lagi sebagai pengantin nanti kita akan berdepan dengan para hadirin. Cukuplah mata tetamu nanti terpesona dengan raut wajahmu yang ayu dan bukannya sehingga tidak mampu mengenali siapa dirimu?
Penting juga untuk saya ingatkan bakal pengantin agar menjaga kulit wajah sebelum hari langsung. Wajah yang cantik tidak menjamin solekan yang cantik tetapi kulit yang sihat pasti akan mencantikkan solekan dan wajah.”

13. EMMA MUSTAPHA
“Solekan natural? Kerana raut wajah seseorang pengantin itu adalah wajah asal yang tulus mulus dan tidak perlu sampai mengubahnya menjadi orang lain. Maka, solekan minimalis itulah yang selayaknya dan bukannya solekan YouTube yang tidak menjamin kamu akan berbangga dengan hasilnya kelak.
Ingat juga pengantin, jagalah diri sebaik mungkin. Buat research. Namun, jangan terlalu cerewet pula. Relaks dan beri kerjasama yang baik kepada jurusolekmu kerana saat kamu melantiknya, dia pastinya lebih tahu apa yang terbaik.”

A post shared by EM STUDIO (@emmamustafa) on

14. EVA SHAHRUL
“Setiap wanita dianugerahkan kecantikan tersendiri, jadi mengapa kita tidak mensyukurinya dengan menjadi orang lain? Tidak dinafikan ada sesetengah pengantin, mahu wajahnya menjadi seperti artis itu dan ini, hakikatnya dia lebih cantik daripada yang dia ingin jadi itu. To be a beautiful bride, be a beautiful version of you.
Apatah lagi di hari berbahagia sendiri, mengapa perlu meletakkan orang lain pada wajah sendiri? Berbanggalah dengan apa adanya. Solekan pengantin itu nanti hanya akan menyuntikkan seri wajah agar pengantin terlihat segar dan manis. Selebihnya, senyumlah dengan ikhlas.”

A post shared by Ev@ Shahrul Khan (@evashahrul) on

15. TIAR ZAINAL
“Tidak semua pengantin mampu membawakan solekan mengikut trend semasa. Hari bersejarah kamu bukanlah masanya untuk jurusolek ‘try and error’. Trend kening terlalu tajam dan gelap, eyeshadow pelbagai rona, blusher bawah mata, shading bagai dipahat atau gincu ombre... bukanlah sesuatu yang wajar!
Biasanya, dengan baju kahwin yang bergemerlapan, memadailah wajah dilakar sederhana. Kenali jurusolek yang mahu dipilih kerana sekarang ini, begitu ramai orang mengaku dia jurusolek, hakikatnya hasil kerja menyedihkan.”

A post shared by Tiar Zainal (@tiarzainal) on

16. FIZA ZAINUDDIN
“Percayalah setiap wanita dikurniakan kecantikan tersendiri. Sebagai ratu sehari, memadai wajah kelihatan segar dan berseri. Tidak perlu ‘bertopeng’ tebal, memadai seri wajah diserlahkan dengan teknik solekan yang tepat.
Nasihat saya, pengantin sendiri harus bantu diri sendiri dengan mempersiapkan diri sebaik mungkin. Lakukan facial beberapa minggu sebelum hari langsung, banyak berehat dan tidur yang cukup agar diri tampil bertenaga dan tidak lesu. Solekan hanya menambah seri luaran.”

17. SURYA ZAINUL
“Kita biasa dengar tentang solekan malar segar itu tetapi tidak ramai yang benar-benar memahami maksudnya. Ia harus diadaptasi dengan baik agar solekan minimalis tetap mampu menaikkan kecantikan asli si pengantin.
Solekan trendy seperti doll atau cut crease tidak sesuai kerana tidak semua wajah mampu membawanya apatah lagi untuk majlis kahwin. Pastikan kulit wajah kamu terjaga wahai bakal pengantin. Paling penting bahagian mata kerana ia adalah titik tumpu wajah yang menceritakan segala-galanya.”

18. ZULFAZLI
“Seri wajah adalah tunjang utama buat pengantin. Agar cantik dipandang ketika majlis dan kekal istimewa pada gambar tatapan anak cucu. Namun, ia terletak pada pilihan pengantin. Majlis anda, hak anda. Kerana itu, orang Melayu dulu mengadakan beberapa acara seperti berinai, menepung tawar, bersalin aneka baju; di mana memberi peluang mak andam turut berkarya dengan pelbagai konsep solekan.
Untuk majlis nikah dan sanding sahaja, barulah pengantin kembali kepada solekan manis. Jadilah ratu sehari yang sebenar bukan hanya berserah.”

19. EMMY AGUNG
“Saya antara jurusolek yang menyokong tegar solekan pengantin yang minimalis dan sederhana. Saat wajahnya terakam hari ini, ia akan terus mahu ditatap tanpa rasa malu pada tahun-tahun seterusnya. Lantas, rasa itulah momen paling bermakna dalam hidupnya apabila tampil paling menawan tanpa solekan yang salah!
Pesan saya, pengantin janganlah meminta jurusolek untuk mengubah rupamu. Kamu tidak perlu untuk menjadi orang lain kerana kecantikan seseorang itu pastinya berbeza antara satu sama lain. Ada yang mahu wajah runcinglah, itu dan ini yang ada kala tak masuk akal. Bimbang, daripada contouring menjadi conjuring!”

A post shared by YUSSHAIMI (@emmyagung) on

20. SYED FAIZAL
“Semestinya solekan malar segar itu pilihan terbaik. Kita pastinya tidak mahu anak cucu nanti bertanya, “Nek, kenapa muka nenek seumpama watak kartun anime?” Sekali salah perhitungan, menyesallah selama-lamanya.
Biarlah solekan itu berlandaskan pada cantik, segar dan kekal diterima. Tidak perlu pun ’trend’ waktu itu. Jadi, kata kuncinya, don’t over do it, buat research dan pilih jurusolek yang tepat.”

21. KASIH CICIE
“Tidak perlu trendy tetapi fabulous. Bersolek sederhana tetapi tetap memukau dan menyerlahkan dirimu di tengah khalayak. Saya punya banyak pengalaman menyolekkan selebriti pada hari bersejarah mereka. Walaupun disolekkan seadanya tetapi ‘glamor’ itu tetap ada. Boleh mengikut trend tetapi yang munasabah untuk digayakan di hari istimewa itu.
Ratu sehari harus bijak memilih solekan yang sesuai dengan wajahnya. Jangan terlalu ikutkan perkembangan trend terkini sehingga lupa siapa dirimu di hari itu? Setiap jurusolek juga punya signature mereka sendiri, jadi carilah yang benar-benar kena dengan kehendak kamu.”

22. DEQ SHA
“Jerawat, cela atau noda pada wajah boleh disamarkan, bukan dihilangkan. Menempel dengan bedak selapis demi selapis akan hanya memburukkan lagi keadaan wajah. Saya selalu menyarankan kepada bakal pengantin agar mempersiapkan diri beberapa bulan sebelum hari langsung.
Kebanyakan bakal pengantin hanya sibuk dengan diet untuk kurus tetapi tidak mengambil berat penjagaan kulit wajah. Sedangkan ia sama penting untuk menjayakan solekan yang malar segar tanpa perlu begitu banyak ‘penipuan’ dalam solekan nanti. Pilihlah jurusolek profesional yang punya teknik aplikasi mekap yang sebenar.”

23. NAJEEB AZAMI
“Pengantin hari ini semakin bijak dalam memilih solekan terbaik untuk mereka. Saya suka melihat ratu sehari yang keluar ke pelamin dengan wajah yang segar, berkilauan dengan mainan warna-warna manis dan lembut serta tidak nampak ‘bisa’. Litupan bedak asas yang betul penting dalam menentukan kejayaan solekan minimalis dan ringan.
Ringan bukan bermaksud tidak perlu penyamaran langsung. Ia perlu, tetapi dalam kuantiti memadai untuk memudarkan noda wajah, bukannya berlapis-lapis. Jangan berlebih-lebihan. Paling penting, pengantin juga harus ada ‘feel’ cantik dalam diri, barulah hari itu milik kamu sepenuhnya.”

A post shared by Najeeb Azami (@najeebazami) on

24. KELRINA
“Perkahwinan bukanlah pentas peragaan fesyen atau penggambaran majalah! Pengantin seharusnya menonjolkan kecantikan sendiri dengan wajah ayu dan penuh dengan seri pengantinnya. Dinasihatkan bakal pengantin memulakan penjagaan rapi kulit seawal tiga bulan.
Jangan sesekali lakukan rawatan agresif seperti peeling pada saat-saat akhir. Tidur dan rehat secukupnya agar kulit bermaya. Jika ini dilakukan, dengan sedikit sentuhan solekan sahaja, sudah mampu menyerlahkan keserian wajah.”

25. NASHA
“Definisi solekan sebenar bagi saya adalah menaikkan kecantikan wajah. Bukannya mengubah rupa sebenar. Maka, saya amat menyarankan solekan yang ‘evergreen’ untuk seseorang pengantin yang seharusnya mampu diterima walaupun dilihat 10 tahun akan datang.
Ia harus kekal cantik, berseri selama-lamanya. Kebersihan dalaman juga penting dalam membantu pengantin terlihat indah. Justeru, tenang dan bersihkan hati sebelum naik ke pelamin agar ia terserlah pada wajahmu nanti.”

26. BOSCO
“Pengantin adalah highlight. Jangan jadikan mereka sebagai kanvas untuk uji kaji. Solekan timeless tidak akan ada protokol buruknya kerana ia mampu diterima pakai walau musim silih berganti. Jangan silap, solekan minimalis bukan bermaksud wajah harus kelihatan seperti tidak bermekap sehingga kelihatan pucat lesi.
Solekan minimalis masih memerlukan langkah solekan yang sama, hanya teknik yang berbeza. Tetap perlu ada seni dan percikan sinarnya, barulah ia ‘bernyawa’. Maka, pilihlah jurusolek yang benar-benar memiliki magis itu untuk menyerikan dirimu zaman berzaman.”

Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Unitar