Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
gaya hidup

3 Jenis Kaki Sembang Yang Rasulullah SAW Paling Benci Dan Realitinya Ada Dalam Kalangan Kita. Allahu…

Huda Hussain 13/03/2021 | 08:45 MYT
Duduk berborak, lepak berjam-jam lamanya bukan lagi sesuatu yang asing dalam kalangan kita. Baik lelaki atau perempuan, remaja atau dewasa ia bagaikan suatu rutin yang menjadi kemestian jika sudah lama tidak bertemu rakan-rakan. Berbahas, ‘membahan’, ‘membawang’ dan sebutlah apa sahaja istilah – Perlakuannya tetap sama. Segenap ceruk, semua sudut jadi bualan. Satu persatu topik atau isu dikupas. Soal artis, isu semasa berkaitan ekonomi, apa yang viral, pendek kata selagi boleh bercakap, berhujah semua perkara mahu disentuh. Sembang kedai kopi kata orang, memang seronok. Sedar tak sedar bergelas-gelas air dipesan dan diteguk. Ya, bersembang siapalah yang tak suka kan?
Kredit Foto: Google
Tetapi kita perlu berhati-hati dalam menuturkan sebarang perkara. Lebih-lebih lagi jika kita bukan ahli atau arif dalam setiap yang dituturkan. Kerana dalam Islam, ada disenaraikan tiga golongan yang paling dibenci Rasulullah apabila mereka berbicara.
.
1. "Thartharun", iaitu golongan yang sembang kencang atau cakap berjela-jela yang tidak berfaedah. Mereka ini biasanya suka mencelah percakapan orang lain dan gemar menguasai perbualan tanpa memberi ruang kepada orang lain bercakap.
2. "Mutasyaddiqun", iaitu golongan yang suka bercakap dengan gaya yang merendahkan atau meremehkan orang lain.
3. "Mutafayhiqun", iaitu golongan yang bila bercakap, suka cerita tentang dirinya sahaja untuk tonjolkan dirinya lebih dari orang lain.
Kredit Foto: Google
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:
أَبغَضَكُمْ إِليَّ وَأبْعَدَكُمْ مِني مَجْلساً يَومَ القِيامةِ: الثَّرْثَارونَ، والـمُتَشَدِّقُونَ، وَالـمُتَفَيْهِقُون
“Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh kedudukannya daripadaku pada hari Kiamat ialah orang yang paling lebat sembangnya, orang yang suka memperolok orang lain dan orang yang sombong bicaranya.” [Hadis Riwayat al-Tirmidzi].
Kredit: Dr. Kamilin Jamilin
Sebaiknya kita menggunakan setiap pancaindera terutamanya mulut dengan memperbanyakkan zikir, berselawat, memuji kebesaran Allah dan apa jua yang menjurus ke arah kebaikan. Jika tidak tahu-menahu, bukan arif atau layak membahaskan sesuatu lebih baik mendiamkan diri. Seperti yang termaktub dalam Surah Al Isra’ ayat 36 yang bermaksud, ‘Dan janganlah kamu berkata tentang perkara yang kamu tidak ketahui tentangnya kerana sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati itu semuanya akan dipertanggungjawabkan’.
#Pedoman Hidup #Kaki Sembang
;