Oleh: Norhaizan Ahmad

Apa akan terjadi kalau saya lambat kesan DIABETES?

Doktor, dianggarkan kira-kira 3.6 juta atau 17.5 peratus rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas menghidap diabetes. Namun difahamkan separuh daripada jumlah tersebut masih belum didaignosis kerana tidak pernah menjalani saringan kesihatan.

Salah seorang adalah saya. Jadi, apa saranan doktor? Dan komplikasi diabetes jika lewat dikesan? Fareeda Hasbullah, Bayan Baru

Benar Fareeda, data statistik amat menggerunkan kerana jumlah pesakit diabetes semakin bertambah dengan cepat. Sekiranya penyakit ini dapat dikesan daripada peringkat awal, maka jumlah pesakit akan dapat dikurangkan dengan ketara.

Kementerian Kesihatan Malaysia ambil maklum dan sememangnya modus operandi secara aktif sedang dilakukan bagi membendung peningkatan kes. Ia perlu dipandang serius kerana komplikasi penyakit ini agak parah.

Antara yang sedang giat dilaksanakan sekarang adalah program saringan di peringkat klinik kesihatan di seluruh Malaysia di mana pesakit yang berisiko perlu menjalani ujian saringan seperti pengambilan darah untuk mengesan tahap gula.

Saringan kesihatan di tempat kerja juga memanglah lumrah dilakukan sama ada di pihak kerajaan ataupun swasta. Apabila seseorang ingin memasuki institusi pengajian atau memohon pekerjaan mahupun memohon kenaikan pangkat, ujian saringan wajib dilakukan. Kesemua ini adalah langkah-langkah pengesanan awal penyakit kronik lain dan diabetes.

Pada mereka yang ingin tahu status mereka, saya sarankan untuk pergi ke mana mana klinik, hospital atau pusat kesihatan sama ada kerajaan atau swasta bagi ujian gula dalam darah. Saringan juga boleh dilakukan di farmasi yang diiktiraf sekiranya takut atau sibuk untuk ke klinik dan hospital.

Kajian menunjukkan ramai yang tidak melakukan ujian saringan ini kerana mereka fikir mereka sihat. Ini adalah lumrah kerana pada peringkat awal diabetes mereka tidak merasa apa-apa pun.

Di samping itu ada yang takut untuk mengetahui yang mereka mengidap diabetis. Pada mereka, lebih baik tidak mengetahuinya daripada tahu dan terpaksa mengawal pengambilan gula.

Sekiranya anda mempunyai ciri-ciri berikut, buatlah ujian saringan ini untuk mengetahui status anda. Antara yang utama ialah sejarah diabetes dalam kalangan ahli keluarga terutama ibu bapa, umur lebih daripada 40 tahun, kegemukan dengan jisim berat badan lebih daripada 25kg/m2, cara hidup yang tidak aktif dan pengamalan makanan dan minuman manis yang berlebihan.

Adalah mustahak untuk kita mengetahui status kita kerana mencegah lebih baik daripada mengubat. Kos kesihatan amatlah tinggi maka dengan pengesan awal, kita dapat mengelakkan mendapat komplikasi diabetes seperti serangan jantung, rosak buah pinggang, risiko potong kaki dan buta.

Tangan dan kaki kebas, apa maknanya?

Doktor, bulan lepas saya alami kebas-kebas pada tangan dan kaki kiri, mungkin disebabkan kolesterol yang tinggi dalam darah, namun saya belum membuat pemeriksaan di klinik mahupun hospital untuk mengesahkannya.

Cuma saya bimbang ia akan menyebabkan penyakit koronari yang lebih serius. Minta doktor kongsikan maklumat yang tepat dan sahih mengenai pengurusan dan kawalan kolesterol? Hidayah Abu Bakar, Balakong

Buat pengetahuan anda, kolesterol sering diertikan sebagai sesuatu yang tidak sihat. Tetapi manusia perlu kolestrol kerana ia penting bagi membantu pembentukkan sel membrane, penghasilan hormon dan hempedu bagi penyerapan vitamin tertentu dan lain-lain.

Cuma kita perlu mengawal pengambilannya dalam diet harian kita. Ingat, badan yang kurus tidak semestinya tahap kolesterol adalah rendah kerana ia sangat berkaitan dengan genetik selain faktor pemakanan dan cara hidup.

Tidak semua jenis kolesterol adalah tidak baik. Contohnya ‘high density lipoprotein’ (HDL) perlu tinggi kerana ia adalah kolesterol baik. Manakala jenis yang lain memanglah memudaratkan kesihatan kita seperti ‘low density lipoprotein’ (LDL) dan ‘triglyceride’ (TG). ‘Total Cholesterol’ (TC) pula adalah jumlah kesemua kolesterol dalam darah.

Doktor sarankan anda lakukan ujian saringan kolesterol dengan ujian darah semasa berpuasa. Kajian menunjukkan ujian ini patut dimulakan bila usia kita mencecah 35 bagi lelaki dan 45 bagi wanita.

Walau bagaimanapun ujian ini perlu dilakukan seawal 20 tahun sekiranya risiko penyakit kardiovaskular adalah tinggi seperti telah dikesan mengidap hipertensi, diabetes, jantung.dan ada sejarah tinggi kolesterol dalam keluarga.

Sekiranya bacaan tahap koleserol kita tinggi, doktor akan menasihakan kita untuk elakkan pengambilan makanan tinggi kolesterol, bersenam secara berkala, pengurusan berat badan unggul, berhenti merokok dan elakkan pengambilan minuman beralkohol secara berlebihan.

Ini dinamakan ‘therapeutic lifestyle changes’. Selepas tempoh seawal enam minggu ujian kolesterol akan dibuat semula bagi melihat penurunan bacaannya. Kebiasaanan ia akan turun kerana punca utama rakyat Malaysia ialah diet yang tinggi kolestrerol dan gaya hidup yang kurang aktif.

Akan tetapi sekiranya anda mempunyai risiko penyakit kardiovaskular yang tinggi, doktor akan terus menasihatkan anda untuk mengambil ubat kolesterol di samping mengamalkan ‘therapeutic lifestyle changes’.

Penilaian ini dilakukan dengan mengunakan kalkulator seperti ‘framigham risk calculator’ bagi mengira risiko penyakit kardiovaskular. Faktor penting yang perlu diambilkira adalah seperti umur, jantina, adanya hipertensi, status merokok dan tahap kolesterol dalam darah.

Doktor anda juga akan memberitahu apakah tahap optimum kolesterol anda kerana ia bergantung kepada risiko kardiovascular. Sekiranya risiko anda tinggi maka tahap kolesterol bagi anda akan lebih rendah.

Contohnya sekiranya anda mengidap penyakit jantung, maka tahap kolesterol LDL tidak lebih daripada 2.6 mmol/L berbanding dengan 4.1 mmol/L bagi mereka yang tiada risiko. Bacaan normal untuk ‘Total Cholesterol’ pula adalah sama iaitu kurang daripada 5.2 mmol/L.

Kesimpulannya anda perlu tahu tahap kolesterol anda supaya ia dapat membantu anda untuk pengurusan kolesterol yang lebih optimum. Oleh itu berjumpalah dengan doktor bagi mengetahuinya. Ingatlah, penyakit tinggi kolesterol adalah pembunuh senyap.

Anda tidak tahu selagi anda tidak membuat ujian tersebut. Disarankan juga untuk anda mengetahui makanan mana yang tinggi kolesterol dan rajin untuk membaca label semasa membeli makanan. Pilihlah makanan yang rendah kolesterol.

Cara terbaik dan selamat untuk atasi masalah Hipertensi?

Saya mahu bertanya Doktor mengenai hipertensi yang mungkin saya alami sejak akhir-akhir ini. Saya bimbang ia menyumbang kepada penyakit yang lebih serius misalnya penyakit jantung, strok dan kegagalan buah pinggang.

Ketika bila saya perlu mula mengambil ubat? Dan apakah kaedah terbaik dan selamat untuk saya atasi masalah hipertensi? Syed Abdul KarIm, Johor Bahru

Terima kasih Syed Abdul KarIm atas soalan anda. Buat pengetahuan Syed dan semua pembaca InTrend, hipertensi dikesan sekiranya anda mempunyai bacaan tekanan darah lebih 140/90mmHg sebanyak dua kali bacaan atau lebih pada masa yang berlainan.

Tetapi doktor juga akan mengesahkan anda mengidap penyakit hipertensi sekiranya anda mempunyai simptom dan bacaan tekanan darah lebih 140/90mmHg walaupun sekali bacaan sahaja.

Apabila anda didapati mengidap hipertensi, doktor akan menasihatkan anda untuk mengambil ubat darah tinggi. Di samping itu, anda juga dinasihatkan untuk mengamalkan cara hidup yang sihat.

Khususnya untuk penyakit hipertensi, anda perlu mengurangkan atau tidak langsung mengambil makanan yang masin dan bergaram selain melakukan senaman secara berkala. Pengambilan garam yang tinggi akan menyebabkan garam sodium meningkat.

Ini mengakibatkan buah pinggang susah untuk menyingkirkan air. Apabila ini berlaku, air akan berlebihan di dalam badan, menyebabkan tekanan darah menjadi tinggi. Kesan ini menyebabkan beban tekanan akan lebih kepada organ penting dalam badan seperti jantung, otak dan buah pinggang.

Justeru, sekiranya tidak dirawat dengan cepat, komplikasi seperti sakit jantung, strok dan kegagalan buah pinggang akan berlaku.

Jadi adalah penting untuk pesakit mengikut aturan mengambil ubat darah tinggi dan mengamalkan cara hidup sihat yang lain seperti tidak merokok dan tidak mengambil minuman beralkohol secara berlebihan, elakkan makanan berlemak dan manis.

Kajian menunjukkan diet yang mengandungi kandungan serat yang tinggi dan yang mengandungi mineral seperti potasium, kalsium dan magnesium juga boleh menurunkan tekanan darah (“DASH” diet).

Elakkan daripada stres kerana apabila stres, hormon seperti adrenalin akan meningkat, seterusnya menyempitkan saluran darah dan membuatkan jantung anda mengepam dengan cepat yang mengakibatkan darah menjadi tinggi. Adalah penting untuk pesakit untuk tidak lupa mengambil ubat.

Bagi mereka yang belum disahkan mendapat penyakit ini, amalkanlah cara hidup sihat. Kurangkan makanan yang bergaram dan keraplah bersenam dan kekalkan jisim berat badan yang unggul, selain daripada tidak merokok dan minum minuman beralkohol secara berlebihan.

Buatlah penilaian untuk mengetahui sama ada anda berisiko untuk penyakit hipertensi ini. Sekurang-kurangnya anda perlu tahu berapakah bacaan tekanan darah anda dalam masa tiga bulan ini.

Biodata Dr Mohd Radzniwan A.Rashid.

Anak jati Johor ini adalah Timbalan Pengarah Klinik Pakar Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia(USIM) yang terletak di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan. Beliau juga adalah Pakar Perubatan Keluarga dan Pensyarah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM.

Sebelum ini beliau bekerja di Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai pensyarah dari 2007 hingga 2015. Dr Mohd Radzniwan mendapat ijazah daripada University College Dublin Ireland pada 1997.

Tidak puas dengan hanya ijazah, beliau seterusnya melanjutkan pelajaran ke peringkat kepakaran dan kepakaran Perubatan Keluarga telah menjadi pilihan. Beliau telah menghasilkan lebih daripada 20 jurnal dan menjadi supervisor bagi pelajar sama ada di peringkat ijazah mahupun sarjana.

Mantan pelajar Sekolah Menengah Sains Johor, Kluang ini juga aktif dengan aktiviti sukarelawan seperti menyertai program asnaf di Negeri Sembilan dan memberi perkhidmatan di beberapa rumah anak yatim dan dilantik menjadi ikon gigi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sejak 2017.