5 Sebab Mak-mak WAJIB Sediakan Bekal Untuk Anak ke Sekolah — Rupanya INI RAHSIA Anak Cerdas & Bijak!
Public Anonymous User
24/01/2019 07:42 MYT
24/01/2019 07:42 MYT
Teks: Norhaizan Ahmad
Sumber foto: Shutterstock.com
HAMPIR sebulan sesi persekolahan tahun 2019 bermula, namun masih ada cakap-cakap berkaitan dengan kualiti dan kuantiti makanan di kantin, juga ada kes murid sekolah yang tidak sempat mahupun tidak dapat makan pada waktu rehat. Kenapa jadi begini? Kesian pada anak-anak yang kelaparan ketika sesi pembelajaran.
Murid Tahun Satu selalunya yang jadi mangsa. Kerana dunia persekolahan adalah sesuatu yang baru buat mereka. Situasi ini bukan sahaja didepani oleh murid Tahun Satu, malah murid Tahun Dua hingga Tahun Enam pun tidak sempat beli makanan dan minuman di kantin. Ini kerap berlaku terutamanya pada hari pertama persekolahan.
Inilah Tanggungjawab Mak-mak Bila Ada Anak Sekolah
Sejak anak sulung masuk ke sekolah 17 tahun yang lalu, saya tidak pernah culas menyediakan bekal makanan ke sekolah buatnya. Malah sarapan juga wajib terhidang di atas meja dan tiga anak saya perlu menjamahnya sebelum ke sekolah. Saya selalu ingat pesan suami, “Jangan biarkan mereka (anak-anak) lapar.”
Saya ibu berkerjaya namun tugas menyediakan bekal makanan untuk anak-anak sangat dititikberatkan. Apabila kita sediakan makanan di rumah, kita dapat pastikan akan kebersihan sekali gus menyediakan menu yang sihat untuk anak-anak. Justeru, saya menyeru mak-mak untuk mengambil inisiatif bagi menyediakan bekal makanan untuk anak-anak ke sekolah. Usaha anda sangat dihargai kerana menghindari anak-anak daripada kelaparan semasa sesi pembelajaran.
Sumber foto: Shutterstock.com
InTrend Kongsikan 5 Sebab Kenapa Anak-anak Perlu Bawa Bekal ke Sekolah
SEBAB 1
Ini sebab yang paling penting ya! Jangan sesekali biarkan anak-anak lapar ketika pergi ke sekolah. Dalam keadaan perut kosong, anak-anak tidak boleh fokus terhadap sesi pembelajaran. Apa guna ibu bapa hantar anak-anak ke sekolah tetapi mereka tidak dapat beri 100 peratus perhatian terhadap apa yang guru ajarkan.
Justeru, saya tidak pernah lupa walau sehari untuk menyediakan bekal makanan buat anak-anak. Menyediakan bekal anak ke sekolah adalah tugas pertama yang perlu saya lunaskan setiap pagi. Mak-mak kena kuat semangat dan tabah ya untuk bangun awal (saya bangun sekitar jam 5.00 pagi) untuk menyediakan bekal dan sarapan buat anak-anak. Pesan saya, nak seribu daya, tak nak seribu dalih!
SEBAB 2
Sekiranya mak-mak menyediakan bekal makanan, anak-anak kita dapat menikmati waktu rehat dengan tenang. Justeru, 20 minit yang diberi untuk waktu rehat dikira memadai. Anak-anak boleh bawa terus bekal makanan dan minuman ke kantin ketika waktu rehat dan nikmatinya bersama teman-teman.
SEBAB 3
Ini situasi yang terjadi apabila anak-anak kita tidak bawa bekal ke sekolah. Sekiranya anak-anak tidak sempat beli makanan di kantin ataupun makanan habis, ada segelintir yang akan minta makanan dengan kawan-kawan. Kalau sekali-sekala mungkin tak mengapa, tapi kalau dah hari-hari minta makan ‘free’ mahu kawan-kawan sakit hati, betul tak? Justeru, cuba elakkan anak-anak kita daripada jadi ‘bahan umpatan’ kawan-kawan di sekolah.
SEBAB 4
Punca utama murid tak sempat makan disebabkan kantin sesak. Nak beratur bukan main panjang, akhirnya loceng tamat rehat berdering dan murid pulang ke kelas kelaparan. Ada yang sempat beli makanan tapi tak sempat makan, dan ada pula tu bila dah sampai giliran membeli, makanan di kantin habis. Mesti stres, kan? Cuba mak-mak bayangkan perasaan anak-anak ketika berdepan situasi ini? Disebabkan ini mungkin emosi anak-anak tercalar, marah sebab tak dapat makan, yang akhirnya membuat dia tidak fokus untuk belajar.
SEBAB 5
Dengan menyediakan bekal makanan, mak-mak dapat pastikan anak-anak mendapat menu makanan yang sihat dan terjamin kebersihannya.