gaya hidup
5 Soalan Ini Jangan Ditanya Kepada Pasangan Yang Belum Ada Anak – Belajar Jaga Hati Orang, Tak Perlu Terlebih ‘Ramah’
Rata-rata pasangan yang sudah berkahwin pasti mengimpikan cahaya mata sebagai penyeri dan pelengkap kepada rumah tangga yang dibina. Namun, apalah daya kita untuk menentukan bila waktunya Tuhan akan menganugerahkan permata syurga itu?
Ada orang senang saja dapatnya. Tak sampai setahun terus bunting pelamin. Ada yang berderet-deret anak diberi Tuhan. Ada pula yang diuji dengan ketiadaan zuriat bertahun-tahun sehingga terpaksa mencuba pelbagai cara untuk memilikinya.
Soal anak ini adakala dilihat remeh oleh kebanyakan orang yang tidak sensitif tentang isu ini. Mungkin kerana mereka sendiri tidak pernah berdepan dilema ini atau mempunyai orangn terdekat yang sedang mengalami isu tersebut.
Advertisement
Kalau diselami sedalamnya hati pasangan yang belum dikurniakan zuriat, pasti kamu tahu betapa luluhnya hati mereka setiap kali ada mulut-mulut yang mempersoalkan kenapa dan bila mereka mahu ada anak sendiri?
Allahu... bagaimana untuk mereka memberi jawapan itu? Kalaulah membuat anak itu seperti memproses barang kilang, pasti setiap tahun lahir saja anak mereka itu. Jangan terlalu lancang. Belajarlah menjaga hati orang, nescaya kamu sendiri tidak akan terluka.
5 Soalan Usah Ditanya Kepada Pasangan Yang Sedang Diuji
- Bila nak dapat anak? – soalan ini paling salah dalam apa jua sisi dan tujuan. Bagaimana untuk menjawab soalan yang mereka sendiri tidak tahu jawapannya dan tiada kuasa untuk menentukan waktunya. Jangan sampai menidakkan kekuasaan dan takdir Allah.
- Merancang ke? – ini terlalu peribadi untuk ditanya kerana melibatkan hubungan suami dan isteri. Sekali pun mereka merancang, kita tiada hak untuk mengetahuinya. Dan, jika sebaliknya, bukankah terluka hati mereka? Mereka punya susah untuk dapat anak, boleh pula dituduh merancang!
- Tak ada usaha mana-mana ke? – kenapa? Mak cik ada nak taja mana-mana proses kesuburan ke? Ke mak cik ejen? Hanya mereka yang tahu apa usaha yang mereka lakukan selama ini. Sekalipun kamu ada niat untuk membantu, tidak perlu ditanya begitu. Kalau mereka perlukan bantuan, biarkan mereka sendiri yang buka mulut bertanya.
- Tak sunyi ke? – soalan ini juga kerap ditanya apabila soalan di awal tadi tidak mendapat jawapan yang mereka harapkan. Dia ingat ada anak terus boleh hilang sunyi? Dia ingat dengan ada anak saja terlenyap semua kesunyian dan masalah hidup? Jangan ukur kebahagian rumahtangga orang dengan ada dan tidak zuriat di antara mereka. Ramai juga yang ada anak masih berantakan.
- Tak nak ambil anak angkat? Pernah gugur? – soalan paling berani dan dramatik yang boleh menusuk ke sanubari. Seeloknya, berkatalah yang baik-baik. Mungkin boleh diubah pertanyaan itu kepada, “kalau nak minta tolong apa-apa, beritahu ya?” atau “tak apa, belum ada rezeki. Nanti mesti ada Allah bagi...” Bukanlah lebih sedap didengar?
Must-Watch Video