Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Highlights

8 Perkara Ayah Tak Pernah Kongsi Dengan Kita. Setelah Bergelar Ibu Ayah, Barulah Kita Tahu Sebabnya.

Huda Hussain 19/05/2020 | 15:22 MYT
Daripada dialah kita belajar tentang erti pengorbanan, kepimpinan dan betapa sifatnya yang sering mendahului dalam apa jua situasi sekalipun. Sikapnya yang tegas dan mungkin ada jurang yang menjarakkan hubungan kita lebih erat dengannya berbanding dengan ibu. Namun semua itu bersebab. Ampunilah dosanya dan teruskan berdoa untuk kesejahteraannya.
Kredit Foto: Google
  1. Tak Cukup Duit
Khususnya bagi bapa yang bekerja makan gaji, setiap bulan pasti sibuk memikirkan peruntukan duit untuk keperluan isi rumah. Mana lagi duit belanja dapur, perbelanjaan anak-anak, isteri dan akhir sekali barulah ayah akan fikirkan apa kehendaknya. Dan selepas membuat perkiraan, hanya tinggal berapa saja dalam akaun simpanan. Itupun kita masih lagi meminta-minta nak beli itu dan ini. Sedangkan mungkin dalam dompet ayah cuma tinggal RM20 yang mahu difikirkan sampai ke hujung bulan. Allahu, besarnya pengorbanan ayah kita.
  1. Hampa Bila Tak Dapat Penuhi Kemahuan Kita
Seboleh mungkin ayah mahu lihat kegembiraan terpancar pada wajah kita. Apa jua kemahuan kita sehabis baik akan cuba dipenuhi. Tetapi apabila ia gagal dipenuhi, dalam masa sama ayah mahu mendidik kita tentang erti sabar. Bukan senang untuk adakan apa yang kita hajatkan. Dan percayalah, bila ayah punya duit lebih pasti dia akan belikan apa yang kita menjadi keinginan kita selama ini. Ayah tak pernah lupa sebaliknya tak pernah berhenti berusaha untuk penuhi kemahuan kita.
Kredit Foto: Google
  1. Nak Kita Tahu Yang Dia Selalu Ada Dan Dekat Dengan Kita
Mungkin bagi anak-anak yang mempunyai jurang terlalu jauh dengan ayah atas pelbagai faktor, yakinilah bahawa seorang ayah itu mahu kita dekat dengannya. Mungkin ayah tidak pandai meluah rasa seperti ibu, sifatnya tegas dan tetap dengan pendirian juga keputusannya. Tetapi sebenarnya, andai dapat diundur masa; ayah mahu melihat dengan matanya bagaimana kita mengatur langkah ketika berjalan, apa perkataan pertama yang keluar dari mulut kita, apa yang membuatkan kita gembira. Tetapi masa itu dikorbankannya untuk bekerja mencari nafkah untuk keperluan seisi keluarga.
  1. Ayah Pun Rindukan Kita
Saban kali kita telefon ke rumah, pasti dengan ibu kita berbual lama. Atau jika ayah yang menjawab panggilan, kita hanya bertanya khabar sepatah dua saja dengannya. Selebihnya ayah akan berkata, “Nak cakap dengan Mak ke? Tunggu kejap ayah panggilkan” sedangkan jauh disudut hati ayah dia cemburu mendengar dan melihat betapa mesranya kita dengan ibu. Nak dimulakan terasa kekok. Bukan tak mahu tetapi mungkin tidak tahu bagaimana caranya mahu mengambil hati kita, mesra dan rapat seperti kita dengan ibu.
Kredit Foto: Google
  1. Ayah Sentiasa Cuba Berikan Yang Terbaik
Mungkin kita tak perasaan, bagaimana ayah bekerja keras demi menampung kita sekeluarga. Kalau siangnya makan gaji, sebelah malam pula berniaga menjual burger misalnya. Dan percayalah, semua itu dilakukan demi tanggungjawab yang tergalas dibahunya. Mahu pastikan ada makanan mampu disuapkan ke mulut kita. Tapi sebagai manusia biasa, ayah mungkin pernah tersilap langkah. Yang kesannya membuatkan kita menyimpan dendam dengan ayah. Lebih-lebih lagi apabila ayah berjanji tetapi tak mampu ditepati. Sedangkan dalam fikiran ayah hanya sentiasa memikirkan apa lagi yang boleh dilakukannya untuk cuba penuhi hasrat kita. Kalau kita sedih, fikirkan betapa sedihnya ayah hadapi semua ini.
  1. Sebenarnya Ayah Penat
Tapi tak pernah sekalipun ayah cakap penat. Walau sibuk bekerja dari siang ke malam hingga mungkin makan minumnya entahkan cukup atau tidak, tak pernah kita tanya. Atau mungkin kita jarang bertanya, “Ayah dah makan?” “Ayah ada masalah ke?” dan sudahnya ia kekal menjadi rahsia ayah sampailah saat kita keluar dari rumah ayah setelah bergelar isteri. Dan menjadi rutin pertanyaan ayah kalau kita telefon, pasti ditanya sudakah kita makan atau belum sedangkan sebelum ini kita tidak pernah bertanya soalan sama kepadanya. Hebatnya ayah.
  1. Ayah Nak Kita Tandingi Dirinya
Apabila kita semakin meningkat dewasa, sudah berkerjaya barulah kita rasai tekanannya. Lebih-lebih lagi kalau sudah berkeluarga. Sedangkan seingat kita dahulu, ayah tak pernah tunjukkan dia tertekan, runsing dan sebagainya. Dia tak pernah mengeluh dan tampak tenang saja. Sedangkan apa yang berputar dalam fikirannya, susah senangnya hanya dia saja yang merasainya. Sungguhpun begitu, sebenarnya ayah tak mahu kita lalui jalan yang susah sepertinya. Sebaliknya, dia mahu kita menjadi seorang anak yang lebih baik, lebih hebat daripadanya.
Kredit Foto: Google
  1. Ayah Tak Ungkapkan Sayang Tapi Jelas Terlihat Daripada Perbuatannya
Kalau bukan kerana sayangnya ayah terhadap anaknya, mana mungkin dia mahu korbankan segala kudrat, titik peluh dana pa jua yang termampu demi tanggungjawab dan kasihnya terhadap kita. Mungkin sukar untuk kita dengar, “Ayah sayangkan kamu” tetapi lihat saja apa yang terbentang dihadapan mata. Semuanya disiapkan untuk kita. Atau mungkin ayah tak pernah jelaskan mengapa dia menghukum kita. Kenapa rotan dan tali pinggang atau getah paip itu merayap pada tubuh kita. Ayah mahu mendidik kita supaya kita menjadi manusia berguna. Dan kerana sayangnya jugalah, dia tidak mahu kita lalai dan hanyut dibuai syurga dunia pada mata kita.
Beruntunglah bagi mereka yang masih dipinjamkan usia ayah untuk berkhidmat dan menabur budi serta menuai pahala sebagai galang ganti pengorbanannya membesarkan kita selama ini. Kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya ayah berkorban nyawa.
#Pengorbanan #Kasih Ayah
;