Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Highlights

8 TIPS Mudah Ajar Anak Solat – Mulakan Dari Kecil dan Di Rumah, Barulah Mereka Tak LIAT! Ibu Bapa Boleh Cuba CARA Ini

Huda Hussain 12/01/2020 | 12:42 MYT
Kesibukan yang takkan pernah habis, tiada kesedaran mengenai pentingnya mengajar anak mengerjakan solat, sikap ibu bapa sendiri yang tidak ambil endah soal ini mungkin antara penyebab utama mengapa anak-anak liat menunaikan solat.
Tidak kurang juga ada dalam kalangan ibu bapa yang tidak tahu kaedah atau teknik yang tepat untuk mengajarkan anak bersolat. Usah khuatir, masih belum terlewat untuk cuba praktikkan. Pokok pangkalnya, mulakan dari rumah. Biasakan sejak detik mula kalian berkahwin agar tidak ketinggalan menunaikan solat berjemaah bersama. Barulah terasa keberkatannya sejak anak kecil lagi.
Kredit Foto: Google
Bahkan anak-anak kita sebenarnya sudah boleh diajar bersolat seawal usia mereka dua hingga tiga tahun. Menurut Hadis Riwayat At-Tabrani “Jika seseorang anak sudah mengetahui dan dapat membezakan tangan kanan dan kirinya, maka perintahkanlah ia untuk mengerjakan solat.”
Ya, tidak dinafikan ia memang mencabar dan menguji kesabaran kita. Namun demikian ia bukan alasan untuk kita berlengah dan membiarkan saja mereka hanyut dibuai waktu. Ikuti tips mudah ini untuk biasakan anak solat sejak kecil.
  1. Solat Depan Anak
Rajinkan diri mendirikan solat di hadapan mereka. Hal ini kerana, anak-anak kecil akan mudah belajar dengan cara mengikut dan meniru perbuatan kita. Lantaran itu, manfaatkan kelebihan ini sebaiknya. Benar, ada masanya mereka memanjat belakang badan kita, baring diatas sejadah, menarik kain telekung dan sebagainya. Tidak mengapa, ia hanyalah momen awal sahaja. Lama-kelamaan mereka akan mulai faham dan tidak akan mengganggu lagi ketika ibu atau bapa solat. Banyakkan bersabar okey!
Kredit Foto: Google
  1. Ajak Solat Bukannya Menyuruh
Antara ayat, “Abang, jom solat dengan ibu” atau “Abang pergi solat cepat!” banyak bezanya bukan? Hati anak-anak akan lebih cenderung untuk mendengar dan patuh kepada bait perkataan yang membuatkan dirinya berasa dekat dengan kita. Untuk itu, ajak anak-anak kita soalt berjemaah bersama-sama. Walaupun anak baru berumur dua hingga tiga tahun, biasakan diri dengan mengajak mereka solat bersama kita. Tak perlu tunggu sehingga anak berusia tujuh tahun baru nak ajak mereka solat. Cubalah!
  1. Ajarkan Anak Mengambil Wuduk
Ajarkan anak-anak kita supaya mereka belajar mengambil wuduk dengan langkah yang betul. Insya-Allah jika wuduk sempurna, maka sempurnalah jua solat anak-anak kita. Bagaimana kaedahnya? Ibu bapa boleh saja membeli buku panduan solat untuk kanak-kanak ataupun menampal poster tatacara mendirikan solat yang betul. Banyak pilihan di pasaran yang ada, pilih saja yang mana praktikal. Pastikan anda mengajar anak secara konsisten, bimbing dan tegur dengan berhemah supaya mereka kekal bersemangat untuk terus bersolat.
Kredit Foto: Google
  1. Latih Anak Laungkan Iqamah
Bagi anak lelaki, biasakan mereka agar melaungkan lafaz iqamah. Ia juga secara tidak langsung melatih mereka supaya lebih yakin, berani dan bertanggungjawab. Mungkin pada awalnya mereka tidak tahu atau malu tetapi bapa terutamanya bimbinglah anak agar mereka biasakan diri dengan tanggungjawab ini. Perbaiki bacaan dengan betul, Insya-Allah percayalah usai mereka mula memahami, dengan sendirinya mereka akan biasakan rutin ini tanpa disuruh.
  1. Selalulah Puji Anak
Ringankan mulut anda untuk memuji apa jua tingkah laku positif yang mereka lakukan. Misalnya solat di awal waktu, bangun sendiri untuk solat subuh tanpa dikejut dan sebagainya. Beri penghargaan dan kata-kata pujian agar mereka lebih bersemangat dan kekal istiqamah untuk solat.
Kredit Foto: Google
  1. Beli Sejadah, Telekung atau Kopiah Khas untuk Kanak-Kanak
Terdapat pelbagai cara untuk pastikan anak-anak kekal bersemangat dalam mendirikan solat. Cuma dengan syarat ibu bapa perlu kreatif mencari cara dan pendekatan tertentu. Misalnya, ibu bapa boleh belikan sejadah kanak-kanak juga kopiah dan telekung khas untuk kanak-kanak. Sama ada dibeli online mahupun dikedai-kedai, beri ruang untuk anak-anak pilih mana satu yang mereka suka. Dan tiada lagi alasan kalau mereka malas mahu bersolat.
  1. Bersalaman dan Berpelukan Selepas Solat
Bagi kebanyakan ibu bapa yang bekerja, masa yang ada sepanjang Isnin hingga Jumaat amat terhad. Justeru itu, apabila setiap kali solat berjemaah luangkan masa dengan bersalaman dan memeluk anak. Tadahlah telinga mendengar apa jua yang ingin mereka ceritakan sepanjang berada di sekolah. Dengan cara ini juga akan mampu mengeratkan hubungan dan talian kasih sayang. Ibu bapa dihormati anak disayangi.
Kredit Foto: Google
  1. Bawa Anak Ke Masjid
Mungkin ada yang beranggapan leceh membawa anak ke masjid kerana dibimbangi mengganggu konsentrasi jemaah lain. Tetapi ini penting bagi anak-anak membiasakan diri dengan persekitaran masjid yakni rumah Allah yang sewajarnya dihormati dan dilazimi kunjungannya. Bukan terhad kepada waktu atau musim tertentu sahaja.
Anak-anak akan lebih bersemangat dan teruja dengan suasana solat berjemaah di masjid andai kita sudah membiasakannya sejak kecil. Terapkan disiplin dalam diri anak-anak supaya mereka menghormati adab ketika di masjid misalnya tidak membuat bising, menjaga tingkah laku dan sebagainya. Insya-Allah perlahan-lahan mereka akan memahaminya.
#Anak #Tips #Solat #Keibubapaan
;