Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Abah Berdoa Kakcik Jadi Orang Berilmu, Menunduk Tak Meninggi...” Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa Kenang Allahyarham Bapa.

Huda Hussain
24/09/2021 06:36 MYT
Baru-baru ini pendakwah terkenal, Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa ada berkongsi muat naik beliau di Instagram mengenai pemergian Almarhum bapa, yang juga merupakan guru agama dan pendakwah Allahyarham Ustaz Tuan Haji Musa Bin Salleh. Arwah bapa beliau telah kembali ke rahmatullah lebih kurang jam 12 tengah malam Isnin lalu selepas bertahun-tahun menderita kanser tahap empat.

Apa yang membuatkan penulis terpanggil untuk berkongsi muat naik Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa adalah bagaimana pentingnya figura Allahyarham bapa beliau yang menjadi antara tulang belakang disebalik karier beliau sebagai pendakwah. Sisi kelembutan dan penuh hemah ketika menyusun bicara menyampaikan kuliah, menyebarkan dakwah rupanya disantuni dan dicontohi daripada Almarhum bapa.

Kredit Foto: IG Ustazah Norhafizah Musa


Almarhum bapa dahulunya juga mendalami ilmu agama. Lebih kurang 40 tahun mendambakan diri untuk pendidikan dan dakwah di seluruh Negeri Sembilan. Kerjaya sebagai guru agama, guru al-Quran dan guru Bahasa Arab mendarah daging dalam dirinya. Lantaran itu tidak hairanlah kecintaan beliau dalam ilmu agama dan dakwah terdorong disebalik figura ini.

Dan semestinya apabila kehilangan insan tersayang, paling rapat lagi disayangi benar-benar meninggalkan kesan mendalam dalam diri sesiapapun. Begitu juga Ustazah. Berdasarkan muat naik beliau beberapa hari usai pemergian Allahyarham bapa ke negeri abadi, cukup menjentik hati.

Tulis beliau;
“Sahabat-sahabat, mohon maaf Ustazah kongsikan tentang abah di sini. Sebenarnya Ustazah sangat berharap ia jadi teladan kepada diri Ustazah sendiri. Biar sabar dan tenang macam abah. Biar cinta akhirat, sedikit saja mengambil nikmat dunia. Aduhai... jauhnya lagi perjalanan Ustazah nak jadi baik. Semoga Allah menempatkan ibu bapa kita semua dalam Syurga Firdaus bersama Rasulullah SAW dalam keredhoanNYA. Aamiin.”

MashaaAllah...
Begini rasa kehilangan dan kerinduan. Rindu yg amat. Allahul Musta'an.
Laki-laki budiman yang tak pernah menyakiti hatiku, tidak juga pernah mencubit, merotan, memukulku semasa kecil/ sepanjang hayatku.

Laki-laki budiman yang setiap waktu mengalir darinya kasih yang mendalam terhadap anak-anaknya. (biiznillah wa birahmatillah)

Laki-laki budiman yang menghargai dan menghormati insan-insan yang dikasihi oleh anak-anaknya. Ketika bertemu dengan sahabat ustazah, kak Rohaya yang sentiasa temani Ustazah ke kuliah-kuliah, abah tanggalkan kain serban di kepala nya untuk jadi alas lapik tangan bersalaman sebentar dengan kak Rohaya. Kata kak Aya, luruh jantung kak Aya tengok akhlak abah ni. Abah ucap terima kasih kerana sudi jadi sahabat anaknya.

Kredit Foto: IG Ustazah Norhafizah Musa


Laki-laki budiman ini kerap tersenyum kecil melihat anak perempuannya ini kehilangan sabar dengan kehidupan, diusap dan ditepuk dan dgn lembut dia katakan "Bukan yang ini ko penceramah yang suruh orang sabar tu" sambil dia tersenyum. Ya Rabb...

Laki-laki budiman ini amat suka menyentuh dan menggenggam tangan anak-anaknya hingga ke hari terakhir kehidupannya. Beliau suakan tangannya untuk isteri dan anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cicitnya agar dia dapat menggenggam lagi tangan-tangan kami.

Antara pesanannya yang sangat Ustazah ingat.. "Abah bilo tengok kakcik di televisyen, hati abah berdobar-dobar .. anak aku ni menyampaikan dengan ilmu yang mantap ko tidak.. ko sajo nak bercakap yo. Abah berdoa, kakcik jadi org berilmu, menunduk tak meninggi. Buku mesti baco.. telaah kitab tu wajib untuk kito yang menyampaikan. Ilmu tak amal macam pokok koring, elok eh di tobang yo, tak berguno.." dan terlalu banyak nasihat selama 46 tahun kehidupan dengan laki-laki budiman ini.

Semoga Allah menjadikan seluruh anak cucu dan keturunan beliau sebagai jariah yang besar buat beliau kerana beliau adalah pendidik yang mendidik keluarga dan masyarakat dengan ilmu dan akhlaknya.


#Keibubapaan #Pedoman Hidup #Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa
;