Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Ada Kala Kita Rasa Kita Nak Pergi Dulu Sebelum Orang Yang Kita SAYANG Tapi Allah Lebih Mengetahui...” UEL.

Afiza Kamarulzaman
01/02/2021 08:39 MYT
Meneruskan Misi Bantuan Banjir, team Jejak Ebit Lew (JEL), bersama-sama Pertubuhan Kasih Umat Malaysia terus menyalurkan bantuan asas kepada mangsa yang terjejas di sekitar Pahang sedapat yang boleh. Mereka tiba di Paloh Hinai, Pekan dengan lapan kenderaan yang membawa empat buah bot.


Menurut sukarelawan, Azuan Man, mereka membuat keputusan untuk turun padang kerana ada keluhan mangsa banjir yang memberitahu stok bantuan ada di pusat tetapi tidak dapat disalurkan kerana terputus hubungan, dek jalan raya dilitupi air tinggi. Disebabkan mereka memiliki bot-bot kecil dan mahir mengendalikannya, mereka berbesar hati untuk membantu.



Kredit Foto: Astro Prima



Penduduk Kg. Belukar Nangka Tiga Hari Terputus Bekalan


Team JEL tiba di Kuala Mentiga seawal pagi untuk mula mengedarkan kira-kira 500 pek makanan ke Kampung Belukar Nangka yang dikhabarkam sudah tiga hari terputus hubungan dan bekalan keperluan asas. Mereka harus menyegerakan perjalanan kerana hujan lebat tidak henti-henti sepanjang misi berlangsung.


Menurut Tok Batin, Rosli A/L Ray, selama tujuh hari hujan di situ menyebabkan air naik serta-merta dan memenuhi setiap pelusuk kampung. Selama itu juga mereka terpaksa mengusahakan sendiri sumber makanan dengan mencari jantung pisang, ubi-ubi untuk dibuat alas perut.


Syukurlah, dengan kehadiran team Misi Bantuan Banjir ini dapat mereka meneruskan kehidupan. Anak-anak kecil turut terjejas kerana ketiadaan stok lampin pakai buang dan susu yang sukar untuk diperolehi.



Kredit Foto: Astro Prima


Ke Kg Belimbing Pahang dan Kg Mambang


Mereka juga turut singgah di Kampung Belimbing Pahang dan terjumpa sebuah keluarga yang meminta pertolongan untuk memindahkan kakak mereka yang mempunyai penyakit parkinson untuk dibawa ke Kuantan, rumah adik-beradikya. Wanita berusia 75 tahun ini tiada anak menyebabkan hidupnya hanya bergantung pada ihsan adik-beradik.


Ketika mendukung wanita itu, Ustaz Ebit Lew sempat berbisik ke telinga wanita yang dianggap Emak itu, “Doakan saya ya Mak Cik, doakan saya sihat. Saya anggap Mak Cik macam Mak saya, semoga Mak Cik kuat, dirahmati Allah...” Ucap UEL sayu.


Lebih menyedihkan saat tiba di Kampung Mambang melihat keadaan penempatan yang ditenggelami air. Klinik-klinik turut hilang, tidak mampu lagi beroperasi. Melihatkan bot-bot datang menderu membawa pesakit di Pusat Sementara untuk mendapatkan rawatan, menyiat hati pilu. Kelihatan orang-orang tua ditolak anak-anak dengan kerusi roda sangat hiba.


Kredit Foto: Astro Prima



Isteri Tabah Mayat Suami Hanyut


Mengakhiri misi kali ini, team JEL sempat ke Kuang, Johor untuk melawat keluarga isteri hamil yang kematian suaminya ketika mahu menyelamatkannya. Lebih menyayat hati, mayat suaminya itu hanyut dibawa arus. Melihatkan keadaan isteri kini, masih tersisa kesedihan yang belum padam.


Ustaz sempat menitipkan doa dan kata-kata nasihat buat isteri yang seolah-olah hilang semangat hidup. “Ujian ini kak tanda kasih-sayang Allah untuk kita. Allah uji sebab Allah mahu kita jadi lebih baik, lebih kuat. Kadang-kadang, kita mesti terfikir alangkah baiknya kalau aku yang pergi dulu, bukan suamiku, bukan anakku atau sesiapa saja yang kita sayang.”


“Tapi Kak, kita juga kena tahu ini semua ketentuan Allah yang pasti ada hikmahnya. Kita tidak tahu mungkin selama ini arwah penat, jadi biarlah dia berehat awal. Dan kita yang ditinggalkan ini, teruskan kehidupan dan bekalan untuk arwah dengan amalan-amalan baik sebagai tanda sayang kita kepada arwah...” Ucap Ustaz Ebit.


Kredit Foto: Astro Prima




#Ustaz Ebit Lew #Jejak Ebit Lew #Mangsa Banjir
;