gaya hidup
Ada Kawan Membantu, Ada Kawan Menjatuhkan – Bijaklah Memilih Kawan Kerana Ada Masa Kawan Jadi LAWAN.
Dalam hidup ini kita memerlukan kawan untuk menambahkan warna dalam kehidupan. Tidak salah untuk berkawan jika ia membawa kepada kebaikan. Walau bagaimana pun, hati-hati juga kerana tidak semua orang mampu dibuat kawan.
Ada kawan menggunakan kawan untuk kepentingan peribadi. Ada kawan mendorong ke arah kebaikan, ada pula kawan yang mengaibkan saat terkandas dari laluan asal. Apa pun, itu semua atas hati budi masing-masing untuk mencerna nawaitu seseorang.
Hanya Allah berhak mengadili dan menghakimi niat umat Nya. Namun atas apa pun alasannya, matlamat tidak menghalalkan cara. Tegurlah sahabat yang terkandar dari landasan benar dengan teguran yang bernas.
Jika tidak berdaya untuk menarik tangan sahabat itu kembali ke jalan yang benar, doakan untuk sahabat itu. Usah dicanangkan ke seantero dunia keaiban sahabat walaupun dia sendiri sudah ‘melondehkan’ aibnya sendiri. Dan, kita sebagai sahabat jangan memburukkan lagi keadaan.
Kredit Foto: Google
Ada kalanya, ujian yang Allah turunkan ‘direct’ kepada umat Nya itu, adalah ujian kepada kita yang berada di sekeliling orang yang diuji itu juga. Allah datangkan dengan sahabat yang miskin, hina, berakhlak buruk dan sebagainya, untuk Allah melihat bagaimana mampu kita untuk membantunya?
Jika tak berdaya dibantu, adakah kita dibisik rasa sakit hati untuk menjaja pula keburukannya kepada orang lain yang tidak tahu-menahu? Maka, di situlah ujian secara tak langsung untuk melihat sejauh mana keikhlasan kita terhadap sahabat itu selama ini.
Apa pun, kembalilah kepada Allah yang satu. Jangan pernah berhenti mendoakan sahabat yang malang kerana Rasulullah sendiri tidak pernah berasa lelah dalam dakwahnya walau kepada sejahat-jahat manusia.
Maka, siapalah kita untuk menghukum seseorang itu atas alasan ‘jaga diri sendiri lebih baik’. Jika kita ada kelebihan yang Allah beri, suburkanlah ia dengan jalan kebaikan yang memberi manfaat kepada seisi alam. Insya Allah.
Must-Watch Video