Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Ada Yang Balik Kampung Kerana DIBERHENTIKAN Kerja,” – Kongsi Polis Bertugas. Kisah Realiti di Sebalik Road Block.

Afiza Kamarulzaman
30/05/2020 03:00 MYT


Dalam keadaan sekarang, kehidupan semakin sukar. Tidak semua mampu duduk rumah mematuhi arahan PKPB ini dengan tenang dan jiwa yang tenteram. Seperti yang kita maklum, banyak sektor terjejas, perniagaan ditutup dan secara tidak langsung ramai yang hilang pekerjaan. Ketika notis diberikan begitu singkat, bagaimanakah untuk mereka ini mencari ganti kerjanya?


Pendapatan terputus untuk bulan berikutnya tetapi hutang dan komitmen bulanan tetap berjalan seperti biasa. Perut harus terus diisi, apatah lagi bagi mereka yang menjadi punca pendapatan utama keluarga, lagilah bertimpa-timpa beban di bahu. Mahu berniaga? Dalam keadaan sekarang yang tidak menentu ini, tiada siapa sanggup mengambil risiko. Berapa ramai pula mampu bersaing membawa Grab atau menjadi rider menghantar makanan?



Kredit Foto: freemalaysiatoday.com



Kisah Realiti di Sebalik Sekatan Jalan

Seorang anggota polis yang tidak mahu dikenali berkongsi di laman sosial tentang kenyataan hidup kebanyakan rakyat kita hari ini. Ketika bertugas mengawal sekatan jalan di lebuh raya utama, beliau sempat menitipkan rasa simpati kepada individu-individu yang terpaksa juga merentas negeri untuk pulang ke kampung.


Mereka ini bukanlah sengaja mahu melanggar arahan PKPB untuk pulang beraya, sebaliknya ada antara mereka yang terpaksa berbuat demikian kerana tidak lagi punya punca pendapatan di ibu kota. Pulang ke kampung dilihat sebagai langkah terbaik dalam keadaan terdesak sekarang ini. Seperti kata kebanyakan orang, waktu susah, tempat paling baik adalah berada di samping keluarga yang pasti sudi menerima darah dagingnya sendiri walau dalam apa jua keadaan.



Kredit Foto: Google



Dua Bulan Menganggur, Kini Pulang ke Pangkuan Keluarga

Amir, 25, baru setahun berhijrah ke ibu kota, Kuala Lumpur dari kampungnya di Kuala Kedah. Namun, baru mahu berasa sedikit senang dan berdikari, tiba-tiba dua bulan lalu dia diberitahu oleh majikannya yang perkhidmatannya terpaksa ditamatkan dengan diberi pampasan dua bulan gaji. Pada mulanya, Amir cuba untuk bertahan dengan mencari kerja baru. Namun, setelah difikir-fikir, ia situasi yang sukar untuk diteruskan.


Makin hari, duit simpanan semakin susut. Sewa bilik dan ansuran motosikal harus dilunaskan seperti biasa. Itu belum dikira dengan kos keperluan harian, makan minum dan sebagainya. Apabila ibu dan ayah di kampung mengetahui keperitan yang sedang dilaluinya itu, mereka lantas menasihati Amir untuk pulang saja ke kampung. Bukan niat untuk menyusahkan orang tua, namun hanya ini pilihan yang Amir ada.


Maka, berbekalkan motosikalnya dan wang yang tinggal beberapa ratus, Amir mengambil keputusan untuk pulang ke kampung merentas negeri dengan beberapa sekatan jalan dilalui. Alhamdulillah, Amir mengemukakan surat pemberhentian kepada setiap polis yang bertugas menahannya di sekatan jalan. Syukurlah, perjalanannya dimudahkan sehingga sampai ke kampung halaman.

Kini, dia bertekad untuk memulakan hidup baru di kampungnya sahaja. Mahu mencuba perniagaan secara dalam talian di samping membantu ayah mengusahakan kebun yang tidak berapa besar itu. Namun, kata Amir pengalaman diberhentikan kerja tidak memutuskan semangatnya untuk berhijrah kembali ke Kuala Lumpur jika ada peluang yang lebih baik selepas ini.



Semoga Dimudahkan Urusan Semua Yang Terputus Rezeki

Hanya utusan doa yang mampu penulis berikan buat mereka yang terputus rezeki dek kehilangan kerja atau penutupan perniagaan. Inilah ujian Tuhan yang mahu melihat kekuatan dan kesabaran umat Nya. Percayalah, rezeki tidak pernah salah alamat dan tuannya. Allah juga berjanji tidak akan mengecewakan doa setiap umat Nya. Maka, jangan putus asa. Teruslah berusaha dan iktiar untuk mengubah masa depan diri dan keluarga.



Kredit Foto: Google
#Balik kampung #Sekatan jalan raya #Diberhentikan Kerja
;