Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Adab Ziarah Rumah Orang – Masuk Dalam Keadaan ‘Buta’ Dan Keluar Sebagai Seorang Yang ‘Bisu’

Huda Hussain
26/09/2020 14:03 MYT
Amalan berkunjung atau ziarah menziarahi sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat kita. Malah amat dianjurkan dalam ajaran agama kita. Didalamnya ada keberkatan tersendiri kerana apabila kita terus memanjangkan tali silaturahim sesama adik-beradik, ipar-duai, saudara-mara, jiran sekeliling dan sahabat handai maka takkan putus rezeki dan kesenangan yang akan Allah kurniakan. Sama ada yang jauh mahupun yang dekat, amalan berkunjung ke rumah ini tidak terhad semasa musim perayaan sahaja. Bahkan tiada limitasi. Tidak semestinya jika ada majlis atau acara tertentu sahaja kita akan pergi ke rumah adik-beradik kita kan? Walau hanya datang bertanya khabar sambil kemaskini perkembangan masing-masing menjadi budaya dalam kalangan kita. Bahkan ikatan kekeluargaan bertambah erat dan kukuh malah kasih sayang kian bercambah.

Kredit Foto: Google

Tetapi harus diingat, walau ke rumah adik-beradik sekalipun; sebagai seorang yang beragama Islam dan mementingkan tatasusila masyarakat Melayu, adab juga kesantunan perlu kita jaga. Apatah lagi kalau bertandang ke rumah rakan ataupun kenalan. Pastilah berganda tatatertib yang perlu kita fahami dan hormati.


Pasti anda pernah terbaca perumpamaan ini. ‘Apabila kalian masuk rumah seseorang jadilah kalian seorang yang buta dan apabila kalian keluar daripadanya maka jadilah kalian seorang yang bisu. Dalam erti kata lain ia bermaksud, apabila pergi ke rumah orang jangan tengok aib ahli rumah. Dan apabila keluar dari rumah itu, jangan pula kita cerita aib ahli di dalamnya.

Kredit Foto: Google

Buat-Buat Tak Nampak!

Jika anda seorang yang pembersih atau OCD, mungkin agak payah untuk buat-buat tak nampak atau butakan pandangan saat melihat itu dan ini. Sama ada berhabuk, berbau dan sebagainya; seboleh mungkin cubalah bertahan. ‘Puasa’ dan tahanlah sekejap nafsu yang menggalak untuk ‘membawang’ dengan pasangan atau ahli keluarga anda. Mungkin dalam hati mula terdetik, “Aku tak bolehlah rumah dia ni. Dah la kain baju berlonggok, tak reti nak lipat pula. Mainan anak dibiar bersepah. Nasiblah pakai stoking, lantai pun dah lama tak mop agaknya.”
Tapi mungkin susah kan? Tidak mengapa, cuba sahaja okey. Kita perlu akur dan faham, tidak semua orang boleh mengikut cara dan stail kita dalam menguruskan rumahtangga. Walaupun ia sesuatu yang bersifat ke arah kebaikan, kebersihan dan seumpama dengannya namun masing-masing ada cara tersendiri. Kalau mahu menegur sekalipun, biarlah beralas tanpa menjatuhkan air muka tuan rumah.


Dan bagi anda yang kurang mahir dalam soal mengatur rumahtangga, jika berkunjung ke rumah mereka yang OCD ini ambillah peluang untuk belajar. Lihat bagaimana tuan rumah menyusun atur kelengkapan rumah, mengemas dan memastikan segala terletak cantik dan rapi. Benda baik, takkanlah tak mahu belajar kan? Kerana ia bermanfaat untuk dilakukan, jadi tiada salahnya kalau anda ikut. Kebersihan itu juga sebahagian daripada ajaran Islam. Maka dengan itu, tiada sebab mengapa anda perlu hidup dalam keadaan yang tidak teratur, kotor dan sebagainya. Ubah tabiat dan gaya hidup ke arah yang lebih baik demi kebaikan seisi keluarga.

Kredit Foto: Google

Bisukan Mulut Tu!

Janganlah pula apabila keluar dari rumah rakan misalnya, masuk sahaja dalam kereta mulalah anda dan pasangan bertukar cerita. “You ada bau something tak tadi masa kat meja makan tu? I rasa macam bau kencing kucing aje. Eyyy memang tak lalu nak jamah bihun goreng yang dia masak tu” hurai si isteri. Tambah si suami pula, “Sebab memang tak tahan sangat tadi, tu yang I minta izin pergi tandas. Alahai… lantai dengan dinding punyalah kuning. Macam rumah orang tak duduk. Memang geli-geleman nak pijak. Tapi sebab tak tahan sangat dah, I cepat-cepat aje buang air. Kembang tengkuk rasa.”


Walaupun ia benar dan berdasarkan pengalaman anda sendiri, tetapi biarlah hanya anda dan pasangan juga tuan rumah sahaja yang tahu. Tidak perlu dijaja cerita hingga rakan anda yang lain pun tahu. Itu sudah dikira membuka aib tuan rumah. Tak baik! Waima apa jua yang berlaku saat anda berada di rumahnya, biarlah habis setakat itu sahaja. Yang buruk dan kurang jadikan sebagai pengajaran agar anda dapat mengambil iktibar daripadanya. Daripada niat mahu memanjangkan silaturahim, jatuh hukum berdosa pula dek kerana mengumpat dan sebagainya.

Kredit Foto: Google
#Adab #Tetamu #Tuan Rumah
;