Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Adakah Anda Alami Penyakit Mental ‘Hoarding Disorder’? 6 Tips Ini Bantu Anda Elakkan Sayang Buang Barang.

Huda Hussain
23/07/2020 15:48 MYT
“Eh jangan buang tu. Sayang! Elok lagi, simpan aje. Mak beli ni guna duit ‘kutu’ dulu masa mula kahwin. Kau pun belum lahir lagi” atau “Boleh guna lagi ni. Dulu arwah abah beli masa nak masuk rumah ni. Hantar kedai pergi repair, boleh guna balik”. Mungkin itu antara bait skrip yang lazim kita dengar apabila mahu mengemas rumah. Lebih-lebih lagi apabila tiba musim perayaan. Hajat di hati mahu mengemas segala khazanah lama yang sudah tidak digunakan lagi. Kalaupun digunakan, pastilah ia tidak dibiarkan simpan dalam almari, bawah katil, atas almari dan merata ceruk tempat lagi kan?


Kredit Foto: Google
  1. Sayang Biarlah Bertempat
Bagi kita apalah sangat set pinggan mangkuk yang sumbing mahupun retak. Piring cawan sudah tiada ‘pasangannya’ ataupun penutup teko sudah hilang. Tetapi bagi emak mahupun nenek kita ia adalah sesuatu yang cukup berharga lagi bermakna. Bukan soal pinggan mangkuk, itu belum dikira perihal kain baju yang sudah berzaman ‘tok nadok’. “Ni selendang kahwin mak pakai kahwin dulu. Nanti kau kahwin pakai ni” Walhal warnya sudah mulai kuning. Dan kalau dibasuh sekalipun belum tentu hilang kekuningan atau karat yang melekat padanya. Alahai emak, kalaupun sayang biarlah bertempat. Banyak perkara lagi yang perlu kita sayang dan ambil berat.
  1. Anggap Barang Itu Sudah Sampai Masa ‘Bertukar Milik’
Sama ada dibuang ataupun jika masih dalam keadaan baik eloklah sedekahkan sahaja kepada mereka yang memerlukan. Dapat juga pahala kalau kita beri barang yang masih elok untuk kegunaan orang lain. Sudah bukan masanya lagi untuk kita terus menyimpannya. Kalau simpan dan guna tak mengapa juga. Ini sudahlah tidak digunakan, dibiarkan pula terperap dalam beg plastik hinggakan beg plastik juga sudah hancur.


Kredit Foto: Google
  1. Jangan Malas Dan Jangan Bertangguh!
Janganlah asyik-asyik tunggu bila ada masa atau sememangnya malas untuk mengemas. Asingkan segala barang yang tidak lagi digunakan. Lakukan secara berperingkat. Misalnya mulakan dengan bilik. Segala buku-buku yang tidak lagi digunakan boleh dijual atau dikitar semula. Begitu juga dengan pakaian, sama ada dibuang atau jika elok bolehlah disumbangkan kepada mereka yang memerlukan. Setelah selesai dibilik, teruskan pula mengemas dapur dan bongkarlah segala isi perut kabinet, laci dan almari. Segala peralatan dan perkakas dapur yang sudah rosak atau tidak lagi digunakan, pejam mata dan buang sahaja.
  1. Beringatlah Ketika Membeli-Belah
Kalau sudah punya kesedaran awal ‘di mana mahu meletakkan segala barang yang dibeli’ amatlah baik. Usah terikut-ikut dengan nafsu dan bisikan halus itu! Hahaha. Kalau masih mahu beli, pastikan yang lama dan sudah tidak digunakan itu beri sahaja kepada yang memerlukan. Janganlah kedekut pula! Dan jujur pada diri sendiri.


Kredit Foto: Google
  1. Kebersihan Itu Juga Tuntutan Agama
Siapalah yang tidak suka melihat suasana rumah yang kemas dan tersusun rapi kan? Terbentang luas pemandangan (walaupun ruang tidaklah sebesar mana) dan sekali gus tenang hati kala sampai ke rumah melihat segenap ruang kemas dan bersih. Kerana kebersihan dan kekemasan itu juga dituntut dalam Islam.
  1. Hoarding Disorder
Penghidap biasanya akan mengalami kesukaran untuk membuang, menjual atau melepaskan apa jua barang miliknya, walaupun barang tersebut sudah hilang nilai kegunaannya. Mungkin ada yang menganggap ini sebagai sentimental value, tetapi itu hanya sebagai permulaan. Keadaan semakin teruk adalah apabila dikategorikan sebagai Disorder. Apa yang lebih rumit adalah penghidapnya tidak melihat penyakit ini sebagai satu masalah, malah sebagai satu perkara normal. Bagaimana mahu merawatnya? Bawalah mereka berjumpa pakar, iaitu Psikiatri atau Psikologis mahupun Terapis yang bertauliah.
#Hoarding Disorder #Masalah Mental
;