Highlights
ADIK-BERADIK – Kenapa Dulu Boleh Duduk Elok Bersama? Lepas Dah Besar, Masing-Masing Bagaikan Musuh!
Banyak berlaku dalam masyarakat. Cerita hal keluarga yang bermasam muka, bergaduh, bertikam-lidah sehingga ada yang sampai membawa ke kes mahkamah. Ada yang bertahun-tahun tidak bertegur sapa, hingga membawa diri langsung tak kembali. Demi sebuah ego ramai yang memilih untuk terus bermusuh dengan darah daging sendiri hingga kenduri-kendara langsung tak nampak muka. Ada yang lebih menyayat hati, ketika mati pun ikatan terus terputus tanpa sempat bermaafan.
Orang kata, kalau gaduh orang luar fahamlah juga. Namun, kenapa dengan adik-beradik sendiri yang berkongsi rahim ibu yang sama, yang dulu pernah duduk serumah malah sebilik, yang kita sudah kenal sejak kecil, apabila bergaduh membawa sengketa bertahun lama. Kasihan melihat wajah Ayah yang termenung mengenangkan anak-anak yang dulunya berkongsi motor dibawa ke sekolah berjalan sana-sini, kini tidak lagi mahu bertegur-sapa, apatah lagi diajak berkumpul. Masing-masing dengan helah dan mahu memenangkan diri sendiri.
Betapa pedih hati si Ibu mengenangkan anak-anak yang dilahirkan dan dibesarkan bersama-sama di rumah itu akhirnya bertebaran membawa diri. Tidak mahu lagi duduk sekali, apatah lagi bertanya khabar si kakak, abang dan adik. Dek sikap masing-masing yang mahu menang, maka ibu dan ayah menjadi mangsa. Duduklah sendirian di rumah mengenangkan satu-satu kenangan di rumah yang dulunya dipenuhi gelak tawa anak-anak. Tumpah air mata ibu apabila anak-anak pulang ke rumah bagaikan pencuri. Ragu-ragu dan lekas-lekas keluar andai adik yang seorang lagi khabarnya mahu datang.
Puas Ayah merayu agar anak-anak bersatu. Dibuatkan majlis kenduri, masing-masing tidak mahu hadir kalau yang itu ada. Dirancang percutian bersama, tiada seorang pun yang menyambut cadangan si Ayah. Dalam Whatsapp group hanya tinggah Ayah dan Ibu juga si adik yang tiada pertelingkahan. Yang lain semuanya ‘left’. Maka, hilanglah pemuafakatan keluarga. Betapa hancur hati ayah dan ibu. Betapa rindunya mereka mahu melihatkan telatah Along menyakat Angah. Angah mencubit Acik. Acik membuli si Adik. Kemudian, malamnya masing-masing kembali bersatu mengadap rezeki menjamah air tangan masakan ibu.
Di mana hati anak-anak? Di mana kenangan yang kalian cipta bersama sejak kecil? Saat kalian berkongsi mainan, bergurau-senda? Menangis dan saling memujuk apabila ibu dan ayah mendenda? Langsung tidak adakah ingatan itu semua di hati anak-anak? Benci sangatkah kepada adik-beradik sendiri sehingga kamu putuskan hubungan silaturahim itu? Besar sangatkah kehidupan dan darjat kamu hari ini sehingga kamu tidak perlukan lagi keluarga ini? Tergamak sungguh kamu membuang insan-insan ini yang pernah menjadi sejarah hidupmu.
Kredit Foto: Google
10 Pesanan Buat Adik-Beradik:
- Saratkanlah kasih-sayang dalam hati kepada sesama ahli keluarga kerana hubungan itu kekal dunia akhirat. Dan, ia juga menjadi aset kita di sana nanti.
- Amalkan hormat-menghormati kalangan adik-beradik. Jangan ada sikap aku lebih hebat dalam keluarga kerana kamu mungkin hebat di luar tetapi kala bersama ayah ibu dan adik-beradik, letakkanlah diri kamu setara mereka.
- Bantulah adik-beradik terlebih dahulu sebelum membantu orang luar. Tanyakan khabar dan ambil tahu kalangan mereka yang kurang berkemampuan.
- Ikhlaskan hati setelah membantu. Jangan lagi diingat atau diungkit. Kalau mereka lupa budi, pujuklah hati untuk tidak membangkitkannya.
- Jangan ambil kesempatan atas kelemahan atau kebaika adik-beradik yang mungkin lurus dan terlalu baik.
- Jangan bersikap pentingkan diri. Sama-sama membantu dan bersusah-senang bersama walau sudah punya keluarga sendiri. Amalkan sikap bertolak-asnur terutamanya yang melibatkan hal ehawal ibu dan ayah.
- Jaga tutur kata terutamanya kepada ipar duai yang baru masuk ke dalam keluargamu. Komunikasi berkesan penting untuk membolehkan mesej yang ingin disampaikan tidak disalah erti.
- Ringankan mulut untuk selalu bertanya khabar walau sesibuk mana pun urusan hidup itu. Tidak dapat menjenguk, menelefon pun sudah memadai.
- Jangan tinggalkan adik-beradik dalam setiap doa yang dititipkan kepada Allah swt.
- Pililhlah pasangan yang kamu yakin mampu menerima keluargamu seadanya. Terdapat banyak kes keluarga berpecah-belah disebakan hasutan pasangan. Menangilah hati keduanya.
Must-Watch Video