Isu-isu semasa yang tular dan menjadi bualan hangat netizen semenjak kebelakangan ini sewajarnya kita jadikan iktibar dan pengajaran.


memetik beberapa kisah masyarakat yang mendapat perhatian, bukan semua yang viral itu punya kandungan yang bagus untuk diikuti. Sebaliknya membuka mata dan minda kita agar lebih peka, prihatin dan memperbaiki nilai-nilai kehidupan yang semakin terhakis dan terkubur dalam arus kemodenan.





Isu Dalaman Pasangan Suami Isteri Youtuber Masakan

Mengambil contoh isu dalaman keluarga YouTuber masakan terkenal, Sugu Pavithra yang sebelum ini kita sangkakan gembira melayani keluarganya; namun terpalit juga dek isu kekeluargaan.

Apabila mengecap populariti hasil usaha dan titik peluh sendiri, ia ‘diragut’ pula dengan isu pinjam meminjam sesama ahli keluarga hingga membawa kepada masalah mereka suami isteri.

Adat manusia, apabila mula dikenali, dilimpahi nikmat rezeki dan sedikit wang ringgit; maka ramailah yang datang menghimpit. Yang jauh mula mengaku saudara, yang dekat pula mungkin ada yang sudah meminta-minta.

Tentang bagaimana survival dan ikhtiar untuk keluar daripada kepompong kemiskinan telah membangkitkan pelbagai perasaan kepada mata yang melihat. Sudah-sudahlah menangguk di air keruh.

Bangun dan terus berjuang memperbaiki semula apa yang kurang, lemah dan sebagainya. Kerana hakikatnya rezeki tidak datang bergolek. Semuanya perlukan usaha sendiri.






Digelar Gold Digger, Homewrecker Pada Usia 19 Tahun

Betapa hebatnya Jabatan Netizen melakukan segala kerja hingga pelbagai maklumat yang tidak pernah kita jangka dibaca satu persatu sambil menggelengkan kepala.

Dikatakan menjadi orang ketiga dalam rumahtangga pasangan ahli perniagaan Mahathir Mohd dan isteri Penny Salman terus mencuri tumpuan. Ramai yang sukar menerima permohonan maaf daripada Alya Iman, pelakon yang baru mengukir nama dalam bidang lakonan.

Apa jua foto mahupun kapsyen yang dimuat naiknya di laman sosial terus menjadi gelanggang perdebatan dan hujah-hujah netizen. Apa yang telah berlaku, sudahpun terjadi.

Pepatah sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua dan kalau bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi tetap relevan sampai bila-bila. Ambillah pelajaran untuk dijadikan pedoman. Yang baik jadikan tauladan, yang buruk jadikan sempadan.

Antara pengajarannya disini adalah gunakan kelebihan atau bakat yang dianugerahkan Allah ke jalan yang betul.

Tiada istilah jalan singkat untuk berjaya. Kalau mahu mengecap kekayaan sekalipun, biarlah ia diusahakan sendiri, hasil titik peluh sendiri tanpa mengharapkan bantuan mahupun menumpang kekayaan sesiapa.

Hargai maruah diri dan nilai sehelai tudung yang menutup kepala dan rambut. Dan buat para suami, bersyukur, hargai pengorbanan, kesetiaan dan segala yang dicurahkan isteri.

Renung dalam-dalam, lihat apa yang telah dikorbankan isteri selama kalian sah bergelar suami isteri. Apa jua isu berbangkit sesama kalian sewajarnya diselesaikan dengan cara yang matang.






Timbul Lagi Isu Penunggang Agama

Kerana gelaran Imam Muda, PU, Da’i mahupun Ustaz itu bukan maksum sifatnya maka tercetus semula isu ini. Bagaikan mendidih telinga dan berbinar mata yang membaca apabila dikatakan Imam Muda Syed Faris layanan isteri kedua lebih hebat.

Sedangkan bekas isteri yang sudah dinikahi selama 13 tahun telah menyempurnakan tanggungjawabnya melahirkan lima anak yang berusia lingkungan lapan hingga 12 tahun.

Itu belum termasuk empat cahaya mata yang meninggal dunia kerana keguguran ketika hamil. Allahu… Kelu rasanya mencari kata-kata tentang betapa mudahnya godaan nafsu syaitan dan tipisnya nilai iman dalam diri seseorang yang dikatakan punya ilmu agama.

Ke sana sini menyampaikan dakwah dan ilmu warisan para anbia dan ajaran Allah SWT tetapi sudahnya tidak dipraktikkan dalam kehidupan sendiri. Dan sekali lagi, orang ramai mula mempertikai harga sekeping kopiah mahupun songkok dan serban yang sinonim dengan imej golongan ini.

Hingga timbul dakwaan seolah-olah mempermainkan ilmu agama demi kepentingan sendiri. Selepas kecoh dengan isu rumahtangga Da’i Farhan bersama isteri auranya ke-19, juga sebelum itu kita dihidangkan dengan kontroversi PU Abu Sufyan yang berkahwin lain ketika isteri sarat hamil.

Dan entah giliran siapa pula selepas ini yang kita akan baca kisah rumahtangga mereka di semua platform media sosial. Sungguh, bukan calang-calang hebat ujian dan dugaan bagi mereka yang menempuh alam rumahtangga. Tetapi perlu ada persefahaman, tolak ansur dan kejujuran sesama sendiri.





Isteri Maut Di Tangan Suami

Seorang wanita yang juga pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ditemui mati dengan lehernya dijerut dengan tudung dipercayai angkara perbuatan suami sendiri.

Lebih memilukan, si ayah turut membawa si anak ke tempat kejadian kononnya dengan alasan untuk mencari ibunya. Kes kini disiasat polis dan menunggu masa untuk membawa suspek yakni si suami ke muka pengadilan.

Bayangkan bagaimana perasaan si anak apabila mengetahui ibu dibunuh oleh bapa sendiri? Selama mana si anak perlu menanggung derita, trauma dan diselubungi ketakutan ketika seluruh negara mengetahui berita mengejutkan ini?

Allahu, tidak tergambar bagaimana si anak harus melaluinya. Sudahlah hilang tempat bermanja, yang diharapkan untuk membimbing dan melindungi pula dilabel sebagai pembunuh.

Hanya doa sahaja yang mampu dititipkan dari jauh. Agar si anak yang baru berusia 14 tahun ini kekal tabah, reda dan cekal menempuh apa jua yang mendatang. Mohon Allah memberinya kekuatan dan perlindungan.






Dunia Dan Pandemik Covid-19

Tidak pasti bila penamatnya. Pandemik Covid-19 kini telah meragut jutaan nyawa masyarakat di seluruh pelusuk dunia. Bermula dari China, ia kini telah merebak lebih 100 buah negara.

Ada negara yang sedang bergelut dengan gelombang kedua dan ketiga susulan tindakan kerajaan masing-masing memberi kelonggaran dalam beberapa perkara.

Namun ia disalah erti dan rakyat semakin alpa dengan tanggungjawab masing-masing. Begitu juga yang berlaku di Malaysia. Kes positif semakin meningkat seiring dengan penambahan kluster baharu.

Peringatan demi peringatan terus diberi supaya masyarakat dapat mengadaptasi rutin harian dengan norma baharu.





Talian Hayat Yang Ada

Asas Didikan Agama

Bagi yang beragama Islam, tiada yang lebih bermakna dan berharga melainkan pegangan agama yang harus sebati dalam jiwa dan nurani. Halal dan haram, dosa dan pahala sewajarnya sudah mampu dibezakan.

Walau apa jua yang berlaku sekalipun, berbaliklah semula kepada ajaran agama kita. Ilmu dan pegangan inilah yang menjadi benteng paling kukuh untuk mengekang segala hawa nafsu dan godaan yang membara saat kita dilanda kekusutan dan kekeliruan.

Kerana syaitan dan iblis akan bersorak gembira andai kita terus hanyut mengikut bisikan mereka. Kukuhkan iman dengan tingkatkan pengetahuan dalam ilmu agama. Sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri dan menjadi insan yang lebih baik dari hari ke hari.





Eratkan Kasih Sayang Dalam Keluarga

Peranan ibu bapa amat penting dalam hal ini. Institusi kekeluargaan adalah tunjang dan nadi dalam segenap segi. Jika baik acuannya, maka baik jugalah hasilnya.

Walau secanggih manapun peralihan zaman dan bersilih gantinya teknologi, tanggungjawab ibu bapa tetap sama. Bahkan mungkin lebih dan bertambah cabarannya.

Selalu berkomunikasi dengan anak-anak, ambil tahu dan peka dengan segala perubahan mereka. Ya, ia bukan satu tugas mudah. Tetapi mahua tau tidak inilah yang perlu dilakukan.

Dan bagi anak-anak pula, jangan sesekali membelakangi ibu bapa. Hormati mereka selagi hayat masih ada. Doa ibu bapa tiada hijabnya. Kita berjaya hari ini bukan semata-mata kerana usaha sendiri, tetapi berkat restu dan doa mereka. Berbaktilah kepada mereka.