Sejak semalam, hangat diperdebatkan perihal selebriti yang membatalkan sesi vaksinasinya semata-mata tidak diberikan jenis vaksin yang dimahunya iaitu Pfizer. Saya percaya bukan hanya artis ini, terdapat ramai lagi orang kita yang masih bersikap memilih vaksin sehingga sanggup tidak dicucuk semata-mata mahukan apa yang mereka ‘percayai’ itu.


Dalam sesi live suami Nora Danish, Bossned sebentar tadi, saya sempat meninjau sesi santainya melayan pertanyaan-pertanyaan pengikutnya. Antara yang menarik perhatian ialah soalan netizen tentang apakah jenis vaksin yang diambil Nora yang kebetulan baru divaksin tadi?


Tanpa berselindung, Bossned menjawab, “Aku ambil AZ (Astra Zeneca), Nora ambil Sinovac. Ada apa masalahnya dengan pilih-pilih vaksin ni? Korang berangan, korang bawa Ferrari Ke? Lamborghini ke? Sama je kan macam aku? Apa yang nak ‘feeling’ sangat?”


Bossned juga mengakui rata-rata keluarganya mengambil Sinovac kecuali ibunya yang sudah dari awal ketibaan Pfizer di Malaysia sudah mendaftar sebagai pemohon. Jadi ujarnya lagi jangan mudah terpedaya dengan mitos dan fitnah di luar sana tentang sesetengah vaksin kerana dia percaya satu hari nanti semua vaksin ini akan diiktiraf satu dunia, cuma mungkin faktor politik yang menyebabkan adanya pertelagahan pendapat buat masa ini.


Lucunya, Nora yang kebetulan berada di sisi suaminya mencelah, “kalau datang muka Nora, lepas cucuk jadi Jlo tak apalah, Nora pun nak pilih. Hahaha...” Tambah Bossned, “kalau datang bawa beg Guess, keluar dapat Hermes okeylah!”


A post shared by naOradaishi (@noradanish)





Jumlah Suntikan Harian Vaksin COVID-19


Setakat 4 Julai 2021, rekod mencatatkan jumlah suntikan harian vaksin Covid-19 adalah 206,015 dos. Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Baksin COVID-19 (JKJAV) menerusi perkongsian di Twitter memaklumkan, daripada jumlah itu, 127,385 adalah penerima dos pertama. Manakala 78,630 adalah penerima dos kedua.


Ini menjadikan jumlah kumulatif di negara ini adalah lebih 9 juta sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bermula 24 Februari lalu. Lebih 6.38 juta dos atau 19.6 peratus bagi suntikan pertama manakala 2.61 juta dos atau 8 peratus untuk suntikan kedua telah diberikan.

Perkembangan ini semakin menghampiri nilai ambang 10 peratus untuk peralihan ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara. Namun, jangkaan sasaran melebih 300,000 dos suntikan harian bermula Julai masih belum terlaksana.


Dalam pada itu, data yang dikongsikan turut menunjukkan penduduk Kuala Lumpur kekal mencatat kadar penerima dos pertama yang tertinggi dengan 1.15 juta individu atau 65.1 peratus daripada populasinya.


Ia disusuli Sarawak (1.19/42.5 peratus), Putrajaya (43,712/39.7 peratus), Labuan (36,813/37 peratus), Perlis (69,377/27.2 peratus), Pulau Pinang (328,696/18.5 peratus) dan Negeri Sembilan (203,895/18.1 peratus).