Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Alang-Alang… Bahaya Juga Kalau Ikut Frasa Ni Kalau Tak Ukur Baju Di Badan Sendiri. Sudahnya Yang Merana?...

Huda Hussain
23/09/2021 04:52 MYT
Melihat kepada gaya hidup zaman sekarang, tidak dinafikan ada sebilangan daripada masyarakat kita yang mudah terikut-ikut. Terlalu terpengaruh dengan apa yang viral, keinginan yang tinggi nak mencuba apa yang dilihat di media sosial dan banyak lagi. Hinggakan ada yang merasakan tak lengkap atau tak sempurna selagi tak mencuba. Itu baru bab terikut-ikut dengan gaya hidup orang. Belum lagi bila diracun dengan frasa alang-alang.

“Alah, bukan mahal sangat pun. Kalau kau kira balik lebih kurang je sebenarnya” kata si fulan kepada rakannya yang sibuk mencongak, darab, bahagi dan tolak nak beli iPhone 13 atau android. Pada padangan rakaannya, biar beli yang berkuali dan mahal sedikit asalkan tak kerap telefon bimbit rosak, itu dan ini.

Kredit Foto: Google


Sedangkan si hamba Allah ini sudah pening kepala mana lagi nak 'cekau' duit. Ya, ada kalanya memikirkan kualiti, ada yang sanggup bergolok gadai. Dengan alasan tak apalah, bukan selalu. Sedangkan yang akan menanggung semua hutang piutang, segala jenis bil dan macam-macam adalah tuan empunya badan.

Pernah penulis terbaca, dalam waktu sukar sekarang jika boleh elakkan membeli apa jua yang dirasakan tidak perlu. Jika tidak mendesak atau masih boleh dipakai, maka gunakanlah. Contoh mudah, telefon bimbit. Selagi boleh menelefon dan menerima panggilan, boleh menghantar kiriman WhatsApp dan aplikasi utama yang lain maka gunakanlah.

Kredit Foto: Google


Ada kebenarannya kerana tak perlu terikut-ikut dengan pandangan orang dan gaya hidup zaman sekarang. Sangka kita, benda yang mahal itu bermutu dan tinggi kualitinya. Walau secara umumnya, ya memang begitu jaminannya. Tetapi keadaan tidak selalunya begitu.

Ramai rakan-rakan kita suka beri nasihat seperti ini. Antaranya ‘Alang-alang beli myvi, baik beli honda jazz. Alang-alang beli flat, baik beli apartment. Alang-alang beli samsung, baik beli iPhone. Alang-alang gaji naik, baik makan mahal sikit, bila lagi nak self reward?.’

Kredit Foto: Google


Dan kita pula apabila mendengar nasihat mereka mulalah mudah goyah. Sebelah hati kata tak apalah boleh aje. Ikut saja supaya lebih dipandang tinggi dan orang nampak keberadaan kita di mata mereka. Dan sebahagian lagi berat pula nak tanggung semua.

Dan ketahuilah saat kita mendengar seraya mengikuti saranan mereka, kita telah hidup di mata orang. Dan ia hidup yang menyakitkan. Apabila kita menerima nasihat mereka, secara tak sedar kita akan mula rasa sesak dan sempit. Dompet mula ringan. Bilangan kosong dalam akaun semakin lama semakin sedikit. Dan mulalah hidup kita tak tentu arah.

Penting untuk kita ukur baju di badan sendiri. Kita sendiri yang lebih maklum aliran keluar dan masuk juga sejauh mana kuatnya iman kita untuk menahan diri, ‘berpuasa’ daripada membeli segala yang diingini dan sebagainya. Tak semua frasa alang-alang boleh diterima pakai dalam kamus hidup seseorang. Beringatlah ya!
#Gaya Hidup #Kewangan
;