gaya hidup
Alangkah Seronoknya Kalau Dapat SETTLE DOWN Awal, Lalui Hidup Biasa-Biasa di Rumah Terpencil, Tenang...
Makin kita meningkat usia, makin terasa letihnya melalui pancaroba hidup. Bukan mengalah atau bersikap negatif, cuma ada kala kita perlu mengurangkan pecutan duniawi dan kembali muhasabah diri, melihat ke akar umbi. Mencari kembali diri yang hilang dalam pergelutan mengejar kepuasan diri.
Ada yang kata akan tiba masa untuk kita ‘settle down’, maksudnya ketika sampai tempoh ‘berpencen’. Namun, terfikir juga saya kalau mahu menunggu waktu berpencen, waktu itu umur kita sudah mencecah pertengah 50 tahun. Dan, kalau dikira logik pada ajak kehidupan ini, berapa lama agaknya sisa waktu dipinjam Tuhan selepas itu?
Katakanlah kita dijemput ajal pada usia 70 tahun, kita hanya mampu menikmati hidup santai itu tidak lebih 20 tahun. Apakah rasanya cukup untuk kita membayar kepenatan bekerja sewaktu muda dulu dan paling penting adakah cukup masa untuk kita ‘pulun’ membuat amal ibadat yang mungkin kita keciciran ketika usia muda dulu?
Justeru, saya selalu terfikir alangkah bagusnya kalau saya dan suami dapat menyelesaikan semua urusan duniawi ini awal daripada usia ‘pencen’ yang selalu disebut-sebutkan orang itu? Ada yang tanya selesai urusan duniawi itu bagaimana? Adakah berhenti kerja dan menghabiskan duit simpana sahaja?
Ironinya, mungkin begitu. Tetapi ada banyak lagi komitmen besar lain yang perlu diperhalusi untuk kita mampu hidup tenang dan santai pada usia lebih awal daripada umur pencen. Lebih penting untuk kita punya lebih masa menumpukan bekalan di sana nanti.
Apa Yang Ingin Dilakukan Selepas ‘Settle Down’?
- Memiliki wang simpanan yang mencukupi untuk bekalan hari tua dan kecemasan
- Mampu berhenti kerja makan gaji dan bertukar kepada pekerjaan sendiri atau perniagan kecil-kecilan mengikut kesesuaian waktu kerja kita
- Berpindah ke rumah yang jauh dari hiruk-pikuk kebingitan kota, suasananya lebih damai, dengan udara yang bersih dan dikelilingi kehijauan
- Dapat selesaikan hutang-piutang dan mengurangkan komitmen
- Anak-anak semakin membesar dan sudah boleh berdikari walaupun mungkin ada yang masih bersekolah, tapi semuanya mampu diuruskan dengan baik
- Lebih banyak masa berkualiti bersama pasangan dan keluarga
- Berkesempatan untuk bersosial dengan teman-teman baik dan jirann tetangga
- Beriadah dan bersantai melapangkan minda, bercucuk-tanam setiap pagi tentunya sesuatu yang hebat
- Menumpukan lebih banyak masa untuk amal ibadat dan kelas-kelas usrah serta menyertai aktiviti amal
- Minda sentiasa tenang dan positif tanpa perlu memikirkan bebanan kerja atau masalah orang lain
- Kehidupan ala kadar dan biasa-biasa, tidak perlu bersaing atau memikirkan untuk membuatkan orang lain teruja dengan kita
- Kita dapat buat apa yang kita suka dan bukan orang lain suka
- Tidak perlu lagi menjalani kehiduna yang semak, kelam-kabut dan kusut seperti mengejar waktu yang tak pernah tamat
*Kredit Foto: Google
Lakukan Persiapan Awal, Mulakan Sekarang
- Bekerja sekerasnya seawal usia mudamu
- Berjimat dalam menguruskan kewangan. Dulukan keperluan barulah kehendak.
- Lakukan simpanan tetap seawal usia.
- Perbetulkan prinsip hidup ‘muda hanya sekali’ kerana tua juga datangnya sekali atau mungkin tak sempat dikecapi. Jadi, utamakan persiapan waktu tua
- Jika mampu untuk kurangkan komitmen hutang, uruslah dengan bijak agak kamu tidak perlu menjadi hamba hutang selama-lamanya
- Jika kamu sejenis yang susah untuk melakukan simpanan, belilah aset yang mempunyai harga untuk dijual semula kelak seperti rumah, tanah
- Bincang dengan pasangan akan matlamatmu itu supaya suami isteri sama-sama sedar untuk menuju objektif kehidupan yang sama
- Jaga kesihatan! Inilah aset paling penting tidak kira ketika tua atau mudamu
- Belajarlah untuk menikmati kehidupan yang lebih positif dan perlahan-lahan tinggalkan aktiviti yang lagha, juga mereka yang mengheretmu ke kancah yang tidak baik untuk memudahkan kamu berhijrah
- Selalulah berdoa kepada Tuhan agar impianmu dimakbulkan tepat pada masanya
Must-Watch Video