Alhamdulillah, Tahniah Nora Danish! Air Mata Kesyukuran Iringi Khatam Al-Quran Malam-Malam Terakhir Ramadan
Huda Hussain
14/05/2020
|
15:25 MYT
Hendak seribu daya, tak mahu seribu dalihnya. Mungkin itu pepatah sesuai menggambarkan kesungguhan dan iltizam selebriti terkenal Nora Danish dalam perjalanannya khatam Al-Quran. Tentang bagaimana usahanya mahu merealisasikan impian ini tertunai jua. Berkat ketekunan, kesabaran dan doa daripada insan tersayang turut sama membantunya. Lihat saja titisan air mata kesyukuran yang mengalir pada wajahnya secara tidak langsung membuatkan kita yang menonton turut rasa syahdu. Allahu, manis bukan?
Dan apa yang membuatkan ia lebih bermakna adalah nawaitu Nora yang menyedekahkan pahala khatam Al-Quran ini kepada Allahyarham bapanya. Moga apa yang dihajatkan itu dapat Allah kabulkan. Lantaran itu, berbekalkan pengaruh yang ada pastinya ia paling tidakpun menunjukkan contoh terbaik dan membangkitkan semangat pengikut selebriti ini untuk berbuat perkara sama. Syukur, semoga apa jua kebaikan yang dilakukan barisan selebriti kita menjadi ikutan dan sumber inspirasi buat kita semua.
Ingin khatam sekurang-kurangnya sekali pada ramadhan ini? Tips pertama, bermula seawal mungkin. Jika anda berniat untuk khatam Alquran sekuarang-kurangnya sekali pada Ramadhan kali ni, cadangan kami mula dari hari pertama lagi! Jika di luar bulan Ramadhan kita sudah membiasakan diri dengan tadarus Al-Quran, seharusnya tidak sukar untuk kita meneruskannya pada bulan Ramadhan. Seterusnya bagi kaum wanita, usah lupa buat perkiraan sekali hari-hari yang anda tidak dapat bertadarus kerana haid. Jika kelaziman anda haid seminggu, ini bermakna anda hanya mempunyai 22 hingga 23 hari untuk bertadarus Al-Quran.
Letakkan Target Sesuai Dengan Diri Sendiri
Letakkan sasaran harian. Susun jadual bacaan Al-Quran anda. Bilakah waktu yang anda dapat meluangkan masa untuk bertadarus membaca Al-Quran? Sasaran harian tersebut boleh dibahagikan kepada beberapa waktu mengikut kesesuaian peribadi. Mungkin ada yang selesa bertadarus selepas setiap kali selesai solat fardhu. Mungkin ada yang hanya mampu membaca selepas solat terawih. Ada juga yang mampu habiskan sehingga dua juzuk setiap kali sesi bacaan. Setiap orang ada kelapangan waktu tersendiri. Susun dan letak sasaran bacaan yang sesuai dengan diri sendiri.
Kredit Foto: Google
Sediakan Waktu Khusus Untuk Baca Al-Quran
Tiada masa? Ini masalah biasa kebayakan daripada kita. Masa memang tidak akan ada jika kita tidak meluangkan masa. Atur masa sebaiknya. Seeloknya luangkan masa khusus untuk membaca Al-Quran. Sediakan waktu khusus untuk bertilawah. Kebiasannya kita memerlukan dalam 30 hingga 40 minit untuk mengkhatamkan satu juzuk Al-Quran. Ingin khatam lebih daripada sekali pada Ramadan kali ini? Luangkan masa yang lebih lama dan panjang. Atur masa sebaiknya!
Manfaatkan Waktu Sebaiknya
Sehari kita ada 24 jam. Berapa lama kita sudi luangkan dengan membaca Al-Quran. Sempena Ramadan ini, kurangkan berbual perkara yang sia-sia. Bagi yang sudah biasa bertadarus, biasanya memerlukan 30 hingga 40 minit untuk menghabiskan bacaan satu juzuk Al-Quran. Jika kita letakkan sasaran untuk habiskan tiga juzuk sehari, maka kita hanya memerlukan dua jam untuk membaca Al-Quran. Ya, cuma dua jam daripada 24 jam yang kita ada dalam sehari. Cara mudah, waktu yang kita biasa gunakan untuk sarapan dan makan tengah hari kan dah boleh digunakan untuk mengaji Al-Quran.
Gunakan Tenaga Yang Ada
Membaca Al-Quran merupakan ibadah yang banyak menggunakan mata dan suara. Mata untuk melihat helaian muka surat dan suara untuk membaca. Jadi, untuk menjimatkan tenaga tidak perlu bersuara dengan terlampau kuat. Cukup sekadar telinga kita sahaja dapat mendengarnya. Simpan tenaga supaya kita boleh berterusan membaca Al-Quran dengan istiqamah.
Kredit Foto: Google
Aplikasi Teknologi
Susah nak baca Al-Quran sebab tertinggal Al-Quran di rumah? Berhenti memberi alasan! Muat naik aplikasi Al-Quran di telefon pintar anda supaya memudahkan anda baca di mana-mana. Selepas baca, tandakan supaya boleh sambung bacaan di waktu yang seterusnya. Selain itu, kita juga boleh muat turun mp3 bacaan Al-Quran. Jika badan terlampau penat dan tak larat nak membaca, ambillah masa untuk dengarkan alunan bacaan Al-Quran. Mudah kan?
Selalu Bawa Mashaf Al-Quran
Biasakan diri untuk selalu membawa mashaf Al-Quran kemana-mana. Letakkan di dalam kereta. Simpan di pejabat. Ada kelapangan boleh terus capai dan baca. Tidak kira Al-Quran besar atau kecil, yang penting biasakan diri untuk simpan dan bawa kemana-mana.
Baca Di Tempat Tenang
Cari tempat tadarus (membaca Al-Quran) yang boleh membuatkan kita duduk lama dan menenangkan. Perlu bezakan ya, antara tempat yang tenang dan terlampau selesa. Jika terlampau selesa, takut-takut kita pula jadi mengantuk semasa membaca Al-Quran nanti. Cadangan tempat yang tenang, boleh sediakan satu ruangan khas di pejabat yang kita gunakan khusus untuk bertadarus pada Ramadan ini.
Kredit Foto: Google
Lawan Mengantuk
Biasalah, apabila kita membaca Al-Quran secara automatik akan terasa mengantuk. Lawan rasa mengantuk, jangan dilayan dan diikutkan sangat rasa tersebut. Apabila mengantuk, berhenti seketika. Buat sedikit regangan dan basahkan muka untuk mengembalikan kesegaran badan. Boleh juga menghilangkan mengantuk dengan menukar posisi bacaan. Apabila penat atau mengantuk membaca dengan cara duduk, boleh membaca sambil berdiri. Tetapi jangan bertadarus sambil berbaring pula, takut-takut terus terlelap tanpa sedar!
Buat Kira-Kira Mengikut Sasaran Anda
Seperti yang dikongsikan di atas, setiap orang berbeza sasaran dan kemampuannya. Ada yang mahu khatam sekali, mungkin ada yang mahu dua kali atau lebih. Berikut adalah contoh kira-kira ringkas sebagai panduan.
UNTUK SATU KALI KHATAM AL-QURAN:
1. Solat Subuh 4 halaman
2. Solat Zohor 4 halaman
3. Solat Asar 4 halaman
4. Solat Maghrib 4 halaman
5. Solat Isyak 4 halaman
UNTUK DUA KALI KHATAM AL-QURAN:
1. Solat Subuh 8 halaman
2. Solat Zohor 8 halaman
3. Solat Asar 8 halaman
4. Solat Maghrib 8 halaman
5. Solat Isyak 8 halaman
UNTUK TIGA KALI KHATAM AL-QURAN:
Solat Subuh 12 halaman
Solat Zohor 4 halaman
Solat Asar 4 halaman
Solat Maghrib 4 halaman
Solat Isyak 4 halaman
UNTUK DUA KALI KHATAM AL-QURAN:
1. Solat Subuh 8 halaman
2. Solat Zohor 8 halaman
3. Solat Asar 8 halaman
4. Solat Maghrib 8 halaman
5. Solat Isyak 8 halaman
UNTUK TIGA KALI KHATAM AL-QURAN:
1. Solat Subuh 12 halaman
2. Solat Zohor 12 halaman
3. Solat Asar 12 halaman
4. Solat Maghrib 12 halaman
5. Solat Isyak 12 halaman
Semoga perkongsian ini memberi input dan manfaat untuk pengetahuan dan kebaikan kita bersama. Sekiranya anda tidak mampu lakukan semua tips ini, tidak salah jika mencuba sebahagian daripadanya. Gunakan kedatangan Ramadan kali ni sebagai ‘booster’ bagi kita sentiasa mendekati Al-Quran. Fahami hadis Nabi ini yang bermaksud “Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya” (Hadis Riwayat Bukhari)