Personaliti
“Allah Beri Rezeki Yang Luas. Dia Hantar Ramai Orang Bersama Saya Untuk Bantu Orang Lain.” – Ustaz Ebit Lew
Berkongsi rezeki sambil menitipkan doa dan kata-kata semangat; itulah antara agenda team Jejak Ebit Lew dalam menyempurnakan setiap misi. Sepanjang berada di Sabah, misi dibahagikan kepada empat siri dan semuanya berjaya dilaksanakan dengan izin Allah juga berkat bantuan serta sokongan semua pihak. Baik daripada kumpulan sukarelawan, pihak berkuasa semua bekerjasama menyempurnakan usaha amal ini.
Menyantuni Asnaf di Pulau Bababag, Semporna
Misi Bantuan Sabah Siri 4 kali ini memulakan bantuan ke daerah Semporna pula. Dengan dibantu pasukan keselamatan negara yakni pihak Maritim, misi kali ini menyantuni golongan asnaf pula di beberapa pulau sekitarnya. Bagi memastikan misi berjalan lancar, sukarelawan dan team Jejak Ebit Lew (JEL) turut diiringi 25 anggota Maritim yang bertanggungjawab membantu daripada aspek keselamatan semua yang terlibat. Di Kampung Tanjung Salingka, penduduk menyambut kedatangan rombongan dengan penuh teruja.
Bagi keluarga asnaf disini, team JEL menyumbang pek makanan, barang dapur juga kemudahan wifi untuk dimanfaatkan 70 keluarga. Tidak jauh dari lokasi pertama, mereka bergerak pula ke Kampung Omadal. Terdiri daripada masyarakat Bajau Laut dan Bajau tempatan, perkampungan ini dihuni sekitar 250 penduduk dan terdapat tiga perkampungan.
Berbicara mengenai masyarakat Bajau Laut, semua maklum mereka hidup dalam keadaan serba kekurangan. Malah kebanyakannya tidak mempunyai pengenalan diri juga hanya mendapat pendidikan asas atas inisiatif bantuan NGO. Hidup di atas air yang hanya bertemankan pemandangan laut luas terbentang, mereka redha meniti kehidupan seharian disini walau dalam keadaan serba kekurangan.
Kredit Foto: Astro Prima
Pesan Ustaz Ebit Lew
“Saya sayang abang-abang, kakak-kakak, anak-anak dan semua yang berada disini. Walau kita tak pernah berjumpa, tak pernah kenal tetapi kita sebenarnya sebuah keluarga. Kita akan terus bantu masyarakat Bajau Laut, sumbangkan barang keperluan dapur, makanan dan sebagainya untuk penduduk kampung sedaya upaya yang kita mampu. Ini adalah usaha kecil kita berbanding usaha yang dilakukan pihak kerajaan, kerajaan negeri dan pusat serta NGO yang lain”.
Menziarahi Bayi Hidrosefalus di Kg Bugayah, Semporna
Diuji dengan penyakit Hidrosefalus (kepala besar) sejak lahir lagi, bukan sahaja bayi ini tetapi seluruh keluarga diduga dengan ujian ini. Apabila berusia tiga bulan, kepalanya semakin membesar. Atas usaha salah seorang sukarelawan yang mengaturkan temujanji bersama pihak Hospital Semporna, pihak hospital kemudiannya bekerjasama dengan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk melakukan pemeriksaan selanjutnya.
Kredit Foto: Astro Prima
Pesan Ustaz Ebit Lew
“Ujian ini kasih sayang daripada Allah SWT. Manusia selalu bertanya, ‘Kenapa saya selalu diuji, Kenapa benda ini menimpa hidup saya? Kenapa bukan anak orang lain’. Tapi hakikatnya hanya satu jawapan sahaja, kerana Allah sayang. Kita jumpa ni, Allah sedang tengok kita sekarang. Dia tahu kesedihan hati seorang emak, Dia tahu kesakitan dan ujian untuk adik yang comel ni. Saya doa kakak kuat dan tabah, jaga solat fardhu, solat awal waktu, mintalah doa pada Allah. Terus buat kebaikan” seraya menitipkan doa moga Allah sembuhkan dan pulihkan kembali kesihatan anak kecil ini juga diberi kekuatan buat seluruh keluarganya.
Mengedar Bantuan Kepada Petugas Barisan Hadapan
Mengakhiri episod kali ini, team JEL menziarahi Markas Taktikal Komando Vat 69 dengan menyumbangkan bekalan makanan dan barangan keperluan lain. Terdiri daripada dua pegawai dan 30 anggota. Sekadar mahu merasai sebahagian daripada barisan ini, Ustaz Ebit Lew merakamkan penghargaan dengan cara tersendiri. Baginya, khidmat dan bakti mereka tidak kurang pentingnya untuk memastikan keselamatan masyarakat sekitar terbela daripada serangan musuh mahupun pengganas.
Pesan Ustaz Ebit Lew
Saya nak ucap terima kasih, semoga Allah SWT rahmati tuan-tuan barisan pejuang paling hadapan. Walaupun dibalik tabir, tapi Allah tahu kerja tuan-tuan. Setiap saat, letih, penat lelah dan sebagainya menjadi ibadah. Setiap orang yang dapat sembahyang, puasa, zakat dan beramal kat Sabah ni, dan seluruh Malaysia umumnya; setiap kebaikan dan amal yang orang buat itu dapat pahala kepada tuan-tuan.