Amelia Gayakan 40 Pasang Kebaya Dalam CIK AYU MEE SANGGUL – Cantiknya Persis Biola!
Afiza Kamarulzaman
31/07/2021 04:18 MYT
31/07/2021 04:18 MYT
Drama bersiri ‘Cik Ayu Mee Sanggul’ adalah sebuah naskah asal yang mengangkat genre komedi romantik terbitan syarikat produksi Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. Berbeza dengan penceritaan kisah perkahwinan paksa yang sering disajikan sebelum ini, drama ‘Cik Ayu Mee Sanggul’ memaparkan pengorbanan seorang janda muda yang mengahwini seorang duda tanpa ikatan cinta untuk menjadi ibu tiri kepada anaknya yang masih kecil dan memerlukan perhatian seorang ibu.
Idea asal dan skrip drama bersiri 16 episod ini diilhamkan oleh Nieza Nahar serta turut diarahkan oleh sutradara Idora Abdul Rahman. Drama ini turut dibintangi oleh Amelia Henderson dan Aqasha selaku teraju utama di samping barisan pelakon seperti Aryan Adzrin, Iman Zulkarnain, Shiqin Kamal, Fimie Don, Asha Merican, Nabil Aqil, Aznah Hamid, Mahmud Ali Bashah, Izzendra, Natasha Hamzah dan ramai lagi. Lebih istimewa lagi, drama ini turut diserikan dengan penampilan khas oleh Dato’ Rosyam Nor, Dynas Mokhtar dan Cat Farish.
TRIVIA MENARIK DRAMA ‘CIK AYU MEE SANGGUL’
1. Keseluruhan penggambaran drama ‘Cik Ayu Mee Sanggul’ telah mengambil masa lebih kurang 73 hari untuk dihabiskan kerana tertangguh akibat perlaksanaan PKP 2.0. Proses penggambaran hanya diteruskan semula dengan kebenaran daripada FINAS selepas MKN memberikan kelonggaran kepada industri kreatif untuk melakukan aktiviti penggambaran di luar studio dengan SOP yang ketat.
2. Lokasi utama penggambaran drama ‘Cik Ayu Mee Sanggul’ telah dijalankan di sekitar Rawang, Selangor.
3. Buat julung kali, pelakon, pengacara dan model jelita berdarah kacukan India-Scotland, Amelia Henderson digandingkan bersama penyanyi dan pelakon, Aqasha untuk menerajui watak utama sebagai Cik Ayu dan Akhtar.
4. Antara keistimewaan yang ditonjolkan menerusi drama ini ialah penampilan watak utama, Cik Ayu yang disandang oleh Amelia sering menggayakan padanan tradisional kebaya dan cucuk sanggul sebagai pakaian harian.
5. ‘Styling’ untuk dandanan sanggul Amelia mendapat sentuhan juru solek yang terkenal dengan sifat latah iaitu PS Mansur. Beliau mengambil masa 30 minit untuk menyiapkan dandanan sanggul tersebut sewaktu di set.
6. Sebanyak 40 helai set kebaya telah digayakan oleh Amelia sepanjang penggambaran drama ini berlangsung.
7. Selain itu, menu ‘mee sanggul’ juga turut dijadikan menu utama di café Ayu Cuisine yang dimiliki oleh watak Cik Ayu menerusi drama ini.
8. Menarik lagi, menu ‘mee sanggul’ tersebut juga merupakan kegemaran watak Akhtar yang dilakonkan oleh Aqasha dan anaknya Uwais, lakonan Aryan Azdrin.
9. Dato’ Rosyam Nor muncul sebagai penampilan istimewa dalam drama ini membawakan watak sebagai Tuan Baharom, iaitu suami yang penyayang kepada Ayu.
10. Selain Rosyam, pelakon Dynas Mokhtar dan Cat Farish juga turut membuat kemunculan khas dalam drama ini. Dynas melakonkan watak sebagai Farhana yang merupakan bekas isteri kepada Akhtar. Manakala Cat pula memegang watak Hamzah, suami kepada watak Mak Milah lakonan Natasha Hamzah yang merupakan makcik saudara kepada watak Akhtar.
11. Drama ‘Cik Ayu Mee Sanggul’ merupakan drama pertama yang melibatkan banyak episod pernah dilakonkan oleh Aryan. Sebelum ini, kemunculan Aryan sebagai watak tambahan dalam karya terdahulu cuma untuk babak yang tertentu sahaja.
12. Sebagai pelakon kanak-kanak yang baru menceburkan diri dalam bidang lakonan, Aryan pada mulanya berasa agak takut dan malu kerana tidak ada pelakon lain dalam lingkungan umur yang sama terlibat dengan penggambaran drama ‘Cik Ayu Mee Sanggul’. Namun, perasaan tersebut hilang dengan sendiri apabila Aryan sudah dapat menyesuaikan diri serta sering diberi tunjuk ajar oleh barisan pelakon lain dan krew produksi sewaktu di set.