Ada pasangan yang baru punya anak seorang pun tidak mampu menguruskan rumah tangga dan kerja dengan baik dalam satu waktu. Ada juga yang menjadikan alasan bebanan di rumah yang besar menyebabkan komitmennya di pejabat terjejas.


Lebih mendukacitakan apabila ada pula yang menyalahkan majikan yang tidak faham dan berkira dengan pekerja. Anda dibayar untuk kerja yang dilakukan, adalah tidak manis untuk memberikan alasan beban di rumah sebagai toleransi majikan untuk memberikan keistimewaan buat anda.


Ini ada kisah menarik tentang seorang wanita bernama Nurul Azwa Binti Abu Bakar, 39 tahun, atau lebih mesra dipanggil Gune.


Wanita berkulit sawo matang ini berkahwin dengan Aby Huraira bin Othman pada tahun 2012, sudah hammpir lapan tahun. Rezeki mereka begitu murah apabila dikurniakan zuriat yang meriah iaitu Aidean (7 tahun), Melur (5 tahun), Lily (4 tahun) dan Essa (3 tahun). Kata orang tua, ‘anak kerap’, berderet-deret.







Gune bekerja sebagai Pengarah Seni manakala suami seorang Eksekutif komunikasi. Menjalani kehidupan di ibu kota Kuala Lumpur pastinya tidak mudah. Melihatkan keadaan jalan rayanya sahaja sudah cukup buat kepala pusing.


Namun, penulis sangat ‘salute’ dengan ketangkasan beliau dalam menguruskan rumah tangga walau tanpa bantuan pembantu rumah mahupun orang tua. Malah, kesibukan suami di luar juga membataskan waktunya untuk membantu banyak. Keseluruhannya, memang terletak di bahu wanita manis ini.




Bagaimana rutin atau jadual Gune pada hari biasa?

Kebiasaannya, selepas solat subuh, kami suami isteri akan bersama-sama menyiapkan anak-anak. Saya akan sediakan sarapan dan bekalan anak ke sekolah. Tepat pukul tujuh pagi, menjadi rutin tugasan saya untuk menghantar anak-anak ke sekolah dan rumah pengasuh.


Pejabat suami di KL Sentral dan dia akan ke pejabat dengan menaiki LRT Putra. Nampak macam padat, kan?


Tapi jangan terkejut kalau saya masih boleh curi-curi masa untuk berjogging atau ke pasar sebelum masuk ke pejabat, selepas selesai menghantar kesemua anak pada sekitar jam 7.30 pagi. Kemudian saya akan pulang ke rumah dan bersiap-siap untuk ke pejabat pula.





Dan, bagaimana pada pertengahan waktu kerja, ada tak terganggu untuk urusan peribadi?

Pada waktu pejabat, saya akan fokus sepenuhnya pada tugasan. Jika mempunyai kerja yang berlambak pada hari itu, saya akan ‘skip’ waktu lunch saya untuk menyiapkan semua tugasan sebelum tamat waktu bekerja.

Saya tidak mengamalkan ‘stayback’ walaupun kerja saya melibatkan deadline yang menggila. Dan saya bersyukur bos juga sangat memahami. Apa yang penting, tugasan yang diberikan mesti disiapkan pada waktunya.

Tepat pukul enam petang, saya akan terus ke rumah pengasuh untuk mengambil anak-anak saya. Apabila tiba di rumah, kebiasaannya suami juga telah pulang dari pejabat, kami akan solat marghrib sebelum saya menyediakan makan malam.

Setiap hari saya akan memasak untuk makan malam bersama keluarga. Selepas itu, saya dan suami akan luangkan masa dengan anak-anak, periksa kerja sekolah, mengulangkaji pelajaran dan bermanja-manja dengan anak-anak yang kecil.

Pada pukul 10 malam, saya akan pastikan anak-anak telah bersedia untuk tidur. Selepas itu, barulah saya menyambung tugasan seperti mengemas, membasuh & melipat baju. Dan meluangkan sedikit masa untuk ‘me time’. Siap semuanya, barulah saya masuk tidur.


Dan, pada ketika work from home sekarang, bagaimana anda menyusun jadual?

Pada minggu pertama, adalah mudah buat kami berdua kerana waktu itu pengawalan di luar masih tidak ketat. Seawal pagi saya boleh menghantar anak-anak ke rumah pengasuh.

Jadi kami dapat fokus dengan tugasan kami sepenuhnya di rumah. Namun selepas minggu kedua, pengawalan diperketatkan, bermakna saya tidak lagi boleh menghantar anak-anak ke rumah pengasuh.

Pada permulaannya, agak mencabar kerana anak-anak tak mengerti yang kita sedang ‘bekerja di rumah’. Setiap masa akan ada gangguan. Tapi kami suami isteri sentiasa bertolak ansur dan bekerjasama seperti ‘teammate’ agar kami berdua tetap dapat menjalankan tugasan kerja masing-masing

. Sebenarnya tak jauh beza dengan rutin harian saya. Seawal pagi saya akan menyediakan sarapan. Lepas tu baru uruskan anak-anak- mandikan dan sarapan bersama. Kemudian baru saya akan masuk ke ‘office’.

Dan anak-anak pula akan lakukan aktiviti bebas. Memandangkan mereka berada di depan mata, semestinya saya dan suami akan pastikan mereka terurus dan bergilir-gilir melayan kerenah mereka.







Anak berderet kecil-kecil, bagaimana anda menguruskan masa, fizika dan emosi?

Sejujurnya, ia amat memenatkan dari segi fizikal, mental dan emosi. Tapi kami kena sepakat. Buat masa ini, banyak perkara kami kena korbankan, kerana anak-anak masih kecil dan perlukan lebih perhatian.

Kami tidak boleh pentingkan diri sendiri. Tiada lagi masa untuk melepak dan berseronok dengan kawan-kawan. Sebab kalau pengurusan masa tidak seimbang, akan menjadi sukar terutamanya jika salah seorang daripada kami jatuh sakit.

Syukur, suami seorang yang sporting, kami akan ‘give and take’ dalam beberapa perkara. Ada masa dia mahu beriadah bersama kawan-kawannya, saya benarkan. Apabila giliran saya untuk berjumpa dengan kawan-kawan, dia pula akan memberi ‘ruang’ buat saya.




Tanpa pembantu atau mak ayah untuk tolong, bagaimana anda hidup berdikari?

Kami berdua adalah anak bongsu. Masing-masing ada ego. Tapi dengan anak-anak kami ‘cair’. Tidak dinafikan ia fasa yang sangat mencabar, tapi kami bertuah kerana keluarga kami banyak memberi sokongan.

Kalau ada masalah menguruskan ragam anak-anak, saya akan berhubung dengan kakak, sepupu atau kakak ipar saya yang lebih berpengalaman. Mereka banyak memberi tunjuk ajar dan kata-kata semangat.

Dan mereka juga adalah inspirasi buat saya kerana mereka juga adalah contoh ibu-ibu yang baik dan kuat semangat.





Bagaimana pula dengan perbelanjaan keluarga?

Suami saya sangat tidak kedekut dengan anak-anak. Saya pula jenis yang agak ‘berkira’. Saya akan berbelanja benda yang perlu sahaja. Dan kalau anak-anak nak sesuatu benda saya akan sentiasa ingatkan mereka supaya tidak membazir.

Mana yang mampu saya akan tunaikan. Inilah kenyataannya, perbelanjaan untuk anak-anak sangat mahal zaman ini. Sangat berbeza dengan zaman kita dahulu. Nak ambil pembantu pun saya tidak yakin kerana faktor keselamatan.

Ibu bapa perlu berjimat-cermat, kena ada simpanan wajib seperti insurans kesihatan dan kegunaan waktu kecemasan. Saya pula gemar memasak, jadi saya disiplinkan diri saya untuk memasak setiap hari kerana ia lebih jimat, berkhasiat dan lebih masa untuk ‘bonding’ di rumah.

Ibu bapa perlu menjadi kreatif. Saya suka membuat ‘surprise’ untuk anak-anak, dengan tidak berbelanja lebih saya akan buat homemade cupcakes dan menyuruh mereka membuat dekorasi sendiri.

Kosnya kebih murah daripada beli di kedai, ia juga dapat mengeratkan hubungan antara adik-beradik. Tidak kira sama ada kamu berpendapatan tinggi atau tak, anak-anak tidak wajar diberi kemewahan melampau. Didiklah mereka bersederhana.









Pada saat bila anda akan berasa sangat penat dan merundum?

Jika berselisih faham dengan pasangan dan tekanan di tempat kerja. Faktor ini boleh membuatkan kita stres dan boleh memberi kesan pada kesihatan. Lihat, anak-anak bukanlah faktor utama seorang ibu stres, kan?

Banyak yang telah saya belajar dari pengalaman sepanjang saya bekerja. Saya akan sentiasa cuba bertenang dan tidak terlalu serius memikirkannya. Positif! Jika berselisih dengan pasangan, saya pastikan tidak berlanjutan dan terus move on.

Saya cuba tidak membawa masalah ditempat kerja pulang ke rumah dan sentiasa berkongsi segala masalah dengan suami.





Komen dan nasihat anda buat ibu bapa muda yang cepat mengomel walau anak baru seorang?

Harus sentiasa bersabar dan beringat segala kesusahan yang dihadapi sekarang pasti ada ganjaran dari Nya satu masa nanti. Ibu bapa adalah role model kepada anak-anak. Jika beri contoh yang tidak baik, maka anak akan ‘copy’ tingkah laku ibu bapanya.

Menjadi ibu bapa juga adalah proses untuk memperbaiki diri sendiri dan bukanlah untuk menunding jari. Gunakan peluang ini untuk membesarkan anak menjadi insan yang lebih hebat.




Komen anda apabila ada pekerja yang tidak mampu membahagikan komitmen di rumah dan pejabat dengan baik?

Pekerjaan adalah satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Tidak kira sama ada bujang atau yang telah berkahwin. Pengurusan masa sangat penting dan ia bergantung kepada diri sendiri.

Haruslah diasingkan hal rumah dan tugasan pada waktu bekerja. Untuk lebih efisyen, disiplinkan diri – fokus betul-betul pada kerja apabila di pejabat. Selepas waktu bekerja, ‘switch mode’ kamu untuk urusan keluarga pula.

Tiada alasan! Kita perlulah ambil iktibar daripada pengalaman orang sekeliling juga. Ada ibu tunggal anak lapan orang, mampu bekerja menampung perbelanjaan anak-anak.

Ada yang cacat anggota tapi berjaya mendapat pangkat yang tinggi. Jika ada teman sekerja yang juga mempunyai tanggungan keluarga, mereka juga mampu memberi komitmen kerja yang baik, kenapa tidak kamu?




Harapan anda buat anak-anak?

Semua ibu bapa mahukan hanya terbaik untuk anak-anaknya. Semoga apa yang kami usahakan menjadikan anak-anak kami lebih berjaya dan memiliki kehidupan yang lebih baik daripada kami kelak.

Dan kami berharap agar anak-anak kami menghargai pengorbanan kami sebagai ibu bapa dan berbakti kepada kami pula satu masa nanti. Harapnya, dapat menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara.