gaya hidup
Anak Kecil Berderet – Orang Kata, Tak Apa Penat Sekali. Nanti Dah Besar Senang. Semoga Jadi ASET Ibu Ayah di Syurga
“Dah macam team bola sepak.” “Macam rombongan Cik Kiah.” – Begitulah yang terkeluar dari mulut segelintir kita apabila melihat mak ayah yang mengheret anak-anak kecil berderet-deret, kiri dan kanan. Bukan mudah membesarkan seorang anak, apatah lagi jika lebih daripada satu, dan usia pula dekat-dekat.
Namun, ada kala anugerah ini datang tanpa dirancang. Tiba-tiba, Allah nak beri. Wajiblah untuk kita terima dengan hati terbuka. Orang selalu kata, tak apa anak kecil berderet, nanti penat nak besarkan mereka sekali harung saja. Apabila semua dah besar nanti, senanglah Mak Ayah. Ya, diharapkan anak-anak ini menjadi aset di dunia dan akhirat.
Tips Beranak Kecil Yang Ramai
- Ibu dan ayah perlu ada persediaan fizikal dan mental. Jika sudah tahu komitmen bertambah, sedari awal lagi perlu kuat untuk menguruskannya terutama daripada segi emosi dan psikologi agar tidak stres dan depresi.
- Kedua-dua pasangan perlu ada kerjasama. Jangan serahkan tanggungjawab membesarkan anak-anak hanya kepada ibu semata. Ini sangat zalim dan perbuatan khianat. Berbagilah tugasan. Jika ibu susukan anak, ayah mandikan anak. Jika ibu tengokkkan kerja sekolah anak, ayah hantar dan ambil anak dari sekolah.
- Persediaan kewangan juga penting. Kita bukan berada pada zaman nenek moyang kita dulu kala yang tidak perlu menyekolahkan anak atau boleh suap anak makan ubi yang ditanam belakang rumah saja. Malah, anak-anak dulu tidak seperti anak zaman sekarang yang terdedah dengan banyak penyakit. Sekali dibawa ke klinik, berapa ratus harga bil? Ya, anak itu rezeki tapi rezeki juga ada banyak cabangnya, bukan duit semata.
- Perlu bijak menyusun jadual seharian jika mahu rutin anak-anak teratur dan ibu pun tidak kelam-kabut. Ibu ayah juga perlu berdisiplin untuk memastikan anak-anak mengikuti jadual yang telah disusun.
- Ketegasan perlu ada untuk mendidik anak-anak yang ramai.
- Ajar anak-anak yang atas untuk kenal tanggungjawab dan mampu menjaga adik-adik di bawah agar dapat bantu ringankan beban ibu ayah.
- Bersikap adil kepada semua anak-anak tanpa mengira peringkat usia dan kecemerlangan mereka.
- Sentiasa adakan sesi sosial bersama-sama seperti solat jemaah, bertazkirah, makan bersama dan beriadah.
- Pastikan juga rumah memiiki ruang yang cukup untuk anak-anak ini bermain dan hidup selesa terutamanya bilik tidur. Asingkan anak lelaki dan perempuan.