Ramai yang punya anak perempuan berkongsi pengalaman yang sama – kebanyakan anak perempuan akan lebih manja dan ‘mengada-ada’ dengan bapanya berbanding ibu. Ada yang kata apabila bapanya tak ada, elok sahaja perangainya, tidak banyak kerenah atau clingy. Cubalah kalau ayahnya tiba-tiba ada di depan mata, mulalah tunjuk perangai! Ada sahaja sikap mahukan perhatian dibuatnya.


Bukan tidak boleh dikawal tetapi apabila ibu cuba menegur atau mengajar, mulalah ayah datang menjadi super hero ‘menyelamatkan’ anak kesayangannya itu. Jangan dimarah, jangan ditegur, apa lagi kalau dijentik. Panjang-lebarlah fakta ayahnya hujahkan. Budak tu kecil lagilah, bukan salah besarlah, jangan mendera anaklah, buat para ibu pening kepada untuk handle dua manusia ini di dalam rumah.


Hakikatnya, banyak kebaikan jika seorang anak perempuan itu rapat dengan ayahnya. Bukan bermakna, tidak perlu rapat dengan ibu. Seperti yang kita tahu, nalui ibu itu sudah ada sejak anak berada dalam rahim lagi. Keintiman itu tidak boleh dinafikan, hubungan jiwa anak dan ibu terbina sejak azali. Manakala, bagi seorang bapa ia perlukan usaha yang lebih sedikit untuk membina hubungan yang sempurna bersama anak terutamanya anak perempuan selepas mereka dilahirkan.




Kredit Foto: IG The_Haidars




Anak Perempuan Rasa Lebih Dihargai

Antara kebaikan yang tercetus andai bapa menunjukkan sayangnya kepada anak perempuan menjadikan anak itu rasa lebih dihargai. Ini dapat membina jiwa yang positif dalam diri anak untuk lebih menghargai dan dihargai. Anak-anak yang rasa dihargai secara tidak langsung membentuk nilai kasih-sayang yang lebih utuh dalam dirinya. Menjadikannya lebih positif, lemah-lembut, sopan dan tertib.



Menjadikan Mereka Lebih Pintar

Ini diakui oleh kajian yang dilakukan oleh pakar psikologi di mana anak perempuan yang rapat dengan ayahnya akan menjadikan mereka lebih pintar dan tinggi IQnya. Mereka lebih mudah fokus dengan pelajaran dan pastinya sentiasa berusaha untuk cemerlang dalam pelajaran demi memberikan kegembiraan buat ayah yang disayanginya. Anak perempuan akan sentiasa cuba mencipta seberapa banyak kejayaan yang dapat membanggakan ayah ibunya.




Kredit Foto: IG Jozlynnhanania




Lebih Berdikari dan Berani Buat Keputusan

Jangan salah anggap anak yang manja dengan ayahnya akan menjadikannya lemah dan tidak berdikari. Sebaliknya, mereka akan lebih berdikari dan berani untuk mempertimbangkan setipa keputusan yang mahu diambil. Mereka berani mengambil sebarang risiko dalam kehidupannya. Ini dibentuk oleh perhatian ayahnya yang dilihat sebagai idola paling ideal. Mereka tidak gusar berdepan dengan sesiapa dek sikap melindungi seorang ayah selamanya. Maka, anak akan membesar dengan perasaan sentiasa rasa terlindung dan selamat walaupun ayah sudah tiada.



Supaya Mereka Tidak Cari Kasih-Sayang di Luar

Inilah faktor paling penting kenapa seorang ayah harus mencurahkan seberapa banyak kasih-sayang dan perhatiannya kepada anak perempuan. Anak yang cukup bekalan emosi dan rohaninya tidak mungkin tercari-cari kaish-sayang daripada orang lain. Yang selalu terjadi apabila anak gadis terlibat dengan gejala sosial di luar adalah kerana kurangnya kasih-sayang di rumah terutama daripada seorang ayah. Mulalah, mereka sudah pandai berteman lelaki pada usia yang muda – di bangku persekolahan lagi! Seorang ayah harus membuktikan hanya dialah lelaki yang mampu memberikan kasih-sayang paling abadi kepada anak perempuannya. Jangan sampai anak perempuan memilikinya daripada lelaki lain.





Kredit Foto: IG azadsyazirarose



Anak Perempuan Bersangka Baiklah Dengan Ayah

Apabila sudah punya ayah yang baik, anak perempuan jangan menidakkannya. Hargailah penat-lelah seorang ayah membesarkan kamu dan hargailah setiap sayangnya walau ditunjukkan dengan cara yang berbeza. Ada ayah yang menunjukkan sayang dengan peluk, cium atau melalui kata-kata. Itu mudahlah untuk difahami. Namun, ada juga ayah yang tidak reti untuk menzahirkannya.


Bagi mereka, cukuplah dengan menyempurnakan keperluanmu dan bertanyakan khabar menerusi ibu sahaja. Ada ayah rasa canggung untuk memeluk anak perempuannya, apatah lagi untuk mengatakan dengan ucapan “Ayah sayang kamu”. Maka, janganlah kamu berasa dukacita dengan sikap ayah itu. Percayalah kasih-sayang itu ada dalam hatinya, hanya dia tidak tahu bagaimana untuk menyampaikannya dengan mata kasar.


Apa kata, kamu sahajalah yang melakukannya. Luahkan. Zahirkan. Nampakkan segala kasih-sayang kamu itu bulat-bulat di depan matanya supaya dia tahu, ‘oh, ini namanya kasih-sayang’. Jangan ego dengan ayah sendiri. Kalau dengan teman lelaki, kamu boleh senang-senang berkata ‘I love you’, kenapa dengan ayah sendiri kamu curiga? Peluklah ayah. Kirimkan teks, ‘saya sayang ayah, saya rindu ayah.’ Belikanlah hadiah untuk membeli jiwanya. Lama-lama lembutlah hatinya.





Kredit Foto: IG nabilzira



Saat Anak Perempuan Dinikahi...

Sungguh, walaupun pada hari itu hanya kelihatan ibu yang menangis, hakikatnya ayahlah manusia paling sedih dan hiba pada hari kamu dinikahkan. Namun, ia terbungkam di dalam hati. Bayangkan satu perasaan yang tidak dapat dilepaskan depan-depan, lebih pedih untuk ditanggung oleh sang ayah. Jangan kata, ayah relaks sahaja, dalam hatinya hanya tuhan yang tahu. Bagaimana untuk melepaskan anak perempuan kesayangannya itu ke tangan orang lain?


Bayangkanlah, dialah lelaki pertama yang menyambut kelahiranmu. Dialah yang mengazankan di telinga kamu. Dia orang pertama yang mencium pipimu. Dia juga lelaki pertama yang menidurkanmu. Dia juga yang mencarikan makan dan minummu. Hanya dia lelaki yang membawa kamu ke klinik saat sakitmu. Dia yang menghantar kamu ke sekolah hingga ke menara gading. Dia lelaki paling risau apabila ibu memberitahu kamu tidak mahu makan atau sedang bersedih.


Dan, kini dia perlu menyerahkan buah hati pengarang jantungnya itu kepada penjagaan orang lain, lelaki lain yang tiba-tiba muncul dalam hidup anaknya itu. Dalam hati ayah pasti juga ada curiga. Mampukah lelaki itu menjaga anaknya nanti? Adakah dia akan menyakiti hatinya anak itu? Adakah anaknya akan bahagia bersama lelaki asing di dalam satu rumah? Mampukah lelaki itu setia hingga hujung hayat anaknya? Cukupkah pembiayaannya nanti? Hati ayah akan terus berteka-teki sehingga akhir nafasnya.


Maka, buat sang anak, hargailah setiap pengorbanan ayah itu walaupun selepas kamu sudah bertukar milik kepada suami. Selalulah bertanyakan khabarnya, bukan hanya menerusi ibu. Jangan lupa dia juga mahu mendengarkan kata-kata sayang daripada anak perempuannya walaupun kamu kini sibuk berkasih-sayang dengan suami. Seperti mana satu masa dulu kamu ‘terhegeh-hegehkan’ perhatiannya, pada usia emas ini pasti, ayah juga merinduinya.


Sudahkan kamu bertanyakan khabar ayah hari ini?




Kredit Foto: Google