gaya hidup
Anak-Anak Mula Ke Sekolah, Mak-Mak Kembali Rutin Jadi SOTONG KURITA – Semoga Anak Kita Dilindungi
Hakikat jadi mak memang penat tapi kepuasannya tak terhingga. Lebih membanggakan apabila lihat orang yang kita sayang, terutamanya anak-anak terurus kehidupan harian mereka dan mendapat kesempurnaan yang kita mahukan.
Semalam, bermulalah kehidupan sesi bersekolah anak-anak. Individu yang pastinya paling sibuk tentulah ibu. Jadual harian bertambah padat dengan penambahan hal menguruskan anak-anak daripada menyediakan sarapan sehinggalah menyemak kerja sekolah mereka.
Itu belum dihitung mereka yang punya anak-anak berderet, yang terbahagi dua sesi persekolahan pula. Lagilah, para ibu tak menang tangan menguruskan anak-anak pergi dan balik sekolah.
Lebih membimbangkan dalam situasi pandemik sekarang, keselamatan dan kesihatan anak-anak menjadi fokus utama ibu bapa. Kebanyakan anak-anak masih belum divaksin dan perlindungan mereka bergantung sepenuhnya pada pematuhan SOP.
Perlindungan Anak Bersekolah Ketika Pandemik
- Bekalkan anak dengan mask dan hand sanitiser untuk dibawa ke sekolah
- Sebaiknya, sediakan bekalan makanan (bento) untuk anak-anak agar mereka tidak perlu membeli di kantin dan berlama-lama di situ
- Ingatkan anak-anak tentang SOP setiap kali mereka ke sekolah, tanpa jemu – sentiasa ingatkan
- Tidak salah untuk menggalakkan makanan sunnah dan suplemen yang baik untuk tingkatkan imun dan antibodi anak-anak, ikhtiar apa yang baik
- Pastikan dapat ambil anak-anak tepat pada waktunya agar mereka tidak menghabiskan banyak waktu (bersosial atau bermain) dengan kawan-kawan selepas sesi persekolahan
- Pastikan anak-anak terus mandi selepas balik dari sekolah
- Jangan hantar anak ke sekolah jika didapati anak tidak sihat walaupun dengan gejala ringan
- Selebihnya, kirimkan doa bersama mereka agar dipelihara oleh Allah daripada segala penyakit dan musibah